GADIS yang sedang teresak-esak depanku, dipandang tanpa kata. Satu saat, aku menghulur tisu kepadanya. Pantas disambut, dibawa ke mata dan disapu ke hidung. Tidak sampai seminit, dia sekali lagi menggerak-gerak tangan. Aku menarik tisu dari kotak dan menghulur lagi...dan lagi...dan lagi. Entah berapa banyak tisu yang sudah aku tarik keluar dan bagi padanya, aku tidak kira. Yang pasti, ada timbunannya atas meja.
"It's really...it's really you..." ucapnya di celah sedu-sedan, usai lebih bertenang.
"Yup, it's me." Aku mengakui, bersama rasa aneh dalam hati. Baru beberapa hari, aku dapat tahu bahawa aku dan dia terputus hubungan, kini dia elok-elok berada depan mata.
Priya.
Sahabat baikku. Orang yang katanya, sudah lama tidak aku temui. Orang yang dalam otakku, baru dua minggu lepas aku jumpa.
Justeru, aneh! Aneh sekali perasaan yang aku rasa sekarang. Tidak sedih, tidak jua perit. Fikirku sebelum ini, aku akan rasa begitu bila bertemu dengan Priya semula. Ternyata, tidak. Aku cuma rasa biasa-biasa. Rasa seperti sediakala waktu aku dan dia bertemu untuk ke mana-mana. Girl's outing, bak kata Muzaffar.
Padahal, Priya...dia sudah serupa heroin Hindustan yang kehilangan heronya. Habis maskara tebal yang dipakainya. Merosakkan bawah mata. Tidak ubah macam panda di China.
Saat ini, aku sedar. Aku benar-benar hilang ingatan. Aku tidak rasa apa yang Priya rasa selama ini. Aku tidak menempuhi apa yang dia tempuhi dalam masa empat tahun ini. Dan entah! Entah apa yang dia sudah buat untuk mencariku. Kerana aku yakin, seorang Priya tidak akan membiarkan seorang Inara pergi begitu sahaja dari hidupnya.
Menyedari hakikat tersebut, hatiku mula dijengah sendu. Aku terlewat, tetapi mataku akhirnya bergenang dan menitiskan isi. Tisu dari kotak yang sama tadi, aku tarik dan bawa bawah mata. Diseka sambil cuba mengawal perasaan.
"Aku cari kau selama ni, kau tahu tak? Kau pergi mana? Apa yang dah jadi?"
Benar tekaanku, Priya mencari aku selama ini.
"Ibu cakap kita lost contact lepas kau ke Glasgow."
"Ya, betul. Kau yang tiba-tiba tak jawab mesej aku, panggilan telefon aku, emel aku...everything! It's like you cut me off from your life."
Kata-kata Priya menyentak kuat.
"Kenapa?" Spontan, soalan itu keluar dari mulutku.
Mata Priya membundar. Mulut juga melopong.
"Kenapa, kau tanya aku? Aku yang patut tanya soalan tu pada kau."
Dia mengambil tanganku dan memegang erat. Sayu, dia memandangku.
"Now, tell me. Kenapa kau buat macam tu pada aku?"
Aku diam, tidak pantas menjawab. Jiwa mula rasa sesak, ditusuk seribu satu emosi yang bercampur-baur hinggakan aku sudah tidak pasti perasaan apa yang aku patut rasa sekarang. Fikirku sebelum ini, kami terputus hubungan kerana dia ke Glasgow. Aku tidak menduga ini yang sebenarnya jadi.
Aku sendiri yang tidak menjawab segala panggilan, mesej, emel dan macam-macam lagi itu? Aku yang buang Priya dari hidupku?
Sungguh, apa semua ini?!
"Ara, aku tanya ni."
"Aku...tak tahu." Perlahan sekali jawapan yang aku lontar. Kepala tertunduk sendiri. Rasa tidak layak untuk melawan renungan Priya.
"Apa maksud kau, kau tak tahu?"
"Aku..."
Suaraku tenggelam lagi. Entah kenapa, berat benar lidahku untuk memberitahu kebenaran.
YOU ARE READING
MEMORI INARA (Published)
Mystère / ThrillerHIGHEST RANKING: #1 in novelfiksyen (16/3/2019) #1 in jenayah (16/3/2019) #5 in karyaseni (1/3/2019) #8 in misteri (16/2/2019) #22 in novelmelayu (16/3/2019) #30 in actionromance (1/3/2019 ****** NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis bel...