Bab 63- Nisan Berdarah

1.6K 46 0
                                    

  Saya terus menekup mata, bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi-tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual. Semua orang di situ mengeluh, ada pula yang memalingkan muka ke arah lain. Tidak sanggup melihat darah dan lengan yang terputus dua.
"Yaaaakkk," saya terdengar suara pemegang parang, lepas itu saya tidak terdengar apa-apa.
Semuanya sunyi sepi. Bila saya terdengar suara tepukan tangan orang ramai, saya segera menjatuhkan telapak tangan yang menutup mata saya.
Aduh, sungguh mengkagumkan, lengan penjual ubat tidak putus dua. Tidak ada darah yang menitik atas muka tunggul. Wajah penjual ubat kelihatan tenang sambil menggosok lengannya dengan sejenis minyak yang dipamerkan di situ. Sedang penjual ubat asyik menggosok minyak di lengan, pemukul gendang mengambil tombak bermata kapak, lalu mengkapak belakang penjual ubat dengan sekuat hati.
Semuanya tidak mendatangkan kesah, penjual ubat tersenyum bahagian belakangnya terus digosok dengan minyak. Dalam beberapa minit sahaja, orang yang berkumpul di situ berebut-rebut membeli minyak tersebut yang harganya lima puluh sen sebotol. Bila orang ramai selesai membeli ubatnya. Ia memperlihatkan kekuatan kulit tubuhnya yang tidak mampu dilukakan dengan senjata tajam. Ia menikam perutnya dengan pedang. Ternyata pedang itu tidak mampu menembusi kulit perutnya.
"Orang Melayu mana ada kuat macam saya," ujarnya dalam bahasa pasar yang tunggang-langgang. Ia merenung satu-satu wajah orang Melayu yang ada di situ. Kemudian, ia mencabar orang Melayu yang ada di situ menunjukkan kekuatan.
Seorang Cina tempatan menghampiri penjual ubat. Cina tempatan itu menasihatkan penjual ubat dari Taiwan, supaya jangan berbuat demikian. Perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang Melayu di tempatnya. Penjual ubat dari Taiwan itu, tidak mengendahkan nasihat Cina tempatan tersebut. Ia terus mencabar dan mencabar.
"Eh, lu jangan ingat orang Melayu tak kuat," saya segera menoleh ke kanan.
Saya lihat Haji Salim melangkah garisan putih yang ada di situ. Ia menyinsingkan lengan bajunya. Penjual ubat dari Taiwan terus ketawa. Orang ramai yang ada di situ resah. Mereka bimbang, kalau sesuatu yang tidak diingini akan terjadi. Cina tempatan segera menghampiri Haji Salim, bahu Haji Salim dipegangnya dengan lembut sekali.
"Haji tolong jangan gaduh, dia bukan Malaysia punya orang, dia tak tahu punya adat," pujuk Cina tempatan.
"Saya tahu, fasal dia bukan orang Malaysia, saya mahu tunjuk sama dia orang Malaysia juga kuat," balas Haji Salim. Saya mula terasa kecut dan cemas.
"Pak Haji tak usah Pak Haji, ini merbahaya," pujuk saya pula.
"Tak apa Tamar," balas Haji Salim dengan tenang. Ia menyuruh saya keluar gelanggang.
Penjual ubat dari Taiwan tersenyum sinis melihat saya dan Haji Salim.
"Sekarang kalau lu boleh kasi luka, gua beri lu lima ratus, kalau gua kasi luka lu berapa lu kasi," penjual dari Taiwan menyoal Haji Salim.
Saya lihat muka Haji Salim selamba sahaja. Sesekali memberi isyarat tangan pada Cina tempatan supaya bersabar dan bertenang.
"Tak usah kasi apa-apa, gua tak mahu lu punya wang dan gua punya wang tak mahu kasi sama lu," ujar Haji Salim dan terus meletakkan lengannya atas tunggul kayu.
"Nanti lu punya tangan putus macam mana?"
