Bab 104-Dikuasai Suara Aneh

1.5K 31 0
                                    

  Kerana sudah kerapkali berdepan dengan kejadian demikian, saya jadi arif untuk menjawab dan memberhentikan suara yang bergema dari setiap sudut ruang. Seluruh perhatian, saya tumpukan ke arah orang di atas pentas yang wajahnya tidak berapa jelas.
"Ya, dia memang musuh kita," terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya. Suara orang ketawa bergema di ruang dewan. Bila gema ketawa berakhir, gegendang telinga saya menangkap suara orang berbentuk perintah.
"Kau mesti membunuhnya. Kau nampak kerlipan di bahagian dada kirinya?"
"Saya nampak kerdipan itu, saya mesti membunuhnya."
"Bagus, kaulah perwira satria. Ayuh lakukan!" Pujian muncul dari setiap ruang dewan. Telinga saya terasa pekak. Semangat baru meresap ke dalam urat saraf. Hidup mati saya semata-mata untuk mematuhi perintah suara aneh itu.
"Ya, saya mesti melakukannya sekarang. Saya mesti menikamnya dengan pisau sampai mati," satu tekad yang bulat berpadu dalam diri saya.
"Ya, untuk kebenaran dan keadilan, kau lakukan segera. Jangan berlengah-lengah lagi, jangan bertangguh-tangguh."
"Ya, kata saya penuh semangat.
Pisau yang terselit di pinggang segera saya pegang. Saya cabut dari sarungnya. Dengan tenang dan penuh keyakinan, saya ,melangkah ke arah lelaki di tengah pentras. Saya berlagak dan berpura-pura memberi penghormatan padanya. Makin lama, makin dekat saya dengannya.
Kerlipan di bahagian dada kirinya terus memancar. Menyilaukan mata tetapi semuanya itu tidak menghalang saya untuk menghampirinya. Saya pasti kerlipan itu tidak menghalang saya untuk menghampirinya. Sata pasti, kerlipan yang memancar dari bahagian kirinya itu ialah sebuah medal berbentuk empat segi yang melambangkan seekor tupai bertarung dengan ular senduk. Medal itu dibuat dari tembaga kuning yang berkilat.
Saya naik ke pentas dari sebelah kanan. Dari tepi pentas, saya menghintung langkah hingga sepuluh. Berhenti betul-betul di depan lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas. Pencarian dari medal yang dipakainya tetap menyilaukan mata saya. Tanpa membuang masa, saya terus menundukkan kepala memberi hormat padanya.
"Kamu," lelaki itu bersuara dengan rasa terkejut.
"Ya"' jawab saya.
TAHU
Seperti mengetahui apa yang akan saya lakukan terhadapnya, lelaki itu memusingkan badannya, membelangkangi saya. Kerlipan dari medal yang dipakainya tidak dapat saya lihat. Pandangan saya jadi gelap, dalam keadaan yang agak cemas itu pisau di tangan saya angkat tinggi-tinggi. Saya cuba menahan diri dari melakukan sesuatu. Kerana pisau sudah di angkat tinggi, usaha saya menemui kegagalan.
Cukup pantas sekali saya rasakan gerakan tangan. Pisau terus terbenam ke bahagian belakang lelaki itu. Saya lihat tubuh lelaki itu berkecai dalam percikan cahaya bersinar. Medal yang berkilau-kilau bergeral pada setiap ruang dewan. Akhirnya, berlaga dengan dinding dewan, berkecai menjadi serpihan yang halus. Di mana-mana saya lihat api menyala dengan marak sekali.
Saya juga terdengar suara dari setiap sudut dewan, bergema dengan sejuta pujian. Semuanya memberi ucapan tahniah dan menganggap saya sebagai seorang pahlawan besar yang berjaya menghancurkan kedurjanaan demi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya terasa dan melihat jambangan bunga tidak putus-putus di campakkan ke arah saya. Berlonggok-longgok di tengah ruang dewan. Saya tersenyum bangga, suara pujian terus bergema.
