Suara di sekitar kubur lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara orang perempuan dan suara kanak-kanak menangis. Lelaki yang menatang kanak-kanak itu meletakkan kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali menangis dan terus diam bila lelaki itu menyumbat susu ke dalam mulutnya.
"Aku yakin kanak-kanak itu, bukan kanak-kanak betul," beritahu datuk pada Haji Salim.
"Tapi, macam mana ia boleh menangis tuk," tanya saya.
"Itu bukan suara kanak-kanak tu Tamar."
"Habis suara siapa tuk?"
"Suara itu datang dari dalam kubur."
Saya terus diam. Dengan serta merta bulu tengkuk saya mula meremang. Tetapi mata saya terus tertumpu ke arah kubur lama. Saya lihat lelaki itu mengeluarkan pisau lalu menikam kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak-kanak itu melalak. Saya lihat darah dari perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi pergelangan tangan lelaki yang menikamnya.
Suara ketawa dari orang yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar. Bila suara ketawa itu berakhir, terdengar suara orang perempuan mengilai bersahut-sahutan dari angkasa. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama bertepuk tangan menyambut hilai ketawa dari udara.
Lebih kurang lima minit suara ketawa dan mengilai itu berbalas-balas. Lepas itu suasana di situ terasa sepi. Orang lelaki yang menikam kanak-kanak itu terus berdiri. Ia mendepangkan kedua belah tangannya. Kain hitam yang dipakainya mengembang lebar macam sayap kelawar.
"Hai ratu, raja dahulu. Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris terdekat dari Selendang Delima. Khabarkan pada kami di mana harta keturunan kamu disimpan," suara lelaki itu meninggi.
Tidak ada jawapan yang terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu untuk kali yang kedua. Tiada jawapan yang diterima. Lelaki berjubah hitam itu berjalan atas kubur. Suara lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu terus menyanyi dengan semahumahunya. Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok di belakang kami bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada lembaga besar dan tinggi melintas di depan kami.
"Jangan tegur apa yang kamu lihat," datuk memberi pesan.
Saya dan Haji Salim anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur berhenti berjalan. Berdiri di depan seorang lelaki yang berpakaian macamnya. Lelaki itu melompat dan melutut di depannya.
"Semua harta itu ada di dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya kalau tidak memenuhi syarat," orang berlutut bersuara.
"Apa syaratnya?""Kami mahu lidah dara sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami mahu mengacau penduduk di sini dan syarat ketiga kamu semua harus datang ke sini pada setiap tengah malam Jumaat," selesai sahaja orang itu berkata-kata ia terus rebah. Tidak ada orang yang mahu menolong membangunkannya.Orang yang mengelilingi kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila melihat orang yang rebah bangun dan terus duduk bersimpuh di depan lelaki yang berdiri."Syarat dari siapa?" tanya lelaki yang berdiri."Syarat dari aku, raja terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari utara," suara perempuan yang halus dan lunak. Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya.Dengan pertolongan cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit putih berambut panjang separas bahu. Orang lain yang mengelilingi kubur terus bertepuk tangan, macam orang tidak sedarkan diri.Datuk terus mengarah saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami terus merangkak dengan perlahan-lahan. Berhenti merangkak bila berada di belakang orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu.Malam yang kian jauh memburu pagi itu, terasa amat dingin sekali. Pokok kecil yang tumbuh sekitar kawasan itu nampak bergoyang disentuh angin. Cengkerik dan katak puru terus melompat tetapi, nyamuk tidak ada yang datang menyerang kami. Mungkin nyamuk takut dengan sinaran api yang marak itu."Bukan orang sini," bisik datuk pada Haji Salim."Aku rasa pun begitu," jawab Haji Salim sambil merapatkan dadanya ke tanah.Saya menggaru cuping telinga. Saya terasa terlalu sukar untuk bernafas dalam keadaan meniarap. Bau tanah menyucuk lubang hidung. Kalau ada semut yang merayap di pipi, tak boleh ditampar. Semut itu harus ditangkap dan diletakkan atas daun-daun kering."Apa yang mereka buat tuk?" tanya saya pada datuk."Memuja kubur.""Tujuannya untuk apa tuk.""Ada bermacam-macam, mungkin mereka mahu mencari harta karun mungkin mereka mahu mengamalkan ilmu salah.""Apa yang harus kita buat tuk?""Menghalau mereka dari sini, mereka tak boleh dibiarkan begitu, nanti kita yang susah. Syaitan yang dipuja tu akan ganggu kita semua."Saya terdiam. Tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan pada datuk. Biji mata saya arahkan pada dua orang yang berada di tengah kubur. Saya lihat orang yang duduk berlutut sudah berdiri. Ia mengeluarkan botol besar dari dalam kain hitamnya. Botol itu diserahkan pada orang di depannya.Bila lelaki itu mendapat botol, tanpa membuang masa botol itu diketuknya pada batu nisan. Serpihan botol itu diambilnya dan diserahkan pada orang yang baru bangun dari melutut itu."Untuk raja," katanya."Terima kasih, kau pula harus melutut," orang yang berdiri segera melutut.Dan orang yang dipanggil sebagai raja itu menutup kembali kepalanya dengan kain hitam."Apa yang aku mahu adalah darah kamu semua," orang yang dipanggil raja itu terus bersuara.Ia menyerahkan kembali serpihan kaca pada orang yang berdiri. Salah seorang daripada orang yang mengelilingi kubur lama itu bangun. Ia meletakkan baldi kecil di depan orang yang melutut. Dengan tenang orang yang melutut itu melukakan lengan tangan kirinya. Ia membiarkan darahnya menitis dalam baldi. Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh orang-orang yang mengelilingi kubur lama.Bila semuanya sudah menitiskan darah dalam baldi. Orang dipanggil raja itu terus minum darah. Bila selesai berbuat demikian, baldi itu diserahkan pada orang lain untuk menikmati rasa darah dalam baldi. Bila upacara ganjil itu selesai. Darah yang masih ada dalam baldi dicurahkan pada batu nisan. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus bertepuk tangan."Makan," kata orang yang dipanggil raja.Semua orang yang mengelilingi kubur lama mengeluarkan daun keladi dari celah ketiak lalu diletakkan di depan. Orang yang dipanggil raja itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kain hitam dan meletakkan atas daun keladi yang tersusun di depan orang-orang yang mengelilingi kubur lama."Makan," katanya.Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus membongkok dan menyuapkan sesuatu dari daun keladi ke mulut. Upacara itu berlangsung kira-kira lima minit sahaja."Apa lagi yang kamu mahu?" tanya orang yang dipanggil raja dan terus duduk.Belakangnya disandarkan kepada batu nisan. Matanya menatap wajah-wajah orang yang mengelilingi kubur lama."Ilmu yang bertentangan dengan hukum agama hukum akal, tidak mengenal belas sesama manusia," jawab orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu serentak."Baik, setiap kamu yang ada di sini harus membawa lidah anak dara sunti, kemudian bila lidah itu sudah ada di sini, aku tawarkan untuk memperdaya semua manusia," cukup tenang orang dipaggil raja itu memberikan jawapan.Datuk dan Haji Salim terus