Random chapter #Unedited
MATA yang terpejam tiba-tiba tercelik dengan sendiri. Lengan yang gatal digaru perlahan. Lena yang dialami sebentar tadi menghilang. Aku menggeliat kecil. Telefon di atas meja tidur dicapai untuk melihat jam. 4 pagi. Masih awal. Aku menutup mulut yang menguap kecil. Mata cuba dipejamkan lagi, ingin menyambung lena namun biji mata terasa segar bugar. Rasa mengantuk hilang begitu saja.
Akhirnya, aku bangun dan menurunkan kaki ke lantai. Memikirkan alang-alang aku sudah sedar dan mata sudah tidak dapat dikatup lagi, aku ingin menunaikan solat sunat tahajjud. Langkah kaki di atur ke bilik air ingin mengambil wudhu'.
Malam ini adalah antara malam yang paling tenang dan syahdu untuk aku. Dapat beribadah dengan senyap dan khusyuk. Hanya aku dan Sang Pencipta. Sesungguhnya, hanya pada Dia yang aku harapkan untuk mencipta jalan hidup yang lebih baik dan diredai. Bukan kepada manusia tapi hanya kepada satu-satunya Tuhan yang aku sembah iaitu Allah Maha Besar.
Kosongkan kepala daripada segala parasit masalah duniawi dan sucikan hati, aku bentukkan kedua-dua telapak tangan dengan bentuk 'ba'. Mulut terkumat kamit memohon doa. Aku berdoa dan terus berdoa tanpa henti. Merayu pada Yang Esa supaya walang di hati menjauh pergi dan diberikan jawapan yang betul-betul diperlukan oleh hidup aku.
"Ya Allah ya Tuhanku, Kau lebih mengetahui apa yang ada dalam hati ini. Kau lebih mengetahui keperluan diri ini. Berilah aku jawapan ya Allah... Berilah aku jawapan kepada keperluan hati dan diri hambaMu ini."
Setitik air mata menitis.
"Ya Rabbi, Kau berikanlah apa yang terbaik untukku ya Allah. Tidak kira bila, siapa atau di mana, aku akan terima semua rancanganMu terhadapku ya Allah..." Sungguh-sungguh, aku berdoa. Tidak leka sedikit pun. Tangan diraup pada muka. Air mata yang menitis tadi diseka dengan jari.
Aku sedar. Terlalu sedar setiap manusia akan diberi dugaan dan ujian hidup masing-masing. Setiap orang akan ada kisah dan jalan cerita sendiri. Sekarang, ini kisah aku. Ini cerita aku. Ini ujian dan dugaan aku. Aku percaya, Allah tidak akan menguji aku dengan beban yang tidak mampu ditanggung. Tugas aku hanyalah berusaha dan terus berdoa untuk terus mendapatkan yang terbaik.
-
Selamat menyelusuri kisah Zill dan Aisya dalam buku HANYA IKHLAS UNTUK KAMU. Terima kasih.
YOU ARE READING
HANYA IKHLAS UNTUK KAMU (novel terbit)
RomanceSUDAH TERBIT DAN ADA DIJUAL DI KEDAI BUKU SELURUH MALAYSIA. BLURB: CAPTION : Dunia yang malang, hati yang kecil, jasad tidak indah, sudikah kau menyambut? ..Kalau mahu mengenal cinta, harus berkenalan dengan sakit hati... Ya, aku sakit hati, tapi ak...