AKU dapat rasakan pijar pada bahagian anak rambut. Rasa sakit yang menggigit itu menganggu lenaku. Laju tanganku bergerak untuk menolak benda yang menyebabkan aku sakit.
Tak cukup dengan sebelah tangan, sebelah lagi turut aku guna untuk menghapus gangguan yang menyakiti aku. Namun semakin aku menolak, semakin sakit pula yang aku rasakan.
Dan akhirnya, kedua-dua belah tanganku terasa seperti diikat. Mata automatik terbuka dek dada yang dipukul oleh debaran yang menggila. Segera aku ingin bangkit namun, "Aduh!"
Kepala aku terhempas semula ke atas bantal.
"Ahhh." Aku mengerang dengan mata yang terpejam. Berdengung rasanya telinga aku selepas terhantuk tadi. Kepala Wahyu memang keras begini!
"Sakit ke?"
Aku membuka mata yang terpejam, "Wahyu buat apa?"
Wahyu tidak menjawab soalan aku. Kedua-dua belah tangan aku yang dicengkam olehnya sebentar tadi sudah dilepaskan. Wajahnya bergerak merapati wajahku. Matanya melekat pada dahiku.
"Wahyu tengok apa?" Masih juga aku bertanya walaupun aku tahu apa yang sedang dilihat oleh Wahyu.
Sekali lagi aku dapat rasakan pijar pada bahagian anak rambutku.
"Ahhh." Terpacul juga bunyi yang membuktikan bahawa aku sedang berasa sakit. Sakit apabila lukaku bersentuh dengan ubat yang disapu oleh Wahyu.
Wahyu pandang mata aku sekilas kemudian matanya singgah pula pada bahu kiriku. Tangannya bergerak membuka dua butang bahagian atas baju kemeja yang sedang aku pakai. Kolar kemeja aku ditarik sehingga mendedahkan bahu aku.
Wahyu mengambil sesuatu dari meja lampu tidur. Bungkusan ais. Bungkusan itu kemudiannya diletakkan di atas bahu aku. Ditekap lama dengan tangannya.
Entah atas alasan apa, sepasang mataku bergenang tatkala merenung wajah Wahyu. Syahdu sungguh aku rasa pada saat ini.
"Wahyu." Perlahan aku menutur namanya. Air mata sudah mengalir ke pelipis.
Tangan Wahyu yang sedang menekap bungkusan ais aku capai. Setiap lekuk urat pada tangan itu yang mengisi ruang mataku buat aku semakin sedih sahaja. Pemilik tangan ini sebenarnya tidak pernah gagal sebagai seorang suami. Makan pakai aku semua dia jaga dengan baik. Cuma dalam hal hati dan perasaan, barangkali hanya aku yang masih gagal menjadi isteri yang baik untuk faham dia.
"Kalau saya mati dalam kemalangan itu, awak akan sedih tak?" Aku pandang Wahyu dengan mata yang bergenang. Pastilah Wahyu sudah tahu tentang kemalangan aku dan Ernie. Aku yakin dia sudah perasan luka pada bahagian anak rambut aku dan lebam pada bahu aku sejak malam semalam lagi.
Kak Zarida pun ada beritahu aku bahawa Wahyu meminta penjelasan tentang ketidakhadiran aku ke pejabat dua hari lepas. Wahyu tanya, aku sakit apa sampaikan aku dapat MC.
Wahyu merebahkan tubuhnya di sebelah kananku. Dahiku dikucup olehnya sebelum dia memeluk tubuhku dan mendaratkan kepalanya pada bahuku.
"Wahyu tak sayang Hanum ke?"
Wahyu tidak menjawab. Hanya pelukannya pada tubuh aku yang dapat aku rasakan semakin erat.
"Hanum tak boleh baca fikiran Wahyu, tak boleh dengar suara hati Wahyu. Yang Hanum fikir sekarang ni, Wahyu tak perlukan Hanum dalam hidup Wahyu. Mungkin Wahyu boleh cuba buat Hanum ubah fikiran supaya Hanum tak terus fikir benda yang sama."
Tangan kanan Wahyu bergerak mencapai tangan kiriku lalu dia menyelati ruang kosong antara jari-jemariku dengan jari-jemari miliknya.
"Jangan pergi, Hanum Syazana," bisik Wahyu, "Awak keluarga saya."
YOU ARE READING
My dear, Wahyu!
RomanceTentang Wahyu, suami aku yang diam, yang beku, yang sukar untuk aku tafsir isi hatinya. Tentang aku, isteri Wahyu yang mulai ragu dengan pilihan hati sendiri. Dulu, Wahyu pada mata aku ialah seorang lelaki yang cukup cool. Sebab hati aku tertarik...