SEMINGGU sudah berlalu sejak aku bangun di pagi itu. Seperti kata Dr. Isabel, aku disahkan bebas daripada post-traumatic amnesia. Seperti katanya juga, aku belum pulih dari hilang ingatan. Tidak kira walau macam mana pun aku cuba gali memori yang lenyap ini, yang aku dapat cuma kekosongan. Seolah-olah tempoh empat tahun itu sudah dipadamkan terus dari otakku. Tidak tertinggal sisa apa-apa pun.
Ada beberapa kali aku cuba bertanya kepada ibu dan Gibran, tetapi seperti sebelum ini balasan mereka tidak boleh dikira sebagai jawapan. Sama ada mengelak, atau pun mengezip mulut terus. Huh, tidakkah mereka sedar bahawa reaksi itu tidak membantu aku langsung? Bahkan, membuat aku fikir yang bukan-bukan?
Aku cuma bertanya soal perniagaan ibu, kolumn tulisanku untuk The Ladies, perihal blog kesayanganku, dan sekali dua tentang Instagramku. Soalan yang aku fikir, tidak salah untuk diberi jawapannya. Bukan aku tanya pasal Muzaffar, atau parut di tubuhku, atau pakaian gelap dalam almari. Hanya soal kerjaya aku. Apa yang susah sangat mahu jawab?
Yang lagi kelakar, Gibran mengatakan bahawa dalam rumah ini tidak ada internet. Like seriously? Di tahun 2018 ini, tidak ada internet dalam rumah? Hampir pecah perutku mendengar jawapan itu. Namun, Gibran cuma bersahaja menjelaskan. Katanya, rumah ini khas sebagai rumah percutian majikannya. Jadi mereka memastikan bahawa wifi tidak dipasang. Mahu mengeratkan hubungan antara orang dalam rumah ini. Bukan dengan orang di luar rumah, yang tidak dikenali, tidak diketahui siapa mereka, dan apa mereka buat. Ya, logik penerangan itu. Tetapi masalahnya...
Macam mana aku mahu periksa sendiri blog dan Instagram aku, kalau tidak ada internet? Mahu menggunakan telefon ibu atau Gibran? Huh, kalau sudah tidak mahu buka mulut tentang itu, takkanlah mereka berbesar hati pinjamkan telefon kepadaku? Telefon bimbit kepunyaan aku sendiri pula...Kata ibu, sudah hancur dalam kemalangan.
"Then, Ara nak yang baru."
Itu yang aku pinta saat kami berbicara soal tersebut. Pantas dibalas oleh Gibran.
"Nanti abang akan belikan yang baru."
Ya, itu janji dia dua hari lepas. Tetapi batang hidung telefon bimbit baruku, langsung tidak nampak! Bila ditanya, macam-macam yang jadi alasannya. Asyik-asyik lupa. Sampaikan bosan aku jadinya. Sama bosan dengan duduk dalam rumah ini, tidak buat apa. Gibran pagi-akan pergi ke tempat kerja. Entah di mana, aku tudak tahu. Beritahunya sebelum ini, dia bekerja sebagai penyelidik. Tekaku, penyelidik di mana-mana institusi pengajian tinggi. Malas aku tanya lebih lanjut. Tidak berminat pun. Ibu pula, ada menemani aku di sini. Tetapi, banyak kali juga ibu akan ke biliknya membuat kerja. Sebagai pemilik The Cotton Paradise, pasti banyak urusannya. Walaupun kata ibu, dia sudah menyerahkan kuasa pengurusan kepada Uncle Rudy, aku tahu sebagai pemiliknya, ibu masih perlu membuat keputusan besar.
Melihat ibu begitu, aku jadi cemburu. Aku juga mahu jadi sibuk begitu. Aku mahu rasa keghairahan waktu berusaha menyiapkan satu-satu kerja. Aku mahu rasa 'hidup'. Seperti waktu aku berhempas pulas menghasilkan koleksi sendiri, iaitu The Red Collection, satu-satunya koleksi bold colour bawah The Cotton Paradise yang selama ini lebih terkenal dengan warna pastel, atau saat aku menjalani penggambaran sebagai modelnya, atau ketika aku memikirkan post terbaru untuk aku letak dalam Just Inara, atau yang paling mudah untuk aku kongsi di Instagram @justinara.
Aku mahu bekerja seperti itu. Aku tak mahu jadi tunggul dalam rumah ini!
Semakin aku memikirkan soal itu, semakin jiwaku hilang ketenangan. Bahkan, dirundung geram. Iya, geram pada semua orang yang tidak sudah-sudah mahu berahsia denganku. Juga, geram kepada diri sendiri yang tidak ingat-ingat.
Kuat-kuat, aku melepaskan keluhan. Nafas juga ditarik dan dihembus berulang kali. Tangan yang sedari tadi memeluk lutut atas sofa, dibawa ke tepi. Kaki diletak atas permaidani, sebelum aku akhirnya bangkit. Hajat di hati mahu mengambil udara di beranda. Satu tabiat yang tiba-tiba aku cipta sejak berada di sini. Hanya itu caranya untuk aku rasa lebih elok. Pemandangan di luar yang indah, seperti punya kuasa untuk menyuntik ketenteraman. Benarlah kata orang...
YOU ARE READING
MEMORI INARA (Published)
Misterio / SuspensoHIGHEST RANKING: #1 in novelfiksyen (16/3/2019) #1 in jenayah (16/3/2019) #5 in karyaseni (1/3/2019) #8 in misteri (16/2/2019) #22 in novelmelayu (16/3/2019) #30 in actionromance (1/3/2019 ****** NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis bel...