Kisah 1 : Sebuah Kembara Astral

198 6 4
                                    

     
         Sudah tiga bulan, lebih sedikit, puteriku yang manis dan manja itu tidur pulas di atas ranjangnya.  Demikian asyiknya dia mengulit mimpinya saban hari. Seakan, tidak ada satupun yang mampu mengejutkannya dari lena yang panjang. Tusukan demi tusukan jarum yang bersilih ganti menembusi kulit tangannya, urat kakinya atau bahkan kulit kepalanya juga tidak mampu menyingkap sedarnya. Dia bagaikan puteri salju yang tewas akibat termakan epal beracun. Sementara kami pula bagai putera raja dan tujuh orang kerdil yang setia menanti di sisinya.  Kami telah menciumnya beratus kali dengan kesejatian cinta yang tiada sumbingnya. Namun sepasang kelopak matanya tetap saja terkatup erat. Putera manakah lagi yang ditunggunya? Atau, dia menunggu Maleficent? Belum cukup sejatikah cintaku untuknya?

            “Koma adalah suatu keadaan di mana pesakit kehilangan kesedaran yang sangat dalam. Ia bukanlah suatu penyakit tetapi merupakan respon kepada penyakit yang bersangkutan dengannya. Pesakit dikatakan koma apabila mereka tidak dapat memberikan respons normal terhadap rasa sakit atau rangsangan cahaya. Ia berlaku apabila berlakunya trauma kecederaan yang serius yang berlaku pada otak dan tulang belakang. Selainnya, adalah akibat kerosakan pada pangkal hati,”

            Demikian penjelasan para genius pakar kesihatan dari hari pertama Nisha kami hantar ke hospital. Penjelasan saintifik itu sama saja bunyinya walau ke manapun Nisha kami usung selepas itu.

            “Jadi anak kami mengalami jenis koma yang mana satu? Jangkitan pada otak atau hati?” Tanya suamiku, selaku jurucakap. Dia memang selalu lebih tenang berbanding aku. Sedang aku, tetap selalu tenggelam dalam ketewasan air mata dan emosi.

           “Malangnya, hasil dignosis kami menunjukkan bahawa kedua-duanya tidak mengalami sebarang masalah. Anak puan sihat secara fizikal. Dia hanya tidur. Benar-benar tidur,”

Dapatkah dipercaya? Puteriku tidur! Masuk detik ini, puteri sunti tunggalku itu sudah tidur lebih tiga purnama! Tidur seperti apakah itu? Badannya yang dulu segar kini mulai menyusut. Bibirnya yang mungil itu semakin mengering. Sedangkan, lagi dua minggu ini dia bakal menyambut ulang tahunnya yang keenam.

Agh! Aku sudah muak mendengar penjelasan yang pastinya akan berakhir dengan nasihat supaya kami terus bersabar.

            Klise.

            Kesabaran bagiku hanyalah sebuah kata-kata penyedap suasana yang semakin tiada maknanya. Tidak adakah kalimah penutup yang lebih baik dari itu? Hakikatnya, kesabaranku itu sebenarnya sudah senipis kulit mataku. Aku tidak tahu sampai bila lagi kesabaran itu mahu kuajak berunding.

             Aku menatap wajah mulus Nisha yang terus tidur pulas. Bangunlah anakku. Bukalah sepasang matamu yang indah dan selalu tersenyum itu. Mama begitu rindu pada desah rengekmu. Mama juga sudah rindu mendengar tawamu yang selalu berlari riang di dalam rumah mengejar entah apa-apa seolah-olah kau punya teman yang sedang mengejarmu. Bila kali terakhir mama melihatmu berdiri hidup seperti manusia normal?

            Aku masih ingat malam Selasa itu, Nisha yang manis tiba-tiba berubah menjadi cerewet. Segala sesuatu bagai tidak kena di matanya. Makin lama perangainya menjadi semakin aneh. Mulanya dia mengatakan bahawa ada tamu memberi salam. Bila Amran membuka pintu, ternyata tidak ada sesiapa di sana kecuali angin sejuk yang menerobos masuk mengidikkan bulu roma. Merasa dipermainkan, Amran memarahinya. Sebaliknya, kemarahan Amran disambut dengan tawanya yang lucu.

            Selepas itu, Nisha sudah mulai tenang. Cerewetnya lenyap dan dia sudah kembali pada dunianya yang aman. Dia pun mengeluarkan kotak permainan anak patungnya dan bermain sendiri. Sedikit malang bagi Nisha bila aku tidak mampu melahirkan anak sesudah kehadirannya. Kesunyian menjadikan dia mencipta teman khayalnya sendiri. Normal. Kanak-kanak seusia Nisha memang sering bercakap sendirian terutamanya bila sedang menikmati acara santai dengan patung barbie.

Antologi : Dunia Sebelah SanaWhere stories live. Discover now