BAB 2

1.4K 23 0
                                    

ALNA membelek cincin berbatu ruby di jarinya. Pemberian arwah mama ketika hari lahirnya yang ke-21. Dipusingnya berkali-kali.

"Hai, anak abah buat apa ni?"

Satu suara garau menegurnya. Lantas Alna berpaling kepada abahnya. Dia mengukir senyuman.

"Hmm... tengah berehatlah. Abah dah lama balik ke?" tanya Alna. Dia mengukir senyuman untuk abahnya.

Encik Ammar sekadar mengangguk.

"Kenapa hari ni lewat?" tanya Encik Ammar.

"Mensyuaratlah abah. Kalau diikutkan hati Alna, malas nak tunggu. Nanti rekod tak bagus pula." Dia sengih.

Encik Ammar mengusap belakang Alna. Satu-satunya cinta hati yang tinggal selepas isterinya meninggal.

"Abah... Abah masak apa?"

Alna beralih topik. Dia sengih hingga ke telinga.

Encik Ammar menggelengkan kepalanya. Tinggal berdua dengan Alna membuatkan mereka berdua membahagikan tugas di dalam rumah. Siapa yang balik awal, dia yang kena masak.

"Abah malas hari ni. Abah buat nasi goreng aje. Terlajak pedas pula," beritahu Encik Ammar.

"Alna tahu, abah bukan buat terlajak pedas. Abah memang sengaja," kata Alna sambil terus laju melangkah ke dapur.

Tahu dengan rasa yang abahnya suka. Walaupun Alna tidak suka pedas, tetapi dia tetap makan apa yang dimasak oleh abahnya tanpa banyak songeh.

Alna menghidangkan nasi goreng ke pinggan sambil meletakkan potongan timun. Benda wajib yang dia selalu sertakan sekali jika makan nasi goreng.

"Duduk dulu bila nak makan, Alna. Abah dah banyak kali kan tegur Alna. Kita mudah terkena jika orang nak guna-gunakan kita."

Encik Ammar menggelengkan kepalanya. Dia selalu menitipkan perkara yang satu itu selain nampak tidak sopan.

Alna menyengih. Segan dengan teguran abahnya.

"Sorry, abah." Alna menyengih sambil duduk.

Dia menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Terasa pijar mulutnya di saat nasi goreng memenuhi mulutnya.

"Abah! Berapa banyak abah letak cili padi dalam ni?"

Mulutnya yang sedia merah, bertambah merah. Potongan timun diambil lalu disumbatkan ke dalam mulutnya. Bergembol pipinya dengan potongan timun dan nasi tersebut.

"10 biji."

"Abah!" Alna menjerit, namun dia tetap menyuapkan nasi tersebut diselangi dengan timun.

Encik Ammar terlupa dia terlajak masukkan cili padi. Lagipun ketika itu dia hanya ingat mulutnya saja. Bila sudah siap menggoreng barulah dia teringat anaknya itu tidak suka makanan pedas.

Tapi, dia sudah terlajak. Lalu dibiarkan saja.

"Lepas ni, Alna masak tanpa cili padi pula. Abah gigit aje cili padi mentah dengan nasi goreng," kata Alna.

Encik Ammar ketawa. Alna hanya bercakap begitu ketika makan makanan pedas. Bila sudah hilang pedas, apa saja yang Encik Ammar mahu makan akan dimasak Alna.

"Teringat mama. Mama selalu masakkan makanan kita asing-asing," kata Alna. Dia senyum kepada abahnya.

Encik Ammar senyum. Tiba-tiba saja anaknya itu mengimbau kenangan silam.

"Hmm... abah pun. Tak pernah sehari pun abah tak teringatkan mama," ujarnya.

Cintanya kepada arwah isterinya tetap utuh meskipun sudah lima tahun arwah isterinya kembali ke rahmatullah.

"Lepas ni abah kena masakkan makanan kita asing-asinglah," kata Alna sambil memandang abahnya.

"Haisy, tak kuasa abah. Abah bukan arwah mama." Encik Ammar menjuih mulut.

Alna ketawa kecil. Mulutnya semakin kebas dek kepedasan nasi goreng. Sampai hati abahnya buat dia macam itu.

"Abah dah masak. Alna yang basuh pinggan," arah Encik Ammar.

"Eh, bukan abah dah janji nak basuh pinggan ke?"

Alna pura-pura. Wajahnya dikerutkan.

Encik Ammar sudah dapat menangkap gaya Alna yang mahu mengelak. Kerusi ditolak ke belakang dengan perlahan dan dia terus angkat kaki mahu lari dari situ.

"Abah!" Alna menjerit.

Terkontang-kanting dia ditinggalkan abahnya di dapur. Kali ini dia terkena.

Lambat-lambat Alna tersengih kecil. Itulah, selalu sangat buat perangai macam tu. Abahnya pun sudah terikut-ikut dengan apa yang sering dilakukannya. Sebabnya, dia paling malas dalam bab membasuh pinggan. Tak suka bau sabun basuh pinggan yang akan melekat di jarinya.

Awak tu perempuan Alna. Nak tak nak, kena basuh pinggan juga, desis hatinya. Lagi satu, itu alasan orang malas.

Lalu pinggan tadi dibawanya ke singki. Membasuhnya sebelum mengelap pinggan itu.

KAU YANG KUTUNGGUWhere stories live. Discover now