Part 1

114 5 2
                                    

KATA orang, kalau hendak bersuami, biarlah lelaki yang menjadi suami kita itu menyayangi kita lebih daripada kita sayang dia. Tapi itu kata oranglah, yang tak ada siapa pun boleh buktikan dengan fakta akan kesahihannya.

Selagi aku tak didedahkan dengan bukti sahih bahawa kata orang itu betul, selagi itulah aku akan pakai kata-kata aku. Falsafah Hanum Syazana menyatakan bahawa sayang itu abstrak. Bukannya boleh diukur. Cukup dengan tarikan yang dirasai dalam hati, kau sudah boleh bersuami.

Dah tentulah falsafah yang aku cipta itu lahir berdasarkan pengaruh persekitaran. Pengaruh utama datangnya daripada Encik Wahyu yang bekerja satu pejabat dengan aku. Satu pejabat, tetapi dia ada biliknya sendiri. Yalah, bos kan.

Encik Wahyu yang sudah 5 tahun menjadi suami aku. Cukup 2 minggu lagi, genaplah 6 tahun dia pegang jawatan sebagai suami aku.

Ops! Aku dah bagitahu ke yang falsafah Hanum Syazana yang aku cipta tu hanya terpakai sampai tiga tahun lepas sahaja? Masuk tahun keempat aku jadi isteri Wahyu, aku dah jadi malas nak berpegang kepada apa-apa falsafah. Malas juga nak mencipta apa-apa falsafah.

"Kosong lagi pejabat Encik Wahyu. Ke mana dia sebenarnya ni?"

Aku tahu, soalan itu bukannya diajukan kepada setiausaha Encik Wahyu. Soalan itu diajukan kepada aku, lengkap dengan jelingan mata lagi semata-mata sebab nak baca ekspresi muka aku.

Aku kerling wajah Quzandria dengan hujung mata, "Tak ada pula aku dapat notis yang aku dah ditukarkan jawatan jadi setiausaha dia."

"Eh, bukan kau bini dia ke?" Nada bicara Quzandria kedengaran sinis.

"Ada tulis dekat dahi aku ke yang aku ni isteri dia?" Bukan semua orang di pejabat ni tahu yang aku ialah isteri Wahyu. Hanya lebih kurang 3 orang staf sahaja yang masih setia bekerja di sini sejak enam tahun lepas. Mereka saja yang memang sedia maklum yang aku sudah berkahwin.

"Semalam Ernie bagitahu aku yang kau ni isteri Encik Wahyu." Mata Quzandria bergerak ke arah meja aku. Aku tahu bahawa dia sedang mencari cincin pada jari-jemariku. Cincin yang aku dah tanggalkan sejak Wahyu tak pulang ke rumah dua hari lepas.

"Kau dengan Ernie tu dua-dua baru masuk kerja seminggu. Dah tak ada kerja sangat ke sampai nak bergosip aje? Aku dah 10 tahun kerja dekat sini. Mana-mana staf kahwin semua aku tahu. Tak pula aku tahu yang Hanum dah kahwin. Siapa yang pandai-pandai reka cerita ni?" Entah sejak bila dia mendengar perbualan kami, ringan sahaja mulut Kak Zarida menyampuk perbualan antara aku dengan Quzandria.

Quzandria tersengih-sengih memandang Kak Zarida, setiausaha kepada Encik Wahyu.

"Encik Wahyu tu ada event dekat Venice. Ada art expo kat sana. Seminggu juga rasanya baru dia balik," beritahu Kak Zarida.

Fuh! Patut pun luggage dia hilang. Aku ingatkan dia lari dari rumah.

Mungkin kerana jiwa aku tiba-tiba sahaja terasa ringan, tangan aku secara spontan bergerak mencapai bungkusan roti yang terletak di sudut meja. Aku memusingkan kepala ke belakang. Sebaik sahaja terpandangkan wajah Irman, staf baharu yang sedang menjalani praktikal di sini, aku terus mengangkat sedikit bungkusan roti berkenaan sebagai tanda terima kasih.

Irman mengukir senyum sebagai balasan.

Kadangkala aku hairan juga, setiap kali aku pandang Irman, pasti sahaja matanya pada ketika itu sudah sedia memandang aku. Dia memang selalu pandang aku ke macam mana eh?

"Kak." Aku cukup kenal dengan nada ajakan bergosip itu. Meskipun aku kelihatan seperti tidak berminat untuk bergosip, mata aku tetap mengerling ke arah Quzandria yang sedang tersengih-sengih gatal.

My dear, Wahyu!Where stories live. Discover now