DENGAN kaki yang terseliuh, terhincut-hincut aku menapak ke masjid. Aku dah boleh agak dah, kaki yang terseliuh ni mesti sebab aku keluar dari rumah tak minta izin suami. Selesai menunaikan solat Isyak pada pukul 4 pagi, aku kemas beg pakaian aku dan keluar dari rumah melalui tingkap di bilik.
Melompat dari tingkap bilik yang kedudukannya jauh dari tanah, tidak mustahillah kaki aku akan terseliuh.
Jam baru menunjukkan pukul 5 pagi. Tok siak pun tak sampai ke masjid lagi. Aku melabuhkan duduk di wakaf berdekatan dengan kawasan solat wanita. Pintu masjid berkunci. Memanglah pintu masjid sepatutnya selalu terbuka. Tapi kalau dah selalu sangat tabung masjid kena kopak, aku pun tak sedap hati nak tinggalkan masjid tidak berkunci.
Sementara menunggu azan subuh, aku keluarkan iPad aku. Apps al-Quran aku buka lalu aku mula mengaji. Hati tetap rasa gelisah sebenarnya walaupun aku sedang mengaji. Mungkin kerana aku berada di sini tanpa redha suami.
Apabila aku nampak tok siak sudah tiba dan membuka pintu masjid, aku terus berpindah dan duduk di dalam masjid.
Selesai menunaikan solat subuh, aku keluar dari masjid. Masa-masa itu jugalah aku nampak Zarif berjalan bersama-sama dengan Faris dan Jartis.
Pantas aku menyorok di sebalik tiang. Tak cukup dengan mereka bertiga, aku nampak pula Karim dan Azril. Sejak bilalah budak bujang berdua tu rajin bangun untuk ke masjid pada waktu subuh begini?
Apabila mata tak nampak kelibat Wahyu, mulalah kepala aku terpusing-pusing. Takut lelaki itu tiba-tiba buang tebiat nak melawat kawasan masjid. Tak fasal-fasal rancangan aku untuk melarikan diri gagal pula nanti.
"Hanum."
Terjongket bahu aku dek terlalu terkejut. Aku berpusing ke belakang, "Dinda?"
Dinda tersengih lebar, "Kau tak bagitahu aku pun yang kau ada balik kampung?"
"Kau pun tak bagitahu aku juga!" Aku menepuk bahunya.
"Sampai Ahad ke kau dekat sini?"
Aku menggeleng, "Ni nak balik dah."
Dinda memerhatikan beg yang aku galas di bahu, "Naik apa? Seorang?"
"Naik bas. Aku plan nak ambil Grab ke stesen bas."
"Isy. Tak payahlah susah-susah. Kau naik dengan aku aje. Kebetulan aku dengan adik aku pun nak balik ke KL semula hari ni. Ni nak gerak dah."
Agaknya Dinda pun boleh nampak betapa bersinar-sinarnya mata aku setelah menerima ajakannya, "Betul ni?"
Dinda mengangguk, "Jom."
AKU masih belum boleh lupa betapa kuatnya debaran yang aku rasa apabila aku nampak Wahyu sedang berjalan beriringan dengan ayah keluar dari kawasan masjid. Mujurlah tingkap kereta milik Dinda ni tinted. Kalau tidak, puas aku nak menyorok.
Mujur juga masa tu Dinda dan Irman sedang sibuk berbual-bual. Jadi tak adalah mereka menyedari kewujudan Wahyu dan ayah aku.
Aku berkawan dengan Dinda sejak tingkatan empat lagi. Tapi baru hari ini aku tahu yang Irman tu merupakan adik Dinda. Yalah, macam manalah aku boleh nak agak yang Irman tu adik Dinda. Dulu, masa aku ke rumah Dinda, Irman masih berhingus lagi. Kami berada di tingkatan empat, dia pula masih lagi sembilan tahun.
Setelah menghantar Irman pulang ke rumah sewanya, Dinda memandang aku melalui cermin pandang belakang.
"Kau gaduh dengan Wahyu?" tanya Dinda, terus kepada persoalan utama.
YOU ARE READING
My dear, Wahyu!
RomanceTentang Wahyu, suami aku yang diam, yang beku, yang sukar untuk aku tafsir isi hatinya. Tentang aku, isteri Wahyu yang mulai ragu dengan pilihan hati sendiri. Dulu, Wahyu pada mata aku ialah seorang lelaki yang cukup cool. Sebab hati aku tertarik...