Mujurlah ingatan datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.
"Ah, haji laknat," pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.
Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang singgah di papan diding dan terus melekat di situ.
Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat. Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad. Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan riwayat Haji Salim.
Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud. Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar. Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim. Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.
Saya lihat darah memuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang. Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud. Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.
"Kau sudah melampau," jerkah datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun. Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.
"Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud," Haji Salim renung muka Daud. Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya. Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari datuk.
"Ah," jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk datuk. Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati. Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih.
Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya. Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.
"Kita tangkap dia," kata datuk. Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut datuk memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh. Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, datuk tetap memaksa saya.
Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang. Dari Kampung Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin.
Saya, Haji Salim dan datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci. Selesai Haji Salim bercakap, datuk pula mengambil peranan, memeberikan penerangan selanjutnya.
Saya lihat, baik datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui. Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.
"Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa," beritahu datuk pada mereka. Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.
"Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu fasal," cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.
Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.
"Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua," balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.
Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.
Anehnya, tidak ada seorangpun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut. Mungkin mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim. Satu hal yang pasti, sama ada datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.
"Bagaimana dengan luka tu masih terasakah bisanya?" tanya datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.
"Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri," jawab Haji Salim dengan tenang.
"Kalau begitu, biarlah kami pulang," ujar datuk.
"Silakan, tapi...," Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya. Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.
Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, datuk terus mengajukan pertanyaan.
"Kenapa Haji?"
"Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut."
"Agaknya bisa parang panjang."
"Bukan."
"Kalau bukan itu, apa dia?"
"Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing."
"Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar."
"Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu."
"Terpulanglah pada awak," balas datuk. Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.
"Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak," Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.
"Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya."
"Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah."
"Baiklah."
Saya dan datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih. Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas pada diri saya.
Saya terus berjalan mengekori datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di dahan. Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud. Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu tengkuk saya meremang. Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan gurunya.
MANDI
Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan kawasan rumah. Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan kesanggupan.
YOU ARE READING
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 4 ) (COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...