RAYYAZ berlari masuk ke dalam kawasan rumah, malas mahu membuka payung. Biarlah, basah sedikit sahaja. Dia mengibas rambutnya dengan tangan supaya air yang melekat di rambutnya itu hilang.
"Kenapa tak guna payung?" tegur satu suara.
Pantas Rayyaz mendongak sambil mengukirkan senyuman.
"Basah sikit saja, mak ngah."
"Dari mana?" tanyanya lagi.
Sudah dua minggu Rayyaz tidak datang. Puan Jamila memandang anak saudaranya itu. Berjambang dan rambutnya itu panjang mencecah bahu sejak dua tahun lepas. Fesyen baru katanya.
Padahal Puan Jamila tahu, Rayyaz masih lagi berkabung atas kematian Yanna. Jika tidak, kenapa berjambang bagai?
"Dari pejabat, mak ngah. Sunyi pula petang ni," omel Rayyaz.
Selalunya petang-petang begini ada anak-anak jiran mak ngahnya bermain-main di jalan depan rumah.
"Adham balik lewat. Kalau tak, ramailah yang bermain dekat depan tu. Lagipun hari ni ada ko-kurikulum. Semua sekolah balik lewat. Tapi, cikgu dia dah telefon mak ngah. Adham balik dengan dia."
Panjang lebar Puan Jamila bercerita.
"Sibuk betul budak-budak sekolah sekarang kan," omel Rayyaz.
"Itulah. Sekolah rendah pun sudah belajar sampai ke petang. Eh, marilah masuk ke dalam. Sejuk kat luar ni," ajak Puan Jamila.
"Tak apa, mak ngah. Sejuk hujan tak adalah sejuk macam salji turun. Boleh bertahan lagi," seloroh Rayyaz.
Dia sengih. Lantas kakinya diayunkan ke kerusi. Dia melabuhkan duduk di situ.
"Mak ngah ada buat cucur jagung," kata Puan Jamila sambil melangkah masuk ke dalam rumah.
Rayyaz hanya tenang memerhati air hujan yang turun dari bumbung. Ralit memerhati titisan air hujan hinggakan tidak sedar Puan Jamila sudah berada di sisinya.
"Jemput minum, Ray," pelawa Puan Jamila.
"Ya, ya, mak ngah. Terima kasih."
"Apa yang Ray fikir?" tanya Puan Jamila.
Rayyaz tersipu-sipu malu. Dia tidak memikirkan apa-apa, cumanya ralit saja.
"Buat susah-susah mak ngah saja," balas Rayyaz.
"Susah apanya? Ray, janganlah asyik makan kat luar saja. Kahwinlah. Senang kalau ada orang tolong jaga makan dan minum. Kalau tak pun, mari makan di rumah mak ngah. Yang dah lepas tu jangan diingat lagi," ujar Puan Jamila.
Kasihan melihat Rayyaz yang masih belum meneruskan kehidupan.
"Mana ingat dah mak ngah," balas Rayyaz cepat.
"Hmm, mak ngah ni tahulah apa yang ada dalam kepala Ray tu. Dah dekat dua tahun Yanna pergi. Patutnya Ray dah lupakan dia dan cari orang lain. Kami pun dah teruskan hidup kami," balas Puan Jamila.
Rayyaz diam.
Yanna, nama yang dahulunya cukup benci untuk didengar. Sakit hati kerana arwah mamanya mahu menjodohkan dia dengan sepupunya itu. Hampir setahun bertunang, dia tetap tidak boleh menerima Yanna.
Ketika dia membuka hatinya untuk menerima Yanna yang bakal menjadi isterinya, Yanna meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Sebab itulah dia masih rasa bersalah hingga ke hari ini.
"Yanna dah pergi, Ray. Lepaskanlah dia."
Tak putus-putus Puan Jamila menyuruh Rayyaz teruskan hidup. Yanna itu tidak pernah dicintai oleh Rayyaz, tapi Rayyaz tidak mahu melupakan Yanna ibarat Yanna itulah cinta separuh nyawanya.
YOU ARE READING
KAU YANG KUTUNGGU
RomanceTajuk: KAU YANG KUTUNGGU Penulis: ZAZA QRY Harga: RM25 / RM28 Ditinggalkan di hari akad nikah tidak membuatkan Alna tersungkur. Dia tetap teruskan hidup. Sahid itu diketuk dengan mangkuk sebelum dihalau. Sudahnya, dia hanya hidup bertemankan abahnya...