diserang rasa gelisah. Mereka tahu kalau semua orang yang mengelilingi kubur lama itu mematuhi permintaan manusia yang dipanggil raja itu, padahnya akan menimpa gadis-gadis sunti yang tidak berdosa."Ini sudah merbahaya," rungut datuk."Memang merbahaya," jawab Haji Salim.Saya hanya menggigit bibir. Pelik juga saya memikirkan, kenapa datuk dan Haji Salim tidak mahu bertindak dengan segera.Selain daripada itu, bila mereka merompak waktu malam, tubuh mereka sukar dilihat dengan mata kasar. Penjelasan datuk itu diakui oleh Haji Salim.Bila semuanya sudah mengenakan kesah darah di batu nisan ke tubuh, mereka duduk di tempat asal kembali dan terus bertepuk tangan. Orang yang pengsan di batu nisan tidak ada siapa yang mahu ambil tahu. Akhirnya orang itu sedar sendiri. Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya. Dan wajahnya saya lihat berbeza sekali.Kalau tadi kulitnya putih lembut dengan rambut panjang, kali ini kulit wajahnya menjadi sawo matang dan keras, rambutnya digunting pendek macam tentera yang baru selesai menjalani latihan, di pusat latihan tentera di Port Dickson. Ia melangkah longlai ke tepi kubur lama lalu duduk di situ. Saya menguap panjang sebanyak dua kali. Rasa mengantuk kian terasa. Rasa dingin kian hebat menggigit kulit tubuh.Tanpa diduga, Haji Salim terbatuk dengan kuat. Semua orang yang mengelilingi kubur segera bangun. Mereka terus membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan kubur terang benderang. Kain hitam yang membungkus kepala mereka jatuhkan. Semuanya berambut pendek dengan wajah yang bengis.Dalam keadaan yang cemas begitu, datuk terus melompat dan berdiri tidak jauh dari mereka."Maksiat," pekik datuk. Haji Salim dan saya terus berdiri di kiri dan kanan datuk.Pada mulanya kumpulan berjubah hitam itu mahu menentang kedatangan kami. Tetapi, bila mereka melihat Haji Salim melambaikan tangan ke arah hutan tebal, seolah-olah memanggil orang lain keluar dari hutan tebal, membuat kumpulan itu berpandangan sama sendiri."Apa yang kamu buat di sini," tanya datuk. Tiadak ada jawapan yang diterima. Semua anggota kumpulan itu melangkah setapak ke belakang."Tinggalkan," saya terdengar suara dari sebelah kanan.Serentak dengan itu anggota kumpulan tersebut terus menghilangkan diri. Meredah pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.Haji Salim terus mengejar mereka dengan harapan salah seorang daripada mereka dapat ditangkap. Usaha Haji Salim itu gagal. Kumpulan berjubah hitam itu cukup cekap berlari dalam gelap. Apa yang mereka bawa seperti tempat perasap, daun kelai, baldi dan botol semuanya sempat disambat untuk dibawa lari bersama.Haji Salim kembali mendapatkan saya dan datuk yang berdiri di atas kubur. Haji Salim tercungap-cungap. Dengan pertolongan cahaya api, saya dapat melihat peluh menitik dari muka ke atas bajunya."Penat," Haji Salim merungut."Sepatutnya, jangan dikejar tadi," balas datuk."Itulah silap saya, sekarang apa yang harus kita buat. Kalau kumpulan itu mengamuk, susah kita dibuatnya.""Bertenang, masih ada masa untuk kita berusaha.""Caranya?""Nanti kita fikirkan."Datuk terus menepuk bahu Haji Salim. Tanpa banyak cakap kami pun meninggalkan kawasan tanah kubur lama itu. Seperti yang diduga, ketika kami menyeberang sungai mahu pulang ke rumah, hujan turun dengan lebatnya. Titik-titik hujan yang kasar itu disertai dengan kilat dan bunyi guruh.Seluruh pakaian kami habis basah kuyup. Saya menggeletar dan dua kali buang air kecil. Berjalan dalam hujan waktu malam memang menyeksakan. Sama ada suka atau tidak saya mesti menjalaninya dengan perasaan yang sabar."Singgah dulu, kita sembahyang Subuh bersama," kata Haji Salim bila sampai ke kawasan rumahnya."Tak payahlah, rumah kita pun tak jauh lagi," datuk menolak permintaan Haji Salim dengan tenang.Haji Salim menuju ke rumahnya. