BAB 3

1.3K 24 0
                                    

RAMBUT separas belakang dan dipotong tiga layer di hujungnya itu beralun-alun apabila Alna berjalan. Beg tangan digalas di bahunya. Buku-buku latihan anak muridnya sudah pun dimasukkan ke dalam kereta sejak semalam lagi.

Walaupun masih muda, ingatannya kadang-kadang tumpul juga. Sebab itu jika dia masih ingat apa yang dia mahu lakukan, dia akan lakukan waktu itu juga.

Beg tangan diletakkan di atas sofa. Dia melangkah laju ke dapur. Mahu menyediakan sarapan pagi. Jika hari ini dia menyediakan sarapan pagi, petang nanti dia tidak perlu memasak. Itu akan jadi giliran abahnya.

Ketika kakinya menapak ke dapur, abahnya sudah tersengih sambil memegang roti yang mahu dibakar. Alna mengeluh perlahan.

"Abah lagi awal daripada Alna," ejek Encik Ammar sambil tergelak kecil.

Muka cemberut anaknya itu dipandang lucu.

"Abah memang pandai kenakan Alna."

Alna muncungkan mulutnya. Punggung dilabuhkan di atas kerusi. Hanya menanti abahnya menghidangkan roti bakar.

"Yalah, abah kena lebih pandai daripada Alna. Kalau tidak, abah asyik terkena saja."

Encik Ammar meletakkan omelet di pinggan. Setelah roti siap dibakar, dia hidangkannya sekali.

"Ada hari Alna boleh balas, abah."

Alna masih tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku pagi ini. Semalam pun sama.

"Cepat makan, nanti lewat pula ke sekolah," gesa Encik Ammar sambil meletakkan air suam di depan Alna.

Dek kerana sarapan wajib diambil oleh Alna, dia terus menggigit roti bakar.

"Hati-hati Alna," pesan Encik Ammar ketika melihat Alna mengundurkan keretanya.

Alna menyengih sebelum membunyikan hon kereta.

Encik Ammar menutup pintu pagar.

ALNA membuka pintu keretanya. Mahu mengambil buku latihan yang dibawa pulang semalam.

"Assalamualaikum, cikgu."

Satu suara yang cukup dikenalinya menyapa.

"Hah, kamu Adham. Kamu mesti nak tolong cikgu kan."

Alna menyengih sambil menghulurkan buku kepada Adham.

"Yalah, saya suka tolong cikgu," katanya sambil ketawa kecil.

"Tapi, cikgu belum jawab salam saya."

Alna menepuk dahinya. Dia benar-benar terlupa dengan salam Adham.

"Waalaikumussalam, Adham."

Adham gelak lagi.

Suka benar gelak. Sentiasa ceria saja perwatakan Adham. Jarang Alna melihat Adham tidak ceria.

Alna dan Adham beriringan ke bilik guru.

"Terima kasih, Adham," ucap Alna kepada Adham.

Adham meminta diri untuk pergi. Lama pandangannya tertumpu ke pintu walaupun Adham sudah lama berlalu. Kasihan pun ada dengan Adham. Ibu dan bapanya meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun lepas.

"Hoi, kau tengok apa?" tegur satu suara nyaring.

Alna menjegil kepada si empunya suara, Kayyisa.

"Kau ni, terpekik-pekik, tak malu dengan anak murid ke?" juih Alna sambil duduk di tempatnya.

"Mana ada anak murid. Cikgu pun baru berapa kerat aje," balas Kayyisa.

Matanya meliar ke sekitar bilik guru.

Alna hanya menggeleng kepala. Suara nyaring Kayyisa memang kena dengannya. Cikgu Pendidikan Jasmani. Sentiasa menjerit-jerit kepada anak muridnya.

"Al, aku dengar, bini Sahid dah bersalin." Kayyisa berbisik di telinga Alna.

Alna jegilkan matanya kepada Kayyisa.

"Yisa, kau tak ada kerja lain ke?" tanya Alna.

Malas nak ambil tahu lagi pasal lelaki itu.

"Adalah. Kerja sebagai penyiasat persendirian selain daripada kerja hakiki ni." Tergelak-gelak Kayyisa.

Suka benar nak tahu tentang Sahid, bekas tunang Alna.

"Kau tak kasihankan aku ke? Asyik sebut pasal dia saja. Hati aku ni masih sakit lagi tau, walaupun dah lama berlalu," balas Alna.

"Aku kenal kau tu. Sakit hati kau tak lama pun. Kalau kau masih sakit hati, nama dia pun kau tak nak dengar."

Terherot-herot bibir Kayyisa membuat kesimpulan.

Alna kutil kulit lengan Kayyisa. Pandai-pandai buat andaian. Hatinya yang paling dalam manalah Kayyisa tahu. Masih rasa sakitnya dikhianati.

"Sakitlah kau cubit aku. Mak aku pun tak pernah cubit." Kayyisa menggosok lengannya.

"Lain kali bila nak buat andaian tu, jangan terus menyimpul." Alna menjuihkan mulutnya.

Kayyisa mengerutkan hidungnya. Dia berlalu ke mejanya.

"Dia dapat anak perempuan."

"Yisa!" Alna menjerit.

"Kau tengok, bukan aku saja yang suka menjerit."

Kayyisa memulangkan paku buah keras kepada Alna. Dia ketawa puas hati melihat jegilan sahabatnya itu.

KAU YANG KUTUNGGUWhere stories live. Discover now