"Hello manis." Akid menegur Jane, PA Aryan. Sebuah senyuman dihadiahkan buat wanita pertengahan usia itu.
"Tuan Akid. Selamat tengah hari." Jane membalas senyuman Akid.
"Mood dia macam mana?"
"Okey aje," jawab Jane ringkas.
"Okey tu means saya boleh ajak dia keluar makan?"
Jane angguk. Dia baru sahaja terdengar luahan perasaan majikannya kepada abangnya yang berada jauh di Jerman. Pintu bilik Aryan tidak tertutup rapat jadi dia dengar perbualan majikannya. Kekasih sendiri bertunang dengan kawan baik. Memang melampau Tengku Lily Ariana buat macam tu.
"Doakan saya tak kena sembur."
Jane mengucapkan good luck tanpa suara. Hanya bibir yang bergerak. Akid senyum dan ucapkan terima kasih. Perlahan dia menolak daun pintu.
"Kau tak nak makan ke?" Akid terus menegur Aryan yang sedang tekun menghadap komputer. Nampak serius sahaja.
"Aku tak lapar," jawab Aryan tanpa menjeling sedikit pun.
"Kau cakap tak lapar tapi naga kat perut kau tu dan mengganas. Kau jangan buat pasal." Akid tarik kerusi dan duduk. Lengan diletakkan di atas meja.
"Jom makan. Jangan sebab sorang perempuan kau nak seksa diri." Akid sengaja memancing.
"Tak ada maknanya aku nak seksa diri," nafi Aryan keras. Barulah matanya melihat Akid.
"Kalau macam tu jom... Aku teringin nak makan cendol."
"Aku malaslah. Nanti aku call food delivery." Aryan tetap menolak. Malas dia hendak berjumpa kawannya yang lain.
"Aku kira sampai tiga. Kalau kau tak bangun kau memang tengah meratap hiba." Akid bangun.
"Satu..."
"Okeylah..." Aryan mengalah. Dia mengambil kot di kepala kerusi.
"Tengah hari buta pakai kot. Simpan ajelah. Jiwa mat salih betul."
Aryan akur. Akid memang kuat mendesak. Selagi dia tidak mengikut pasti ada sahaja helah untuk buat dia mengalah. Sebenarnya dia malas nak ikut Akid. Malas hendak mendengar kata maaf Faizal. WhatsApp dan panggilan Faizal langsung dia tak layan.
"Aku tak ajak Faizal. Jangan risau. Kita kan tengah pulaukan dia." Akid berkata tanpa diminta. Dia tahu Aryan kurang selesa dengan Faizal.
"Hmmm..." Aryan malas hendak komen. Dia boleh maafkan Faizal tapi untuk melupakan perbuatan sahabatnya itu bukan mudah.
"Jane... Tak rehat lagi ke?"
"Sekejap lagi, tuan." Jane bangun.
"Petang ni ada apa-apa meeting ke?" tanya Aryan. Kepalanya kusut sekarang ini. Kalau boleh dia mahu balik rumah dan berenang. Boleh hilang sedikit tekanannya.
"Petang ni tak ada, tuan," jawab Jane selepas menyemak jadual.
"Kalau tak ada apa-apa mungkin saya tak balik pejabat."
Jane angguk. Dia memerhatikan dua sahabat itu menghilang. Simpati mula hadir untuk majikannya yang cantik jelita. Ada harta, ada rupa tapi tetap kena tinggal dengan kekasih.
"Aku nak berhenti kerja. Tak kira aku dah nekad ni." Aaira tegas. Sudah tiga kali dia ulang hasratnya. Pintu kereta ditutup kasar. Geram dan marah bercampur baur.
"Biarlah Eryna tu. Mulut macam puaka. Jangan-jangan kau berhenti kat sini dia pun berhenti jugak. Kau dapat tempat kerja lain, dia ikut kau ke sana." Isya menolak pintu kereta. Setiap kali Eryna buat pasal, setiap kali itulah Aaira kata mahu berhenti kerja. Tapi Aaira masih juga jadi pembantu pejabat di Kencana Megah.
"Kalau berani dia buat macam tu, aku patah-patahkan kaki keding dia tu. Senang sangat aku nak patahkan kaki lidi dia tu." Aaira geram. Siap dengan aksi tangan lagi.
