Bab 163-Mayat Dalam Guni

1.6K 29 0
                                    

Osman Garing tunduk merenung lantai. Bermacam-macam persoalan timbul dalam kotak fikirannya. Apa yang pasti, dia tetap menyesali diri sendiri kerana kurang bertanya dengan guru yang terdahulu. Kalau dia bertanya lebih terperinci, tentu dia tidak terjebak dalam ilmu yang tidak menguntungkan.

Mata mahaguru terus tertumpu ke wajah Osman Garing bersama senyum sinis. Tentu saja perbuatan itu kurang menyenangkan hati Osman Garing. Walau bagaimanapun hati kecilnya tetap mengharap mahaguru memberi penjelasan tanpa menunggu pertanyaan darinya. Mata mahaguru masih lagi memandang tajam ke arahnya. Osman Garing keresahan.

"Sebab dikatakan ilmu itu panas," mahaguru menyambung kembali percakapan yang terhenti. "Kerana orang yang mengamalkan ilmu itu, tidak akan dapat mengumpulkan harta sampai ke mati. Hidupnya sentiasa dalam kesempitan, bila berbini jodoh tak panjang. Walau macammanapun ilmu itu ada kelebihannya..." mahaguru berhenti bercakap dan senyum panjang segera terukir di kelopak bibirnya. Senyuman itu membuatkan Osman Garing resah dan gelisah, tidak menentu.

"Apa kelebihan ilmu yang saya tuntut itu?" Osman Garing tidak sabar.

"Haa. Kamu nak tahu kelebihannya?"

"Iya, sudah tentu. Selama ini saya tidak tahu kelebihannya, saya tengok orang belajar, saya ikut belajar,"

"Kelebihannya, orang perempuan mudah jatuh hati pada orang yang mengamal ilmu tu, rela jadi isteri walaupun hidup susah," sambil menggaru hujung dagu mahaguru bersuara.

Osman Garing ketawa kecil. Dia tidak menafikan kebenaran dari kata-kata itu kerana dia sendiri sudah mengalaminya.

"Ada lagi rahsia? Desak Osman Garing.

"Ada Osman, kau jangan terkejut." Mahaguru membetulkan kedudukannya.

"Apa dia mahaguru?"

"Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dapat anak tidak kira lelaki atau perempuan, mesti kena penyakit sawan babi. Biasanya si anak mati muda. Keranan penyakit kurang darah," mahaguru telan air liur.

Buat beberapa saat, mahaguru melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Kemudian mengosok-gosok pangkal hidungnya hingga merah.

"Kenapa kurang darah tok guru? "

"Darah si anak dihisap oleh makhluk halus yang dipuja oleh orang tuannya. Nafsu berahi si bapa cukup ganas, tak kira anak bini orang, semuanya nak disapu. Kadang kadang jadi haruan makan anak. Ilmu tu cukup panas, elok saja kamu buang, " satu saranan yang baik dari mahaguru.

Osman Garing termenung panjang. Hati kecilnya mengakui nafsu seksnya cukup panas. Pantang tengok perempuan dia terus berahi. Meskipun pada saat itu dia sudah mempunyai empat isteri. Semasa menjadi buruh ladang getah di kawasan batu Gajah dulu, dia mengoda isteri mandor Maniam yang periang. Tidak memadai dengan itu, dia juga menggoda anak Ah Siung, peniaga kedai runcit yang terletak tidak jauh dari kawasan ladang getah tersebut.

Kebiadapannya itu dapat dikesan oleh Maniam dan Ah Siung dan Osman Garing dinasihati supaya beredar dari tempat itu sebelum sesuatu yang buruk terjadi pada dirinya.

SENYAP

Secara senyap-senyap Osman Garing menghilangkan diri (berhenti kerja) dar ladang getah tersebut. Beberapa orang pekerja pernah terserempak dengan isteri mandor mendatangi rumah Osman Garing waktu malam. Biasanya, isteri mandor berbuat demikian disaat suaminya (mandor) mabuk di kantin pekerja atau di kelab pekerja. Walaupun Osman Garing ada membuat hubungan sulit dengan anak gadis Ah Siung tetapi, perbuatan mereka tidak dapat dikesan oleh para pekerja ladang kecuali Ah Siung sendiri. Apa yang pasti, kira-kira sebulan setelah Osman Garing menghilangkan diri, anak gadis Ah Siung didapati menggantung diri di pokok getah.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now