P14 : Majalah Seram

31 4 2
                                    

Sejak melarikan diri dari Nenek, aku kembali semula di Solomon. Kata Adam, rumahku telah pun dibacakan mantera pelindungan oleh Stu Maddenson.

Selepas kejadian Pohon Maple Solomon di Storyhaven Park itu terbakar, Adam membawa aku ke rumah agam Maddenson untuk perlindungan. Apabila di sana, aku mula kebosanan. Kerana itu, aku ke rumah Nenek untuk bercuti, walaupun Adam dan Stu beberapa kali cuba menyakinkan aku supaya tidak pergi ke mana-mana. Itu sebelum mengetahui bahawa Nenek adalah Helda, Si Penyihir Terkutuk yang telah cuba memusnahkan keturunan Malia. Selepas mengetahui apa yang dilakukan oleh Helda, lebih-lebih lagi bila melibatkan pembunuhan Mama dan Papa, aku rasa menyesal pula kerana bertegas untuk tinggal di rumah Helda.

Dan lebih mengejutkan, Helda bukanlah nenekku yang sebenar!

Petang itu, kerana kebosanan, aku membuat keputusan untuk mengemas rak buku di bilik peninggalan Mama. Sedang berkemas, aku terjumpa sebuah majalah lama dan usang, tetapi terletak di rak paling atas. Sepertinya tidak terusik selama ini. Rasa ingin tahu mula menghampiri. Aku terus mengambil majalah itu lalu duduk di kerusi yang berdekatan dengan jendela bilik.

Majalah Descendant. Tak pernah dengar pun majalah itu sebelum ini! Aku terus membelek helaian demi helaian sebelum sampai ke bahagian tengah majalah itu. Tiada cerita yang menarik kecuali apa yang dituliskan sebagai Every 15th Halloween and The Fact. Aku sekadar membaca sekali lalu sebelum menutupnya semula.

Aku bangun.

Satu cahaya yang amat terang mula menyinari ke seluruh bilik. Aku berpaling apabila menyedari bahawa cahaya itu datang dari majalah lama itu. Aku agak terkejut apabila satu objek keluar dari majalah itu secara perlahan-lahan. Tidak lama selepas itu, barulah kelihatan seorang wanita cantik berjubah putih terapung di udara.

"Anna!"

Aku terkesima. Suara yang sama kedengaran ketika aku berada di rumah Nenek. Suara itulah yang menyuruh aku melarikan diri. Dan wajah itu?

Malia?

"Setiap 15 tahun, pada setiap Halloween, kuatkanlah semangatmu, dekatkanlah hatimu kepada pelindungmu dan sentiasalah menjadi dirimu, nescaya Penyihir yang DiKutuk itu akan hilang kekuasaannya!"

Suara itu bergema dari Malia. Aku cuba memahami maksud kata-katanya walaupun aku tahu dia menujukan kata-kata itu kepadaku.

Tapi, aku bukan ahli sihir. Aku cuma manusia biasa. Kalau benarpun aku adalah waris keturunannya, tetapi tidak mungkin aku mampu menguasai ilmu sihir yang mampu mengalahkan Helda.

"Malia. Aku bukan Ahli Sihir!" Aku membantah.

Malia terus membacakan mantera di hadapanku. Aku bagaikan terpukau turut mengikut Malia membaca mantera yang sama.

Selang beberapa minit, tubuhku seperti terapung di udara. Aku menjerit, walaupun tiada kesakitan yang dirasakan. Bagai ada sesuatu yang merasuk tubuhku, meresap ke segenap urat saraf yang berlingkaran di dalam jasadku, kemudian aku jatuh semula ke lantai. Penat dan letih mula menggigit di setiap inci tubuhku.

Aku pandang lesu ke arah Malia. Dia tersenyum mesra. "Kau pewarisku, Anna Yang Bijaksana. Aku pindahkan kuasaku untuk kau miliki. Kau, aku harapkan dapat menewaskan Helda Yang DiKutuk agar alam ini kembali aman seperti sediakala."

Sebaik sahaja ucapan Malia itu berakhir, dia terus menghilang. Aku dibiarkan terpinga-pinga. Namun, setelah beberapa minit, pandanganku mula kabur. Yang kedengaran cumalah panggilan namaku oleh seseorang.

Adam!

Halloween Vault ChallengeWhere stories live. Discover now