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.Hari masih gelap, hujan terus gugur bersama kilat dan bunyi guruh sambung-menyambung. Memang dalam suasana demikian memang seronok tidur, fikir saya. Entah apa yang datuk fikirkan ketika berjalan dalam hujan itu, saya sendiri pun tidak tahu. Saya dan datuk pun sampai di rumah."Pergi mandi tukar baju basah tu," perintah datuk."Baik tuk," saya pun masuk ke bilik air. Datuk terus menuju ke perigi. Baru dua gayung air menjirus badan, saya terdengar pintu bilik air diketuk orang bertalu-talu."Siapa tu?""Aku.""Aku tu siapa?""Nenek kaulah, kenapa kau mandi di rumah Tamar. Kenapa tak mandi di telaga.""Tuk yang suruh nek.""Cucu dengan datuk sama saja. Adakah patut suruh cucu mandi di rumah," rungut nenek. Saya tersenyum sendirian dalam bilik air.Lepas mandi saya terus ganti pakaian. Tidak lama lagi waktu Subuh akan tiba. Nenek melarang saya masuk ke bilik tidur. Ia tahu, kalau saya masuk bilik tidur, sembahyang Subuh pasti tidak saya lakukan."Apa yang kau orang dapat di kubur lama Tamar?""Itu kena tanya tuk," saya renung muka nenek. Dalam waktu yang sama datuk masuk ke rumah. Ia berdiri di depan nenek sebentar."Awak nak tahu apa kami dapat di kubur lama?""Apa dia?""Jumpa orang buat kerja maksiat.""Kerja maksiat.""Ya."Datuk pun masuk ke ruang tengah. Tiba-tiba terdengar suara datuk menjerit. Saya dan nenek menerpa ke ruang tengah. Saya lihat datuk membongkok mengambil sesuatu dan mencampakkan ke luar ikut tingkap."Apa dia tuk?""Daging orang dalam daun keladi, aku campakkan ke tanah.""Kenapa tuk tak tanam.""Ah, tak usah banyak tanya," suara datuk keras.Kerana azan Subuh sudah kedengaran, saya dan datuk meneruskan sembahyang Subuh. Lepas sembahyang saya ikut datuk bersenam. Hujan masih lagi turun, tetapi tidak selebat tadi. Pagi itu, datuk tidak mandi embun.Lebih kurang pukul sembilan pagi, hujan berhenti terus. Matahari kembali bersinar. Datuk dan saya berehat di anjung rumah. Dari jauh kelihatan bayang seorang lelaki berbaju putih berseluar hitam datang ke arah kami. Langkahnya cukup laju. Sampai di halaman ia terus memberi salam. Datuk membalasnya dengan penuh hormat."Silakan naik," pelawa datuk. Orang itu tidak menjawab. Ia terus mengurut-urut janggut sejemput di bawah dagu.Satu hal yang pasti, orang itu tidak berani menentang mata datuk. Setiap kali datuk merenung matanya ia segera mengalihkan pandangannya ke arah lain."Rasanya kita pernah berjumpa tapi, di mana saya tak ingat," datuk bersuara dengan nada riang.Belum pun selesai datuk berkata-kata. Orang itu memalingkan mukanya ke kiri dan terus melangkah tanpa mahu menoleh lagi ke rumah datuk. Akhirnya, hilang dalam sinar matahari yang kian garang. Datuk termenung sejenak. Dahinya kelihatan berkerut macam mengingati sesuatu. Datuk menumbuk lantai sambil berkata:"Aku ingat.""Apa yang tuk ingat.""Orang itu pernah datang jumpa aku di rumah ni waktu malam, masa itu ia memakai jubah sambil membilang tasbih,""Siapa orangnya tuk?""Namanya aku tak tahu, tapi ia pernah memberi amaran pada aku kerana menolong perempuan yang aku jadikan anak angkat."Saya anggukkan kepala. Wajah Sariyah dan ibunya terbayang di ruang mata saya. Sudah lama mereka tidak datang menemui datuk. Rasa kesal terus juga bermain di hati saya. Kenapa datuk mesti menerima akibatnya setelah melakukan sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan.Saya segera menggigit bibir bawah. Rasa geram terus meluap-luap di dalam dada. Kalau diturutkan kata hati, mahu rasanya saya membawa kayu dan memukul batang leher