WANITA yang sedang duduk berhadapan denganku ditenung tanpa kelip. Berambut pendek paras telinga. Ala-ala lelaki, tetapi gaya rambut tersebut membuatkan dia nampak classy. Ditambah pula dengan gaya duduknya yang tegak, kaki bersilang ke kiri. Pandanganku melekat kepada tangan yang tidak jauh dari kaki tersebut. Sebelah sedang memegang buku, sebelah lagi sedang menulis sesuatu. Halus jari-jemarinya. Panjang dan runcing. Kukunya kelihatan bersih bersinar. Anak mataku digerakkan semula ke muka. Kembali pada wajah putih bersih tanpa sebutir cela. Keningnya terukir elok. Kalau kata orang...eyebrows are sisters, not twins, istilah tersebut tidak kena untuk wanita ini. Keningnya tampak sempurna. Letaknya dan bentuknya. Bukan macam aku yang tidak berapa ada kening, dan selalu ambil masa untuk melukisnya biar elok. Tiba-tiba ada rasa cemburu yang menyelit.Pandanganku bergerak lagi. Di sebalik kaca mata yang dipakai, aku boleh lihat bulu matanya yang panjang, lentik dan tebal. Spesis perempuan yang tidak perlu pakai maskara untuk memanjangkan bulu mata. Walaupun dia sedang menunduk tidak melihatku, aku dapat bayangkan betapa cantiknya sepasang mata milik wanita ini. Ditambah pula dengan hidung mancung dan bibir mungil merahnya.
Jelita.
Itu perkataan paling tepat untuk dia. Kalau tidak, masakan aku boleh tergamam melihat dia sewaktu dia tiba selepas sarapan tadi. Tidak pernah seumur hidup aku, berasa takjub dengan makhluk sama jantina denganku. Padahal, aku selalu sangat menemui wanita-wanita cantik sepanjang bersama ibu menguruskan The Cotton Paradise. Model-model kami, bukan sebarangan. Sementelah, aku sendiri bukanlah buruk sangat. Salah seorang wajah untuk syarikat. Model utama. Juga, salah seorang lifestyle blogger terkenal di Malaysia. Just Inara...itulah blog aku, dengan jumlah lawatan yang sudah sampai jutaan kali. Instagramku juga punya ratusan ribu pengikut yang mahu melihat aku setiap hari.
Tetapi sekarang, aku dan dia umpama langit dan bumi. Aku dengan rupa pucat berpipi cengkung. Sudah serupa hantu. Dia dengan rupa cantik tanpa noda. Sudah serupa bidadari. Tidak cukup dengan itu, namanya juga cantik.
Isabel.
Doktor yang bertanggungjawab ke atas aku selama ini, menurut kata Gibran. Huh, mana dia jumpa doktor secantik ini?
"So..." Dia tiba-tiba membuka mulut, mengangkat kepala dan mengalihkan cermin mata dari hidung. Aku tersentak dan cepat-cepat membuat muka selamba. Tidak mahu tertangkap memerhati muka orang.
"Kita akan teruskan apa yang kita buat tadi, untuk dua hari lagi. Masa tu barulah kita akan tahu sama ada Puan Inara dah betul-betul bebas dari PTA atau pun tidak."
"Dua hari lagi? Maksudnya, doktor akan tanya saya siapa nama doktor dan minta saya kenal pasti tiga barang. Lagi dan lagi. Macam tu?" tebakku merujuk kepada apa yang aku buat seketika yang lepas. Terasa agak bodoh bila diperlakukan begitu, tetapi apakan daya. Aku pesakit. Dia doktor.
"Macam yang saya beritahu tadi, it's a simple memory test. Kalau jawapan semuanya okey, then saya boleh sahkan yang puan dah sembuh dari PTA."
"PTA saja? Macam mana dengan hilang ingatan saya ni? Bila saya nak ingat semuanya?" Aku menyoal, laju dan tidak sabar.
Dr. Isabel mengukir senyuman. Dia memandangku lembut.
"This post-traumatic amnesia ialah keadaan yang sementara lepas seseorang bangun dari koma. Selepas beberapa ketika, keadaan ini akan hilang dan pesakit akan mula ingat hal-hal yang berlaku dalam seharian. Tapi ini bukan kesnya untuk..."
"Jadi doktor nak cakap yang hilang ingatan saya ni, bukan sementara? Akan jadi selama-lamanya? Sampai bila-bila pun, saya takkan ingat apa yang jadi dalam empat tahun ni?" Tanpa menunggu dia menyudah kata, aku menyampuk. Bertalu-talu. Aku sudah tidak peduli kalau aku dikira kurang ajar. Yang aku tahu dan aku mahu sekarang, cuma jawapan. Dia ialah doktor. Dia pasti punya jawapannya, kan?
YOU ARE READING
MEMORI INARA (Published)
Mystery / ThrillerHIGHEST RANKING: #1 in novelfiksyen (16/3/2019) #1 in jenayah (16/3/2019) #5 in karyaseni (1/3/2019) #8 in misteri (16/2/2019) #22 in novelmelayu (16/3/2019) #30 in actionromance (1/3/2019 ****** NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis bel...