"Kamu dah jalankan tugas suci," terdengar suara Amjal Kamal. Segera saya toleh ke kiri, dalam keadaan yang samar-samar itu, saya lihat Amjal Kamal tersenyum ke arah saya. Bila saya membuka kelopak bibir untuk mengucapkan sesuatu, Amjal Kamal terus hilang dari penglihatan saya.
Kerana yakin masih ada perintah selanjutnya, saya terus berdiri di tengah ruang dewqn dengan pisau di tangan. Masa terus berlalu, perintah yang diharapkan tidak juga muncul. Saya terus memandang ke arah longgokkan bunga di tengah ruang dewan. Aneh sungguh, longgokan bunga itu bergerak secara perlahan-lahan.
"Aduh, sakitnya," terdengar suara dari celah-celah longgokan bunga. Suasana cukup sepi sekali. Antara sedar dengan tidak, diri terasa mengembara dari alam khayal menuju ke alam nyata.
PANGKAL
Di saat-saat terumbang-ambing itu, saya terasa pangkal peha kanan saya dihentak oleh sesuatu dengan kuat sekali. Tubuh saya terpelanting ke dinding. Dari dinding bergerak ke kanan lalu terkandas pada almari cermin. Kaca almari pecah berderai.
"Ah," saya mengeluh seprti tersedar dari mimpi. Pecahan kaca terdampar atas kepala, bahu dan belakang. Saya masih bernasib baik kerana tidak luka. Saya cuba bangun tetapi tidak berjaya. Bahagian rusuk kanan saya terasa pedih bila saya cuba berdiri.
Saya terpandangkan nenek yang berdiri di sebelah kiri. Dengan lembut perempuan itu mengutip pecahan kaca di tubuh saya. Semua pecahan kaca itu di isi di dalam baldi plastik.
"Apa kena kamu ni, Tamar. Tak habis-habis buat hal," nenek merungut.
"Kenapa nek?" Tanya saya.
"Kamu tengok sendiri," nada suara nenek separuh keras. Jari telunjuknya menghala ke arah datuk. Saya lihat datuk mengerang kesakitan. Kesan darah masih dapat dilihat pada kain putih yang melilit bahagian rusuk kirinya. Di hujung sejadahnya, saya terlihat pisau pemotong bawang tersadai berlumuran darah.
Beberapa orang jiran tetangga bermunculan di muka pintu di pagi yang bening itu. Barangkali, mereka dapat mengikuti apa yang terjadi dalam rumah sejak subuh tadi.
"Kenapa dengan Tuk ini?" soal saya dengan rasa terkejut. Nenek gelengkan kepala.
"Kamu tikam dia, Tamar," jelas nenek.
"Ya Allah," saya mula meraung sekuat hati. Seluruh isi kampung menjadi gempar.
Raungan saya itu menambahkan lagi para jiran berdatangan ke rumah. Semuanya terpaku dan terpukau melihat apa yang terjadi. Beberapa orang jiran bersedia untuk mengusung datuk ke hospital tetapi datuk menolak budi para jiran itu. Menurut datuk, luka yang dialami tidak besar, boleh diubati secara kampung. Beberapa orang lelaki terus menangkap saya. Mereka juga memerintahkan nenek supaya menyimpan benda-benda tajam di tempat selamat.
"Ikat," ujar jiran kepada seorang jiran yang lain. Dalam beberapa saat sahaja sepasang tangan saya diikat dengan tali belati. Begitu juga dengan sepasang kaki saya. Tidak ada perlawanan yang saya lakukan kerana saya sendiri tidak sedar bagaimana saya melakukan perkara tersebut.
"Kita serahkan pada polis, biar dibawa ke hospital. Boleh otaknya diperiksa. Budak ni dah gila. Kalau dibiarkan di rumah, ramai orang yang mati," seorang perempuan bermulut celupar mengeluarkan pendapat. Saya lihat kebanyakan jiran bersetuju dengan pendapatnya itu.