"Tak apa."
"Betul ni."
"Betul, semua orang boleh jadi saksi."
"OK, kita mula."
"Ayuh."
Penjual ubat dari Taiwan pun mengambil parang bermata lebar. Lengan Haji Salim ditetaknya dengan sekuat hati. Ia terkejut, lengan Haji Salim tidak putus dua atau pun berdarah.
"Silakan, tetaklah seberapa banyak yang kamu suka," kata Haji Salim.
Muka penjual ubat jadi merah padam. Tanpa membuang masa, ia terus menetak sebanyak tiga kali berturut-turut. Semuanya tidak mendatangkan kesan. Penjual ubat itu merenung orang yang mengelilinginya.
"Sekarang lu kasi pukul saya punya tangan," penjual ubat bersuara.
"Jangan marah kalau luka," balas Haji Salim.
"Tak marah, gua kuat."
"Silakan."
Penjual ubat dari Taiwan itu terus duduk mencangkung. Lengan kanannya diletakkan atas tunggul kayu khas. Ia menarik dan menahan nafas, perutnya kelihatan kempis, kiri kanan pipinya kelihatan kembung, macam monyet menyembunyikan makanan dalam mulut.
Haji Salim mengambil parang bermata lebar. Berdiri dengan tenang dekat penjual ubat itu. Kedua belah bibir Haji Salim kelihatan bergerak-gerak. Saya kira ia sedang membaca 'Bismillah' untuk melakukan pekerjaan itu.
Semua biji mata orang ramai tertumpu pada Haji Salim yang memakai serban putih, berseluar kuning dengan baju putih berbutang lima. Ada di antara orang ramai itu berbisik sama sendiri. Mereka bagaikan tidak percaya lelaki yang bertubuh kurus dengan janggut sejemput itu boleh mencederakan lengan penjual ubat dari Taiwan. Dalam keadaan orang ramai yang termanggu-manggu itu. Haji Salim pun menjatuhkan parang bermata lebar ke atas penjual ubat.
"Wahhhhh....," suara penjual ubat meninggi. Mukanya kelihatan berkerut menahan kesakitan. Urat-urat hijau nampak menonjol menolak kulit.
Dalam saat-saat begitu, bahagian daging yang membengkak itu menjadi merah dan akhirnya bertukar menjadi hitam kebiru-biruan. Kawan penjual ubat segera menyapukan minyak. Hasilnya tidak ada apa-apa. Makin disapu dengan minyak, makin besar bengkaknya dan penjual ubat beransur lemah. Ia tidak terdaya menggerak-gerakkan tangan yang kena tetak itu. Ia cuba bangun, usahanya itu gagal juga.
Haji Salim segera menghampirinya. Bahu penjual ubat itu disentuhnya dengan jari kelingking kiri.
"Lu bangun," kata Haji Salim.
Penjual ubat itu terus bangun tetapi, lengan yang kena tetak itu kelihatan terkulai dan terus bengkak. Mukanya terus berpeluh. Haji Salim terus menjamah jari telunjuk kanan penjual ubat. Jari itu direntapnya hingga berbunyi.
Beberapa minit kemudian bengkak yang membatas di lengan beransur kurang dan akhirnya terus pulih seperti sediakala. Kesan mata parang masih kelihatan seperti satu garisan di lengan penjual ubat. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu tercengang. Beberapa orang anak muda menghampiri Haji Salim, mereka bertanya sesuatu pada Haji Salim yang berbadan kurus itu.
"Lu memang kuat," penjual ubat itu merenung muka Haji Salim.
"Ini semua tuhan punya kuasa," jawab Haji Salim pendek.
Penjual ubat itu segera menghulurkan wang lima ratus ringgit pada Haji Salim. Dengan wajah yang tenang Haji Salim menolak.
"Tak mahu."
"Apa fasal, kita sudah janji."
"Saya bukan mahu lawan itu macam, saya panas hati bila lu cakap orang Melayu tak ada kuat dan tak boleh lawan sama lu."
