Tok! Tok! Tok!
Aku menghentikan langkah. Bunyi itu lagi! Kali ini, 3 kali ketukan di dinding telah menarik perhatianku seperti selalu.
Tempoh hari ketukan yang sama kedengaran tetapi di pintu bilik ketika aku baru sahaja ingin merebahkan diri di atas katil. Aku bangkit, terus membuka pintu untuk melihat siapa yang berada di luar bilik.
Tetapi, tiada siapa.
Malam tadi pula, ketukan itu kedengaran lagi, agak sayup. Aku fikir bunyi itu hadir dari bilik ibu angkatku. Tetapi tidak. Ianya datang dari dalam almari. Diselubungi rasa takut dan berdebar-debar yang bercampur, aku bangun. Saat itu, cermin di meja solek tiba-tiba pecah dan aku berani bersumpah yang aku telah melihat bayangan berdiri di sebelah almari dan menghadap aku.
Bila aku bertanyakan, tiba-tiba sahaja angin menyapa kuat dari arah luar rumah. Tingkap bilik mulai terbuka sendiri dengan agak kasar.
Aku gagal melelapkan mata sepanjang malam itu sehinggalah matahari mula menampakkan cahaya.
Tapi kali ini, aku tidak dapat menahan perasaan lagi. Sejak berpindah di rumah yang dikatakan tidak dihuni sesiapa sejak 10 tahun lepas, aku tidak tahu kenapa aku sahaja yang menjadi mangsa gangguan itu. Bila aku tanyakan pada ibu kalau ada apa-apa keanehan yang berlaku selepas berpindah di rumah ini, Ibu kata tiada apa pun yang aneh terjadi kecuali kisah dia hampir terjatuh di ampaian sehari selepas mereka berpindah.
Saat itu, aku mula merasakan rumah itu berhantu.
Aku berpaling dan mula mengatur langkah semula ke bilik. Hairan! Bukankah aku sudah menutup pintu bilik ini tadi?
Aku masuk ke dalam bilik. Belum sempat aku lakukan apa-apa, dengan sendirinya pintu tertutup perlahan membuatkan aku sedikit tersentak. Lebih mengejutkan apabila menyaksikan bayangan yang sama sejak beberapa hari lepas berdiri dihadapanku.
"Malia Yang Bijaksana."
Aku kaku seketika disapa makhluk itu.
"Sudah tiba masanya kau mengambil tempatmu sebagai Ratu di seluruh dimensi ini. Kau akan menjadi ratu yang terulung dan mampu menerajui dimensi ini dengan lebih aman dan makmur."
"Apa maksud kau? Siapa kau sebenarnya?" Aku segera memotong kata-katanya.
"Kau mungkin tidak mengenali aku, Malia. Tetapi aku sudah mengenalimu seawal kelahiranmu lagi. Kau adalah puteri kepada penyihir di dunia manusia yang paling hebat, Adia Maddenson dan Raja Harvik yang menguasai alam bunian. Selepas kelahiranmu, akulah yang membawa kau ke sini, wahai puteri. Aku lakukan untuk menyelamatkanmu dari peperangan yang telah memusnahkan alam bunian dan juga membunuh keluargamu."
Aku dipukul rasa pelik. " Aku tidak percaya. Aku manusia biasa. Aku bukan penyihir dan bukan orang bunian."
"Terpulanglah kepadamu untuk tidak mempercayai aku. Tetapi, jawapan kepada segala persoalan di dalam dirimu ada pada ibu angkatmu itu. Sebaik sahaja kau tanyakan padanya, dia akan pasti mengetahui masanya sudah sampai untuk kau mengambil tempatmu. Saat itu, berjumpalah dengan kerabatmu, Keluarga Maddenson dan juga Keluarga Stanley yang sentiasa setia menjaga rahsia dengan selamat. Ingatlah Malia, kau harus berhati-hati selepas ini kerana aku yakin kau akan cuba dihapuskan walau dengan apa cara sekalipun."
Bayangan itu terus hilang meninggalkan aku dalam keadaan terpaku. Selepas beberapa minit aku terus sahaja berlari kebilik ibu untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.
![](https://img.wattpad.com/cover/163485530-288-k185661.jpg)
YOU ARE READING
Halloween Vault Challenge
Short StoryKarya nukilan khas dari saya untuk HalloweenVault yang dianjurkan oleh AmbassadorMy. Silalah dan sudikanlah membaca. Dan men'vote'. Dan juga memberi komen! Terima Kasih! 🌸🌸UPDATED 31 DECEMBER 2018🌸🌸 Dengan sukacita dan merendah dirinya, jeng.je...