Bab 160-Menghadapi Ujian Mahaguru

1.7K 31 0
                                    

Api dari pelita tersebut memancarkan cahaya yang samar-samar. Setiap sudut bilik terdapat tengkorak diletakkan dalam dulang berkaki kayu yang diukir kepala ular dan naga berjuang. Terdapat sebuah katil usang yang dipenuhi sarang labah-labah.

Atas katil terdapat sepasang tulang lengan dan kaki. Apakah saya di suruh tidur dikatil itu? Muncul pertanyaan dalam benak. Bagi menghilangkan keresahan, saya telan air liur dan gigit bibir.

"Letakkan bungkusan baju kamu atas tulang lengan dan kaki, kemudian kamu ikut aku," suara perempuan itu bergema dalam ruang kamar yang samar. Macam tadi juga, saya tetap patuh dengan arahannya.

Bilik kecil yang menyeramkan itu di tinggalkan, lalu memasuki kawasan lapang yang luas dan lebarnya sama dengan sebuah gelanggang badminton. Permukaan kawasan lapang itu ditumbuhi rumput tebal seperti baldu (permaidani). Seluruh kawasan dipagar dengan papan berdiri.

Di hujung kawasan lapang terdapat sebatang balak yang bahagian atasnya sudah diratakan. Bahagian yang diratakan itu, lebarnya boleh memuatkan seorang manusia untuk berbaring atau meniarap. Panjangnya pula, sepanjang tubuh manusia, lebih kurang lima kaki tujuh inci. Di bahagian kiri dan kanan (tepi) balak itu terdapat rantai besi yang biasanya digunakan bagi mengikat kayu balak atas lori untuk dibawa ke kilang papan.

Di bahagian bawah balak (lebih tepat bahagian tepi bawah) terdapat kapak, pahat, pedang dan golok di samping pisau belati. Ada baldi plastik hijau.

"Kamu duduk si situ,"

Jari telunjuk perempuan itu menuding ke arah guni yang terdampar atas rumput. Sebaik saja punggung saya mahu mencecah permukaan guni, perempuan itu terus menjerit dan memaki hamun saya dengan semahu-mahunya.

"Kenapa awak maki saya?" Tanya saya.

"Kerana kamu bodoh."

Saya semakin panik.

"Kenapa mulut awak celupar sangat," saya mula berani menentang.

"Sepatutnya, kamu tarik guni itu dulu sebelum duduk."

"Kenapa awak tak cakap," sanggah saya lagi.

"Aku mahu tengok ketelitian kamu, rupa-rupanya kamu bukan orang yang suka beringat atau waspada, keberanian kamu memang membabi buta," suaranya keras.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah dapat mengesan kelemahan diri saya. Tanpa membuang masa saya terus melakukan apa yang disuruhnya. Guni yang trebentang saya tarik dan lipat. Rupanya di bawah guni tadi terdapat tanah yang sudah disimen. Lebarnya, kira-kira empat kaki dan panjangnya sekitar enam kaki. Di permukaan simen terdapat ukiran yang bentuknya macam huruf kawi (tulisan jawa kuno) sekali imbas kelihatan macam tulisan Hindi atau Siam.

BERDEBAR

Kerana tulisan di permukaan simen membuat saya ragu-ragu dan takut untuk duduk atas simen. Saya renung ke arah perempuan yang sering mengeluarkan perintah untuk saya. Dia tidak mengeluarkan sebarang komen. Anak matanya tetap memerhatikan gerak geri saya. Semuanya membuat hati saya berdebar.

Sayup-sayup terdengar suara orang berzikir yang di selang seli dengan suara tangisan. Lolongan anjing yang memanjang juga dapat didengar di samping suara burung hantu yang bermacam-macam irama. Saya memberanikan diri lalu mendongakkan kepala ke langit. Mata saya menagkap bintang-bintang yang bertaburan.

"Siapa suruh kamu tengok langit?"

"Maafkan saya," suara saya merendah.

"Bagus, kalau sudah tahu kesilapan sendiri," suara perempuan itu makin lembut, renungannya juga lembut mendebarkan.

"Kamu duduk bersila di tengah-tengah simen tu. Kedua belah tangan kamu memeluk tubuh. Sekejap lagi mahaguru bersama tetamunya datang. Mahaguru akan membuat keputusan tentang diri kamu," kata perempuan itu dengan penuh santun. Tetapi, kesopanan yang diperlihatkan hanya untuk beberapa minit saja. Selesai saja dia mengeluarkan arahan kepada saya, sikapnya agak berubah. Gerakgerinya bagaikan penari. Memperagakan bentuk tubuhnya yang dibalut kain putih yang jarang.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now