"Saya sudah banyak tempat pergi, belum ada orang Melayu berani lawan, jadi saya ingat orang Melayu memang tak kuat."
"Lu silap, orang Melayu tak suka tunjuk-tunjuk kuat itu macam, tapi kalau sudah lu cakap besar, saya mau cuba."
"Lu betul punya haji, bukan main-main punya haji, badan kurus tapi hati banyak kuat."
"Sudahlah kawan."
"Sekarang saya tak mahu cakap itu macam lagi, lu serupa saya punya saudara," penjual ubat itu terus bersalam dengan Haji Salim.
Penjual ubat itu terus mengemaskan semua bahan-bahan perniagaan. Disumbatkan ke dalam kereta Morris Minor berwarna hitam.
"Kita kawan, tak mahu lawan-lawan," kata penjual ubat itu dan terus masuk ke kereta. Ia meninggalkan tempat itu menuju arah ke Tapah.
Saya dan Haji Salim meninggalkan tempat tersebut. Kami menuju ke tempat motorsikal yang diletakkan berhampiran dengan warung penjual kopi. Bila sahaja Haji Salim memegang motosikalnya, cina tempatan yang menegah ia beradu kekuatan tadi datang menghampirinya.
"Terima kasih, lu sudah ajar itu orang. Dia cakap tak baik, macam dia saja yang kuat. Lagi satu, dia cakap selalu kata Melayu tak kuat, dia macam suruh Melayu sama Cina gaduh," kata Cina tempatan itu.
"Tak apa, saya ingat dia mesti terus balik Taiwan dan tak mahu datang ke sini lagi."
"Saya harap juga begitu, dia bukan Cina Malaysia, dia tak tahu kita di sini, tak kira Melayu, Cina India semua mahu hidup baik-baik dan satu hati."
"Sudahlah lu siapa nama?"
"Saya nama Lim Kim Seng, lu siapa nama?"
"Haji Salim."
"Baik, terima kasih."
"Sama-sama."
NAIK
Cina tempatan itu meninggalkan saya dan Haji Salim, ia menuju ke arah kiri jalan. Saya lihat ia naik basikal menuju ke arah kawasan perlombongan yang tidak berapa jauh dari pekan Temoh.
Bila Haji Salim menghidupkan enjin motorsikal, beberapa orang pemuda menghampirinya. Mereka terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Haji Salim. Enjin motorsikal terus dimatikan. Haji Salim terus berdiri di tengah kumpulan para pemuda yang berjumlah antara lima hingga tujuh orang.
"Kami mahu menuntut ilmu dari Pak haji," salah seorang daripada pemuda itu menyampaikan hasrat hati.
Saya, mereka tidak pandang langsung. Saya bagaikan tidak wujud di situ. Haji Salim merenung wajah mereka satu-satu dengan tenang.
"Minta maaf, aku bukan orang handal," jawab Haji Salim.
"Tak usah jadi harimau menyembunyikan kuku, kami sudah lihat kemampuan tuan haji tadi," balas jurucakap pemuda itu.
"Semuanya dengan izin Allah. Kalau mahu mencari sesuatu kau pelajarilah isi Quran. Ingat, sebelum itu kau harus mengenali Allah lebih dahulu."
"Maksud Pak Haji."
"Kalau diizinkan oleh Allah semua perkara boleh berlaku. Tetapi kalau kamu tidak mengenalinya, bagaimana kamu mahu minta pertolongan dariNya."
"Kami mahu mengenali Allah dengan pertolongan tuan haji."
"Carilah ilmu itu. Tetapi, bukan pada saya. Ingat, menuntut ilmu atau belajar itu memang dituntut oleh agama Islam. Hukumnya fardhu kifayah."
Haji Salim menepuk baju pemuda yang menjadi jurucakap kumpulan itu. Saya lihat pemuda itu resah tidak menentu sambil merenung wajah kawan-kawannya yang lain.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 4 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now