Sedang dia berjalan melalui celahan kereta, pintu sebuah kereta terbuka dan menghentam tubuhnya. Dia terlompat sedikit ke belakang.
"Hoi, tak nampak ke orang tengah jalan?!" Dia tolak pintu dengan kasar. Spontan kakinya naik menendang pintu kereta tersebut.
"Kau marah kat Eryna tapi kau lepas kat orang lain. Driver tadi tak salah. Punyalah jalan tu luas terbentang, kat tepi kereta dia jugak kau nak lalu." Isya menggeleng. Aaira kalau marah memang susah nak reda. Dia ikut jalan yang disediakan manakala Aaira gatal kaki hendak lalu di celah-celah kereta. Kan dah kena.
"Lantaklah... Dia ada mata. Bukannya aku sekecik semut yang dia tak nampak." Aaira terus membebel sambil masuk ke dalam Restoran Wahab Cendol.
"Mulut macam apa entah. Dia yang salah kita yang kena marah." Akid membebel sambil melihat kelibat dua orang gadis tadi masuk ke dalam restoran. Dia hanya ternampak jubah berwarna hitam sahaja. Tak nampak jelas wajah kedua-dua gadis itu. Cuma dia perasan mata hazel gadis yang menendang kereta tadi.
"Kenapa?" Aryan toleh ke sebelah. Melihat Akid yang sedang membebel.
"Awek sorang tu. Dia tolak pintu kereta macam apa entah. Siap tendang lagi. Nasib baik aku tak keluarkan kaki. Kalau tak memang patah kaki aku." Akid pandang kiri dan kanan sebelum membuka pintu. Tidak mahu insiden seperti tadi terjadi sekali lagi.
Selepas pintu ditutup, Akid tunduk melihat kesan tendangan perempuan itu. Perempuan itu sedang marah barang kali. Ketara kesan tapak kaki di pintu kereta Maserati milik Aryan yang berwarna putih itu.
"Elok-elok pakai tudung, pakai jubah... tapi perangai... Huh, seram!" Akid membebel seorang diri.
"Calar ke?" soal Aryan sambil memandang Akid.
"Ada cap kasut. Macam kasut sport aje."
"Hmmm. Biarlah. Unik sikit kereta aku. Jomlah."
Akid bangun. Walau hatinya marah tahap tujuh petala langit, dah tuan punya kereta kata biarlah... maka lebih baik dia diam. Kemudian dia terus mengekori Aryan yang sudah pun masuk ke dalam restoran.
Sebaik sahaja masuk ke dalam restoran, Akid mencari-cari kelibat gadis yang buat onar tadi. Dia nampak kedua-dua gadis itu masuk. Namun yang mana satu? Ada ramai yang pakai jubah dan tudung hitam. Fesyen rasmi hari Rabu agaknya.
"Kau cari siapa?" Aryan pelik melihat Akid tertinjau-tinjau. Malas hendak ambil tahu, dia terus masuk dan mencari tempat duduk. Matanya melilau mencari tempat kosong. Dia terjumpa satu tapi agak tersorok. Matanya menangkap satu wajah yang seakan-akan dia pernah jumpa.
"Yang mana satu agaknya?" Akid masih lagi tercari-cari.
"Kau cari siapa?" tanya Aryan sekali lagi. Dia sudah pun melabuhkan punggung. Akid pula masih lagi berdiri.
"Perempuan yang tinggalkan cap tapak kaki kat kereta kau."
"Biarlah... Order makan cepat. Aku lapar ni." Mata melihat ke arah gadis yang duduk di meja hadapan. Senyuman gadis itu seperti dia pernah lihat. Sayangnya gadis itu duduk membelakangkannya. Fikirannya yang sedang kusut bekerja keras mencari memori di mana dia pernah menemui gadis itu.
"Thoriq dengan Dzakwan sampai lambat sikit."
"Kita makan dululah." Aryan melipat lengan bajunya hingga ke siku.
YOU ARE READING
HERO JELITA - AEIN DHIYAUDDIN
RomanceSekali lagi saya tanya ni. Sudi tak kahwin dengan saya- ARYAN LEE No. Tak nak - AAIRA ZULAIKHA AAIRA ZULAIKHA -'Buntut Kuali' itu gelaran yang diberi kepadanya. Lahir dengan rupa sederhana dan berkulit gelap menjadi bahan ejekan nenek dan sepupunya...