Nenek termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk meraba ke arah balutan lukanya.
"Jangan dipengapakan dia. Apa yang dibuatnya, dia sendiri tidak tahu. Ada kuasa lain yang meresap ke dalam dirinya," kata datuk. Dia berdiri sambil menekan ke arah bahagian berbalut. Nenek tidak berkata apa-apa. Matanya masih terpaku ke arah tali belati yang membelit sepasang tangan dan kaki saya.
"Saya mengucapkan terima kasih di atas perhatian kawan-kawan. Bukakan tali belati itu," datuk mengeluarkan arahan. Ikatan di tangan dan kaki saya segera dibuka. Beberapa orang jiran berpandangan sesama sendiri. Mereka kurang senang dengan tindakan datuk yang enggan menyerahkan saya kepada pihak polis untuk ditahan dan dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental.
KELUAR
Memang wajar mereka memprotes tindakan datuk itu, kerana perbuatan yang saya perlihatkan pada mereka membayangkan diri saya kurang waras. Orang yang berfikiran warsa, tidak akan menikam datuknya yang mahu bersembahyang. Mereka bimbang kalau perbuatan itu melarat keluar rumah. Mungkin satu ketika, saya menyerbu ke masjid lalu menikam orang-orang yang sedang berjemaah di situ.
"Saya tahu, apa yang semua bimbangkan. Percayalah pada saya, dengan izin Allah, masalah cucu saya ni, boleh diselesaikan dengan baik," datuk memberitahu para jiran yang seakan-akan enggan bergerak dari ruang rumah.
"Saya berjanji kalau tak boleh diatasi, saya serahkan pada awak semua untuk dihantarkan ke Tampoi atau Tanjung Rambutan," datuk memberikan janji yang padu.
"Kami bukan apa-apa, kami takut kalau dia mengacau orang lain," para jiran menyatakan pendapatnya.
"Saya faham. Kalau awak susah, saya lagi susah. Dia cucu saya, berapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya tak suka perkara begini, apakan daya sudah takdir untuk saya menerimanya," datuk merayu penuh keikhlasan. Wajahnya berkerut. Mungkin dia menahan rasa sakit.
"Kami faham, sebagai jiran kami juga ada rasa bimbang dan takut," sambung jiran itu lagi.
"Bimbang dan takut tu, memang hak kamu. Aku tak marah dan tak kecil hati. Berilah kesempatan pada aku untuk memulihkannya," begitu lembut nada suara datuk.
Tanpa banyak cakap, para jiran meninggalkan rumah dengan wajah yang tenang, beberapa orang daripada mereka terus memeluk datuk menyatakan rasa simpati sambil berjanji tidak akan membiarkan datuk bersendirian di dalam masalah ini.
LUKA
Bagi menyembuhkan segera luka yang dialami, datuk memanfaatkan perubatan secara tradisional. Dia menggunakan ramuan beberapa helai daun dan kulit pokok. Bahan-bahan itu disatukan lalu ditumbuk hingga lumat dan dicampurkan dengan setitik embun jantan.
Sebelum bahan-bahan itu digunakan, datuk membersihkan luka di rusuk kiri dengan air panas. Setelah bahan-bahan itu disapukan ke tempat yang luka, datuk terus minum segelas air kunyit dan segelas air rebusan dari akar-akar kayu. Dalam beberapa jam luka itu terus kering. Tidak bengkak dan tidak bernanah. Datuk boleh bergerak ke mana sahaja, seolah-olah dia tidak mengalami sebarang kecelakaan.
"Tak apalah Tamar, semuanya terjadi masa kau tak sedar," itulah ungkapan pertama dari datuk setelah empat jam peristiwa yang mengerikan itu berlalu. Datuk tidak memperlihatkan rasa kurang senang dan gundah gulana dengan apa yang telah berlalu. Dia tetap melayani saya seperti biasa. Masih mahu bercerita tentang akar dan dedaun kayu yang boleh dijadikan ubat luka. Datuk menasihati saya supaya jangan susah hati.
