"Nenek dah cakap kan jangan pergi depan sana. Dia malu tengok kau." Eryna merampas dulang berisi makanan dari tangan Aaira.
Aaira buat muka bodoh. Dah dia seorang sahaja perempuan muda di dapur, sudah tentulah dia yang angkat dulang. Takkanlah nak suruh mak dia yang demam atau mak cik lain yang kerjanya asyik membawang sahaja? Mak Long Ros a.k.a mak kandung Eryna, kerjanya membawang dari pagi. Kalau betul-betul potong bawang baguslah. Ini pandang bawang pun tidak sudi. Apa lagi nak angkat dulang.
"Ayah tolong Aaira, ya." Haji Husin bangun dari duduknya membantu Aaira mengangkat dulang dari dapur. Dia menolak tubuh anaknya perlahan agar ke dapur. Risau kalau tetamu terdengar pertelingkahan dua orang gadis itu.
"Mentang-mentang dia putih melepak, ingat lawa sangat ke? Macam ubi salut ragi. Tapai ubi," bebel Aaira perlahan yang hanya didengari oleh ayahnya.
"Aaira... Tak baik cakap macam tu. Nanti kalau Mak Long Ros dengar kecik hati dia." Haji Husin menggeleng. Kalau balik kampung tak pernahnya berbaik-baik dengan Eryna. Ada saja yang kedua-dua sepupu itu gaduhkan.
"Ayah tak marah ke kalau Eryna kutuk anak ayah ni muka hitam macam buntut kuali?" Aaira tidak puas hati. Kenapa ayah asyik menangkan kakak dia yang gemuk gedempol dan banyak mulut itu? Mak Long Ros bukan setakat kutuk dia seorang malah mak dia pun kena kutuk. Mentang-mentang mak dia anak yatim piatu dan tiada saudara mara.
"Jangan balas kejahatan orang dengan kejahatan. Kalau tak kita sama aje macam orang tu. Kalau Eryna terjun kolam Indah Water takkan Aaira nak terjun jugak? Nak berkubang dengan najis? Orang lain buat dosa kita janganlah ikut." Haji Husin menjaga nada suaranya agar tidak didengari sesiapa. Dia bersama Aaira menatang dulang berisi makanan menuju ke ruang tamu.
"Tak naklah terjun kolam Indah Water. Terjun lombong emas Aaira nak."
"Kalau nak lombong emas kena kahwin dengan anak tauke emas. Ayah ada kawan tauke kolam ikan. Aaira terjun kolam ikan ajelah."
"Ayah ni. Orang serius dia main-main pulak." Aaira menyerahkan dulang kepada Eryna. Masam muka Eryna melihat dia. Eryna pun terpaksa buat kerja hanya kerana nak jual muka. Nenek pun satu, kan bagus buat style buffet. Tak payah nak pakai dulang segala. Saja nak tayang Eryna ni cucu yang rajin.
"Tengok tu, dia menggeletis dengan anak tok ketua. Shahir tu pun satu... Gatal. Eloklah tu dua-dua gatal." Aaira mengomel. Meluat melihat Eryna dengan Shahir bermain mata.
"Aku tau kau cemburu. Sedar sikit diri kau tu siapa." Eryna menyerahkan dulang yang kosong kepada Aaira. Dia terdengar kata-kata Aaira tadi. Suka pula hatinya kerana Aaira cemburu. Kemudian dia pandang sekilas sepupunya lalu ayun langkah menuju ke dapur. Menyertai emaknya dan beberapa orang lain sibuk membawang.
"Cemburu... dengan Shahir? Memang taklah. Harap muka aje handsome tapi tanam anggur. Menyusahkan mak bapak aje Shahir tu..."
"Aaira, jaga mulut tu."
"Yalah... Nah dulang. Aaira nak tengok mak kat bilik. Demam dah kebah kut." Aaira menapak masuk ke bilik.
Melihat Eryna rancak berborak dengan mak cik-mak cik bawang, dia rasa menyampah. Mesti nama dia termasuk dalam salah satu topik perbualan. Aaira Zulaikha yang hitam macam buntut kuali sah jadi andartu. Usia dia 29 tahun hujung tahun ni. Macamlah Eryna bukan andartu. Mereka sebaya.
"Kenapa monyok aje ni?" Hajah Suriani perasan wajah sugul anaknya. Kalau wajah Aaira begitu pasti baru lepas bergaduh dengan Eryna.
"Eryna tuduh Aaira cemburukan dia dengan Shahir tu. Malas dah nak layan. Lepak kat bilik lagi bagus. Boleh borak dengan mak." Aaira memeluk emaknya. Tapak tangan menyentuh dahi emaknya.
YOU ARE READING
HERO JELITA - AEIN DHIYAUDDIN
RomanceSekali lagi saya tanya ni. Sudi tak kahwin dengan saya- ARYAN LEE No. Tak nak - AAIRA ZULAIKHA AAIRA ZULAIKHA -'Buntut Kuali' itu gelaran yang diberi kepadanya. Lahir dengan rupa sederhana dan berkulit gelap menjadi bahan ejekan nenek dan sepupunya...