lelaki jahanam itu.Dalam saya berperang dengan perasaan itu cara mendadak Haji Salim datang. Ia membawa sebilah keris. Datuk mengajak ia naik. Haji Salim menolak."Ada apa hajat?" tanya datuk."Nak mengajak pergi ke kubur lama.""Apa pula sebabnya?""Hati saya berkata-kata tak puas rasanya kalau tak melihat apa yang ditinggalkan oleh orang-orang maksiat itu.""Kalau begitu, eloklah kita pergi."Datuk pun turun. Saya juga ikut turun. Tanpa memberitahu nenek datuk terus menuju ke kawasan kubur lama. Kerana hujan lebat pada sebelah malam, kesan air hujan masih terasa di daun kayu dan bumi pun agak lembap sepanjang perjalanan menuju ke tempat tersebut.Biasanya, air sungai tidak naik. Tetapi, pagi itu air sungai naik kira-kira dua kaki. Airnya pula mengalir keruh. Kami terpaksa meranduk air yang keruh itu. Tidak banyak perkara yang datuk bualkan sepanjang perjalanan itu. Ia asyik membaca sesuatu. Sebabnya saya berniat berkata begitu, sepanjang perjalanan itu mulut datuk sentiasa bergerak-gerak sahaja.Setelah melawan arus sungai, kami pun sampai ke seberang dan terus memanjat tebing. Dari situ bergerak menuju ke kubur lama. Apa yang saya lihat di situ ialah puntung-puntung kayu dan abu yang lembap. Kesan darah di batu nisan sudah tidak kelihatan lagi. Semuanya hilang kena air hujan.Datuk dan Haji Salim terus memeriksa seluruh kawasan kubur lama. Mereka terjumpa dengan serpihan tembikar tempat perasap serta beberapa ketul kemenyan yang bertaburan. Haji Salim mengambil ketul kemenyan itu. Ditelitinya sebentar, kemudian dicampakkan dalam semak."Kita balik saja," saya terdengar suara datuk."Ya, tak ada guna membuang masa di sini," sahut Haji Salim.Kami pun melangkah meninggalkan kawasan kubur lama. Bila sampai dekat sungai kami terdengar suara orang perempuan memanggil nama Haji Salim dan datuk bertalu-talu. Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan panggilan itu."Jangan dijawab," datuk mengingatkan saya."Kenapa tuk.""Itu suara syaitan.""Suara syaitan," ulang saya sambil meraba pangkal tengkuk.GANGGU PENDUDUKSudah seminggu lebih penduduk kampung Mandi Upih didakap keresahan. Setiap senja dan Subuh rumah mereka didatangi orang-orang berjubah hitam yang tidak dikenali.Orang-orang yang berjubah hitam itu mengetuk pintu, terutama waktu sembahyang Maghrib. Kalau pintu tidak dibuka ketukannya terus berlanjutan. Kalau dibiarkan papan pintu akan pecah. Bila dibuka, orang yang membuka hanya melihat belakang manusia berjubah hitam dalam tempoh beberapa saat sahaja. Kemudian orang berjubah hitam itu terus hilang.Kalau yang membuka pintu itu orang lelaki. Ia tidak melihat manusia berjubah hitam tetapi, ia akan melihat wanita cantik memakai pakaian serba kuning dengan wajah yang menawan. Kalau direnung lama-lama, wajah yang menawan itu akan bertukar menjadi hodoh. Gigi yang putih menjadi merah , macam darah. Kiri kanan gigi akan tumbuh siung. Hidung yang mancung jadi berlubang dengan beberapa ekor ulat, begitu juga dengan biji mata. Sebelum menghilangkan diri perempuan itu akan ketawa. Dari mulutnya akan keluar bau yang amat busuk. Tidak ubah macam bau bangkai.Malang bagi orang luar atau saudara mara yang datang ke rumah saudara mara di kampung itu waktu Maghrib. Mereka terpaksa membaca ayat fatihah dan ayat 'Qulhuallah' serta dua kalimah syahadat dengan lantang. Bila pembacaan itu betul dan lancar, baru saudara atau adik-adik membuka pintu dan mempersilakan masuk. Kalau tidak boleh membaca anak sendiri pun tidak akan dibuka pintu. Mereka berbuat demikian, kerana mematuhi nasihat dari Haji Salim.Akibat dari undang-undang yang tidak bertulis, kanak-kanak yang belum ke sekolah sudah lancar membaca ayat-ayat tersebut. Kesannya