Saya kira sebagai seorang tua, rasa bimbang dan cemas itu pasti ada di dalam diri datuk. Dia tahu, sejak tadi saya tidak berubah tempat, masih termenung. Mungkin juga dia tahu yang seluruh pemikiran saya masih berpusat pada suara-suara ghaib yang menyuruh saya melakukan sesuatu. Apa yang pasti, datuk tidak mahu dirinya berada dalam jarak yang jauh dengan saya. Gerak-geri saya sentiasa di dalam pengawasannya.
"Tamar," itu suara datuk. Saya renung ke arahnya dan melihat kelopak bibirnya bergerak. Saya tidak menjawab panggilan datuk itu kerana saya merasakan itu bukanlah suara datuk tetapi suara Amjal Kamal yang keluar dari kelopak bibir datuk.
"Tamar, Tamar, dengar sini."
"Ya, saya faham dan bersedia patuh dengan perintah."
"Tamaaaaaarrr...," jerit datuk lalu badan saya digoncangnya berkali-kali. Serentak dengan itu dia membaca surah Al-Ikhlas.
"Tamar," nada suaranya bertambah lunak.
"Tamar," ulang datuk lagi. Nada suaranya kali ini cukup lunak. Saya raba jejari saya, saya raba pipinya dan datuk membiarkan sahaja yang saya lakukan.
"Ini datuk?"
"Ya."
"Tadi suara datuk panggil nama saya?"
"Ya, Tamar."
"Jadi, tadi bukanlah suara Amjal Kamal? Apakah yang saya dengar tadi, suara datuk?" Saya seperti merungut. Datuk anggukkan kepala. Perlahan-lahan datuk memaut tubuh saya, disuruhnya saya berdiri. Kemudian saya dibimbingnya ke anjung rumah. Disuruh duduk menghala ke arah matahari jatuh.
"Amjal Kamal tu, kawan kamu Tamar?" Soal datuk.
Saya gelengkan kepala. Datuk menarik nafas panjag. Sesekali datuk renung ke arah halaman rumah yang disinari matahari pagi.
"Tapi kau kenal dia, walapun kau tidak begitu rapat dengannya?" menyusul lagi pertanyaan daripada datuk yang membuat saya lemah. Perasaan saya kian resah. Entah mengapa, saya begitu cemas dan takut bila nama Amjal Kamal disebut-sebut. Setelah berfikir panjang beberapa kali, saya terus menceritakan apa yang telah saya lalui pada datuk.
"Ini perkara biasa Tamar. Orang yang lemah semangat, lemah iman dan tidak ada kekuatan batin selalu dikuasai oleh pihak yang mahu menjahanamkan manusia," itu komentar datuk setelah mendengar cerita dari saya.
"Apa saya memang lemah?"
"Boleh jadi," datuk tersenyum lalu merenung ke kaki tangga. Dia menyambut salam Uda Lamat.
"Naiklah," jemput datuk.
"Tak disuruh pun saya tetap naik," sahut Uda Lamat lalu naik ke anjung dan duduk dekat datuk.
ZIARAH
Kedatangan Uda Lamat pagi itu, semata-mata untuk menziarahi saya. Dia amat gembira kerana keadaan saya agak baik. Semua pergelengangan kaki dan tangan serta sendi-sendi saya diperiksa dan dipicit. Kemudian Uda Lamat membuka kelopak mata kiri dan kanan saya.
"Tidak begitu baik lagi," bisiknya lembut kepada datuk.
"Apa yang patut dibuat?"
"Berikhtiar minta pertolongan dari Allah. Syaitan, kalau sudah meresap ke dalam tubuh payah mahu keluar," tambah Uda Lamat lagi. Datuk menarik nafas panjang-panjang.
