"Tuan Faizal, kawan-kawan tuan nak jumpa."
Faizal kerutkan dahi. Siapa pula yang datang? Kali ini dia akan kena penumbuk atau penerajang lagi ke? Kemudian dia menyuruh Susanti membenarkan kawan-kawannya masuk.
Pintu terbuka, seorang demi seorang masuk. Faizal mula gentar. Melihat muka serius masing-masing, dia diburu kerisauan. Aryan terus ke arahnya sementara yang lain duduk di sofa.
"Aku nak info pasal perempuan ni," ujar Aryan. Dia letakkan telefon di atas meja kerja Faizal. Sengaja dia tunjukkan muka serius.
"Aku tak kenal siapa dia ni." Faizal yang terpinga-pinga hanya memandang sekilas gambar perempuan yang ditunjuk oleh Aryan. Berwajah hitam manis dan agak menarik. Tapi dia langsung tak kenal. Apa motif Aryan mencari perempuan ini di pejabatnya?
"Dia kerja kat sini." Dzakwan menyampuk.
"Kerja kat sini?" Sekali lagi Faizal kerutkan dahi. Pekerja di syarikat Kencana Megah lebih daripada seratus orang. Rasanya dia tak kenal atau cam rupa setiap seorang daripada mereka. Telefon diangkat untuk melihat dengan jelas gambar gadis itu.
"Susanti... masuk," panggil Faizal. Tidak sampai beberapa saat pintu diketuk. Setelah Faizal bersuara, pintu terkuak. Muncul Susanti, pembantunya yang berketurunan Indonesia.
"Ya tuan."
"Kamu kenal tak dia ni?" Faizal menolak telefon bimbit milik Aryan ke arah Susanti.
"Dia ni pembantu pejabat kita. Aaira Zulaikha." Serta-merta Susanti mengecam wajah itu. Sepupu kepada Eryna yang suka berlagak dari department PR. Jauh beza dengan Aaira yang sederhana.
"Saya nak info pasal dia. Sekarang!"
"Baik tuan." Susanti keluar dari bilik majikannya dan terus menuju ke pejabat HR.
"Apa kau nak buat dengan staf aku ni?"
"Nak tuntut ganti rugi sebab dia calarkan kereta aku." Aryan ambil semula telefon bimbitnya lalu disimpan ke dalam poket seluar.
"Bukan tadi..." Akid mahu bersuara tapi melihat isyarat daripada Thoriq, dia terdiam.
Thoriq merasakan Aryan dan Faizal perlu menamatkan perang dingin mereka. Inilah saat yang sesuai. Aaira Zulaikha hanya alasan agar Aryan dan Faizal bertemu muka. Ikutkan dia, setakat kereta Aryan calar sedikit bukan tak boleh bayar.
Dzakwan diam. Dia seakan-akan memahami apa yang tersirat di dalam kepala Thoriq. Tapi sebenarnya dia turut risau kenapa Aryan ambil serius hal ini dan mencari gadis itu. Senyuman Aryan setiap kali melihat gambar di telefon bimbit buat dia rasa curiga.
"Aku bayarkan ganti rugi. Jangan kacau staf aku."
"Kau kacau awek aku boleh pulak. Sampai jadikan tunang pulak tu."
Faizal mati kata. Dia akui salahnya merampas kekasih sahabat sendiri.
"Kau nak aku buat apa?" soal Faizal.
"Aku nak jumpa dia. Aku nak kau aturkan pertemuan kami."
Faizal berfikir sejenak. Kepalanya terfikir sesuatu. Kenapa Aryan begitu bersungguh? Setakat calar bukan masalah besar bagi sahabatnya itu. Lagipun dia sedia membayar ganti rugi. Mungkin Aryan sengaja cari pasal dengan dia.
"Nanti aku fikirkan. Aku akan call bila ada idea."
"No. Aku nak sekarang!" Aryan berkeras.
"Boleh tak kau jangan buat gila?" Faizal meninggikan sedikit suaranya. Tidak faham apa kena dengan Aryan.
"Kau jangan nak nasihat aku. Kau boleh buat gila kenapa aku tak boleh? Mujur aku tak tumbuk kau kat R&R hari tu." Sebut R&R barulah Aryan ingat di mana dia pernah berjumpa gadis tadi. Memang betul, hatinya begitu mengenali senyuman gadis itu. Senyuman yang membuatkan marahnya terhadap Faizal hilang.
Sekali lagi Faizal mati kata. Dia tidak mampu menahan kata-kata Aryan. Otaknya memikirkan sesuatu. Kalau tidak dilayan kehendak Aryan, sampai bila-bila pun dia tidak dapat kemaafan daripada Aryan. Silap hari bulan dia akan dipulaukan oleh mereka semua.
Tok! Tok! Tok! Susanti muncul dengan fail di tangan.
"Susanti semalam birthday kamu, kan?"
"Ya, tuan."
"Ambil duit ni minta pembantu pejabat beli KFC dan kek. Kita buat jamuan kecil. Saya, kamu dan pekerja tingkat ni sahaja."
"Tapi bos..." Sebenarnya mereka semua baru balik dari makan tengah hari. Mana mungkin boleh makan lagi.
"Now Susanti."
"Baik tuan." Susanti mengambil duit yang dihulurkan oleh Faizal. Cepat-cepat dia berpusing untuk keluar.
"Dan Susanti..."
"Ya tuan." Susanti berpaling.
"Dia ni wajib ada... Mesti ada. Tak boleh tidak. Dan jangan bagi tau sesiapa apa yang terjadi dalam bilik ini." Faizal menunjukkan fail yang dibawa oleh Susanti tadi.
"Baik tuan." Susanti bingung.
"KFC mana agaknya diorang pergi ni?" Aryan silang lengan di dada. Sekejap lagi dia akan berjumpa dengan gadis itu. Cantik nama gadis itu. Dia tersenyum sendirian.
"Paling dekat KFC bangunan sebelah. Jalan kaki aje." Faizal menjawab soalan Aryan. Pandangan matanya bersabung dengan Dzakwan. Sahabatnya itu hanya angkat bahu apabila dia hantar isyarat kenapa.
"Aku nak kacau dia kat sana. Duit KFC nanti aku bayar." Tanpa menunggu kawan-kawannya, Aryan terus keluar.
Thoriq dan Dzakwan segera mengejar Aryan. Manakala Akid tinggal bersama Faizal. Tidak mahu terlibat dengan kerja gila Aryan. Dia ada reputasi yang perlu dijaga. Setiap gerak-gerinya jadi perhatian masyarakat.
"Kenapa dengan Aryan?" tanya Faizal.
"Meroyan sebab awek kena rampas kut," sindir Akid membuatkan sahabatnya itu terus membisu.
YOU ARE READING
HERO JELITA - AEIN DHIYAUDDIN
RomanceSekali lagi saya tanya ni. Sudi tak kahwin dengan saya- ARYAN LEE No. Tak nak - AAIRA ZULAIKHA AAIRA ZULAIKHA -'Buntut Kuali' itu gelaran yang diberi kepadanya. Lahir dengan rupa sederhana dan berkulit gelap menjadi bahan ejekan nenek dan sepupunya...