memang baik. Sejak undang-undang itu dilancarkan, orang-orang jubah hitam mula berkurangan mengacau para penduduk di situ waktu Maghrib.Meskipun kegiatan kumpulan jubah hitam itu berkurangan. Tetapi, datuk tidak puas hati. Ia mahu menghancurkan dan melenyapkan kumpulan itu dari mengacau para penduduk. Jadi, tidaklah menghairankan kalau ada setiap masa datuk berusaha dengan pelbagai cara untuk menghancurkan kumpulan itu.Hari itu, seorang lelaki mengunjungi rumah datuk. Tetamu yang jadi kenalan baik Haji Salim itu dipersilakan masuk ke rumah. Ia ditemani oleh Haji Salim."Apa hajatnya," soal datuk.Teman Haji Salim yang berasal dari Kampung Matang Aceh itu tunduk merenung lantai. Kemudian ia mengangkat mukanya perlahan-lahan merenung muka datuk dan Haji Salim."Silakan," gesa Haji Salim."Saya disuruh oleh Ketua Kampung Matang Aceh menemui awak.""Sebabnya.""Ada anak dara sunti di kampung mati dicekik orang waktu senja dan lidahnya dipotong," kata teman Haji Salim."Dah repot pada polis.""Sudah.""Bila perkara itu terjadi.""Dua hari yang lalu.""Jumpa saya nak buat apa?""Minta ikhtiar supaya perkara macam itu jangan berulang lagi."Datuk menarik nafas panjang. Datuk renung muka Haji Salim. Mereka berbalas senyum, macam ada sesuatu rahsia besar yang tersembunyi dalam pancaran senyuman mereka."Baliklah, jaga kampung," nasihat datuk.Teman Haji Salim minta diri dan pulang. Haji Salim cuma menghantarnya hingga ke kaki tangga sahaja. Kemudian ia naik ke rumah datuk kembali. Datuk di anjung."Saya yakin, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang kita lihat di kubur lama," Haji Salim meluahkan perasaannya. Datuk anggukkan kepala. Lama juga datuk dan Haji Salim bertukar-tukar fikiran dan pendapat.Akhirnya, mereka meninggalkan rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang Asar. Lepas sembahyang Asar, datuk tidak pulang ke rumah. Ia singgah di rumah Haji Salim. Haji Salim membawa datuk melawat ke bahagian tempat ia menempah keris.Datuk terkejut besar, bila ia melihat beberapa bilah lembing yang di bahagian hujung matanya terlekat buah limau nipis manakala ulu lembing dilumur dengan tanah liat yang berwarna kuning."Buat apa ni Haji?""Ini caranya membunuh orang yang tidak makan besi tajam.""Kenapa kita mesti membunuh, kalau kumpulan jubah hitam itu berniat jahat, jawabnya mata lembinglah."Datuk ketawa mendengar cakap Haji Salim. Sebenarnya, ia juga ada petua tersendiri bagi mengalahkan orang yang tidak mampan oleh peluru dan senjata tajam. Petua yang diamalkan itu mesti diiringi dengan pembacaan ayat-ayat suci. Hal itu tidak pula dinyatakan oleh datuk pada Haji Salim."Aku yakin, orang-orang itu tak payah dicari, mereka akan datang mencari kita. Aku rasa orang itu ada dekat kita.," ujar datuk lagi. Haji Salim renung kiri kanan, macam mencari sesuatu. Ia tidak nampak ada manusia di situ, selain diri saya, datuk dan dirinya."Awak bergurau.""Tidak, saya yakin orang itu ada di sini," selesai sahaja datuk bercakap, ulu lembing yang tersusun itu terangkat sendiri macam ada orang yang mengangkatnya.Ulu lembing itu tersusun kembali seperti asal, ketika itu juga Haji Salim terlihat bayang-bayang manusia melintas di depannya."Awak menggunakan pancaindera yang keenam," kata Haji Salim."Tidak, saya menggunakan gerak rasa dan hati. Sejak masuk tadi saya terasa ada orang bersembunyi di sini, tapi sukat untuk dilihat," jelas datuk.Haji Salim tersenyum lalu menepuk pangkal lengan kanan datuk."Kebolehan yang ada pada awak dan pada saya kita satukan untuk menentang perkara jahat."
(Bersambung...)
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 4 ) (COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...