Tiba-tiba badan saya menggeletar. Suara-suara aneh mula terdengar. Wajah Amjal Kamal tenggelam timbul di depan mata. Saya mula terasa tubuh memiliki kekuatan yang luar biasa.
"Tamar," sergah datuk.
"Apa yang kamu mahu?" saya mula menentang wajah datuk. Saya rasa datuk terlalu kecil berdiri di depan saya. Walaupun demikian, setiap kali datuk malafazkan kalimat-kalimat Allah ke arah saya, seluruh badan sata terasa panas.
"Jangan, saya tak tahan," rayuan saya tidak dipedulikan oleh datuk. Dia terus membaca hingga saya tidak sanggup menetang biji matanya. Saya rebah di depan datuk.
Ketika itu saya terdengar suara aneh yang mengutuk diri saya. Mereka tuduh saya pengkhianat, tidak setia pada perintah. Mereka mahu menamatkan riwayat hidup saya dengan membenamkan tubuh saya ke dalam tasik yang berbuih. Saya segera merenung minta tolong.
"Tamar," seru datuk serentak dengan itu satu baldi air jatuh ke muka.
"Tamar kau tidak apa-apa, ingat Allah berkuasa atas segala-galanya," Uda Lamat bersuara lembut. Dia duduk mencangkung di depan saya. Biji matanya dengan biji mata saya berlaga.
"Mengucap Tamar, Ashaduan la...," tambah Uda Lamat. Tanpa bertanguh-tangguh lagi saya terus mengikut Uda Lamat mengucap hingga akhir.
"Bagus, bagus," Uda Lamat terus menepuk bahu saya bertalu-talu. Tidak memadai dengan itu, tubuh saya yang basah terus dipeluknya erat-erat. Datuk tidak berkata apa-apa. Dia kelihatan tenang. Bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Pasti datuk membaca ayat-ayat suci.
"Saya dahaga," kata saya pada Uda Lamat. Cepat-cepat Uda Lamat memberitahu kepada nenek. Tidak sampai dua saat, secawan air sejuk sudah berada di depan saya. Ketika tangkai cawan saya sentuh, datuk segera menarik cawan yang berisi air dingin ke arahnya. Perbuatan datuk itu menghampakan saya.
"Saya dahaga," saya merayu.
"Aku tahu, apa kau tak boleh sabar sedikit," tengking datuk.
"Haaa..," saya terkejut dan hampir menitiskan air mata.
Uda Lamat memperkemaskan duduknya bersedia melakukan apa sahaja andainya saya bertindak secara mengejut. Rasa dahaga bagaikan tidak tertahan, tekak terasa pedih dan perit. Apa yang saya fikirkan, ialah air untuk membasahkan tekak. Tidak terniat di hati saya untuk melakukan sesuatu, apatah lagi untuk melawan datuk. Datuk terus mmbaca sesuatu di bibir cawan. Bila pembacaannya selesai, cawan berisi air itu diserahkan pada Uda Lamat.
"Berikan padanya," datuk mengeluarkan perintah.
"Awak baca surah apa?" Tanya Uda Lamat.
"Saya baca Al-Fatihah 20 kali, dengan izin Allah, syaitan dan Iblis yang berlindung dalam diri cucu saya akan keluar.
"Saya faham, Allah berhak melakukan sesuatu, kita memohon padanya," sanggah Uda Lamat. Saya resah, terasa cukup lama cawan itu berada di tangan Uda Lamat. Kenapa saya diseksa begitu kejam.
"Nah, Tamar."
Uda Lamat menghulurkan cawan berisi air kepada saya. Cepat-cepat saya menyambutnya lalu dilekatkan ke bibir.
"Nanti dulu, baca Bismillah sebelum diminum," Uda Lamat pegang pergelangan tangan saya. Apa yang disuruh oleh Uda Lamat segera saya patuhi. Setelah selesai membaca Bismillah, saya terus meneguk air tersebut.

(Bersambung...)   

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 7 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now