BAB 7

927 22 0
                                    

RAYYAZ menyandarkan badan ke sofa dalam bilik pejabatnya. Sesekali dia mengeluh. Teringatkan Yanna lagi hari ini.

Sudah sebulan dia tidak melawat pusara Yanna. Rasa bersalah dengan diri sendiri pula apabila tidak melawat pusara Yanna.

Puas sudah Puan Jamila menasihatinya supaya buang saja jauh-jauh rasa bersalahnya kepada Yanna. Yanna sudah tiada di dunia ini. Tapi, dia tetap dengan kedegilannya itu.

Padahal semua itu sudah tidak bermakna lagi kerana Yanna sudah lama tiada.

"Apalah yang kau fikirkan ni, sampaikan aku masuk pun kau tak sedar?"

Suara yang menegur membuatkan Rayyaz berkalih. Dia sengih kepada Razuan. Rayyaz menepuk-nepuk sofa di tepinya. Menyuruh Razuan duduk.

"Kau ingatkan Yanna lagi ke?" tanya Razuan.

Dia mengerling Rayyaz.

"Hmm." Rayyaz menggumam.

Dengan Razuan dia tidak pernah berahsia, malah mereka berdua selalu berkongsi rahsia.

"Dah lama Yanna pergi. Kau ni, lepaskanlah dia," kata Razuan.

"Cakap memanglah senang. Semua cakap aku kena lepaskan rasa bersalah aku. Tapi, aku tak boleh. Kau tu, macam mana pulak? Adik ipar dah beranak pinak, kau masih ada hati dengan dia?" bidas Rayyaz.

Dia menyengih kepada Razuan.

"Aku dah lepaskan dialah. Aku tahu tak baik ada rasa macam tu," balas Razuan.

Itu memang benar. Dia sudah lupakan rasa cinta kepada adik ipar sendiri. Razuan pun tak boleh nak kata apa. Hatinya yang mahukan begitu. Syukur dia tidak terlajak jauh.

"Apa kata kau kahwin aje dengan Myra tu? Mesti kau boleh lepaskan rasa bersalah tu. Myra tu cantik dan kaya," usul Razuan.

"Kau sukalah tu tengok aku merana. Aku berusaha keluar daripada gabungan syarikat tu sebab tak nak terikat dengan mereka. Ada ke patut kau suruh aku kahwin dengan Myra? Itu menempah bala namanya," juih Rayyaz.

"Jadi ahli keluarga ni lain sikit, Ray. Kau cubalah. Cinta dapat dipupuk. Ikan di depan mata kucing, mestilah kucing ngap ikan tu," seloroh Razuan.

Dia ketawa diikuti dengan tepukan di sofa.

"Aku ni Rayyaz Arfi, bukan kucing. Rayyaz Arfi tak sewenang-wenangnya nak ngap orang yang tak dicintai," tegas Rayyaz.

"Aku nak tengok betul ke tidak. Satu nafsu milik lelaki ni, penangannya terlalu kuat. Kalah sembilan nafsu perempuan."

Razuan tak puas hati dengan apa yang dikatakan Rayyaz.

"Kau tunggu dan tengoklah nanti," ujar Rayyaz.

"Aku memang tunggu dan nak tengok apa akan jadi dengan kau selepas ni."

Razuan ketawa. Keningnya diangkat berkali-kali di depan Rayyaz.

"Aku tengok meja yang kau tempah tu dah sampai."

Mata Razuan beralih keluar dari bilik Rayyaz.

"Hmm, dah dua minggu sampai. Tuan kedai tu hantar sendiri," beritahu Rayyaz.

"Cantik. Walaupun aku rasa nampak pelik," ulas Razuan lagi.

"Anak dia yang reka tu. Saja suka-suka katanya. Tapi, aku pula yang tersuka tanpa sengaja. Sekurang-kurangnya hanya syarikat aku saja yang guna meja yang pelik macam tu," balas Rayyaz sambil sengih.

Razuan mengangguk.

"Tapi, tuan punya kedai tu ada bini muda. Terlalu muda aku rasa. Sudahlah tak bertudung."

Rayyaz menggelengkan kepalanya. Teringat dia kepada perempuan itu.

"Kau ni, biarlah dia nak ada bini muda pun. Dah dia mampu. Kalah kita yang muda dan kuat ni. Tak kahwin-kahwin lagi."

Razuan menambah lalu ketawa. Malang sungguh nasibnya. Dah menduda pun tak ada yang nak.

"Aku tak puas hati sebab dia tu cikgu. Cikgu si Adham," balas Rayyaz.

Terjongket kening Razuan. Lain benar cerita Rayyaz. Pelik pula dia rasa. Tak pernah-pernah pula Rayyaz bercerita pasal perempuan lain selain arwah Yanna dan Myra.

"Cuba kau cerita dekat aku, apa yang buat kau tak puas hati sangat ni."

Razuan menanti Rayyaz membuka cerita.

Rayyaz mula bercerita. Kenapa semuanya berlaku secara kebetulan?

"Kau tak suka kat bini orang macam aku, kan? Kau jangan buat pasal Ray, nanti makan tak kenyang kut. Tidur kau pun terganggu waktu malam," usik Razuan.

Dia pernah merasai semua itu.

"Aisy, kau ni. Aku benci perempuan tak bertudung macam tu. Lepas tu jadi bini muda orang tua pula. Aku teringat pada arwah mama aku yang dicurangi arwah papa aku," balas Rayyaz.

"Biarlah dia Ray. Dia tak ada sangkut paut dengan kita pun. Bukannya terdiri daripada kalangan kawan-kawan kita pun. Ahli keluarga jauh sekali. Tapi, kenapa kau tak benci Myra yang tak bertudung tu?"

Razuan mengusap-usap dagunya. Rayyaz menolak bahu Razuan.

"Lagi-lagi Myra yang kau sebut. Entah-entah dia tengah tersedak. Sejak tadi kau rajin sebut nama dia. Myra tu, aku tak hairan sebab aku memang menyampah dengan dia sejak dulu. Lantaklah dia nak jadi apa pun," balas Rayyaz.

"Habis tu, yang kau hairankan cikgu Adham tak pakai tudung kenapa?" Bola mata Razuan terpaku ke mata Rayyaz.

Rayyaz kelu lidah.

KAU YANG KUTUNGGUWhere stories live. Discover now