BAB 1

290 1 1
                                    

PUNGGUNGKU kebah, sejak tadi berpaut pada buaian rotan gantung. Aku bukan sengaja mahu bersadai, menayang diri di halaman rumah. Menunjuk ragam dengan muka kelatku yang macam mangga busuk. Aku termenung muram, memikirkan masa hadapanku yang tidak boleh diramal melainkan ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui. Aku buntu dengan asakan daripada abi dan umi. Kahwin pilihan keluarga vs pilihan sendiri?Abi beria-ia mahu aku berkahwin dengan anak muridnya. Huh! Diulangi, anak murid abi yang tidak aku kenali asal usulnya, bakal berjodoh denganku! Abi, aku tak mahu terlibat dalam drama air mata lagi. Perkara sebegini melibatkan hati dan perasaanku. Dari dulu lagi, aku setia dengan Akhi Amir. Tak mungkinlah mereka boleh buat-buat tak perasan kesetiaanku dengan akhi, mereka pun tahu aku bukan wanita yang mudah jatuh cinta, apa lagi melayan ribuan jejaka, hatiku termangu-mangu sendirian.Ya ALLAH, apakah ini yang Engkau mahukan dalam hidupku? Aku sudah ada dia tetapi Engkau hadirkan dia yang misteri pula sebagai pilihan jodohku. ALLAH... Aku lemah. Berilah aku kemudahan dalam menyelesaikan segala yang rumit dan segala permasalahan yang timbul. Kuatkan hatiku dalam menghadapi ujian-MU, Ya ALLAH...Nak Kahwin rela atau terpaksa ek? Hurm... Yang mana lebih penting, restu keluarga atau pilihan hati kau, Nur? Suara hatiku berbisik, menghentamku pula.Aku lepaskan keluhan berat. "Erm, mestilah aku pilih restu abi dan umi," bicaraku meletus perlahan. Hanya diriku yang mendengarnya. Tatkala aku begitu khusyuk melayan perasaan, aku tergamam. Mataku terpandang ke arah susuk tubuh dua insan yang telah mengacau-bilau ketenteraman hatiku sejak bertahun-tahun yang lalu. Aku dihimpit debaran, hatiku mula menginjak kekok. Aku tundukkan pandanganku ke bawah, membiarkan telingaku sahaja yang berfungsi. Salam yang mereka beri, aku jawab dalam hati."Anakku, Su. ALHAMDULILLAH, dapat juga umi jumpa Su, sayang."Drama sebabak itu benar-benar menyentuh hatiku. Ah, mataku masih berkeras, mahu tunduk menghadap lantai.Aku cantumkan kedua-dua jari-jemari kiri dan kananku agar bertemu antara satu sama lain. Aku gelabah. Aku tundukkan kepalaku, sengaja tidak mahu berlaga wajah dengan wajah mereka. Bukan sahaja mata, malah hatiku juga ikut berdegil, tidak mahu menyambut kedatangan mereka.Bukan aku yang pinta jadi begini, aku sentiasa memaafkan. Cuma, kemesraanku kepada kalian telah lama hilang. Maaf, aku tak sempurna, bukan maksum yang tiada dosa, luah hatiku.Aku tersentak, mataku bertembung mata dengan Abang Haiqal. Aku menyumpah diri, tadi mataku tiba-tiba berani mendongak ke sana. Mujurlah sempat aku tunduk semula. Aku tahu Abang Haiqal dan Kak Su terkedu dengan tindakanku tadi. Terserlah sikap tidak mesra alamku terhadap mereka. "Apa khabar umi, nek?"Aku dengar suara Kak Su sayu dan bernada muram. Mungkin ada tanda-tanda akan menangis. Aku dengar juga suara umi sudah mula serak, dibanjiri air mata. Ekor mataku mencuri pandang lagi ke arah muka pintu. Mereka sedang berpelukan. Umi dan nenek saling berdakapan dengan Kak Su. Abang Haiqal pula sekadar menjadi pemerhati program jejak kasih itu. Kenapa aku tak dengar sebarang bunyi kereta atau tapak kaki manusia masuk ke pekarangan rumahku tadi? Isy, nampak sangat aku tak fokus dengan keadaan sekelilingku!"Rindunya dengan Kak Su..."Aku kenal suara itu. Suara adik bongsuku, Iman Khairana. Perasaan sebak mula menjengah hatiku. Aku bagaikan patung, hanya mampu memandang mereka tanpa menyapa. Ekor mataku gatal lagi, kembali menoleh ke sana. Kali ini mataku bertemu pula dengan mata Kak Su. Cepat-cepat aku kalih ke arah lain. Rupa-rupanya Kak Su sedang memerhatiku sejak tadi. Aku sahaja yang tak perasan renungan matanya yang bundar lagi sayu itu. Kenapa susah sangat aku nak lupakan kejadian lalu? Umi, abi, Iman dan nenek tak pernah mengungkit, tetapi isu silam lalu tetapku bangkit. Aku masih mahu makan hati berulam jantung. Aku bukan benci dengan Kak Su dan Abang Haiqal. Aku sebenarnya... Hurm... Aku masih terluka."Maafkan Kak Su, dik. Maafkan kami...""Sampai hati Kak Su rampas tunang adik Kak Su sendiri. Nur tak pernah duga Kak Su seberani ni." Lontaran suaraku masih tidak keras. Aku yang berhati lembut tidak betah marah sesuka hati. Disebabkan aku tidak suka berkasar dari dulu lagi, akhirnya ada orang yang berani menabur duri dalam kamar hatiku. Aku dihadapkan dengan sedu-sedan tangisan daripada Kak Su. Hatiku mudah sahaja jatuh simpati, namun cekap sahaja hatiku libas segala perasaan kasihan yang menapak dan berumah dalam hatiku. "Tangisan luar memang nampak banjirnya, Kak Su. Tapi tangisan dalam, lebih banyak limpahan ombak tsunaminya..." Sempat lagi aku lontarkan kiasan, sengaja mahu dia ingat tentang luka yang berdarah ini.Nafasku hampir sesak, Kak Su tiba-tiba sahaja menerkam tubuhku, merayu dan menangis minta belasku. Berulang kali dia usap belakang tubuhku, namun aku keraskan hati menepis pujukannya. Air mataku hampir menitis, aku gagahi jua membentak dingin dengan Kak Su. Aku tidak mahu menangis walau setitik pun di hadapan Kak Su. Aku tidak mahu biarkan kelembutan air mata ini menempel di pipiku. Biarlah aku begini, keras dan kaku. Aku rela tangisanku membanjiri kolam hati, bukan kolam mata. Muktamad!"Tolonglah maafkan Kak Su..." Kak Su merayu lagi. Pipinya banjir dengan hujan air mata, semakin lama semakin lebat mengalahkan hujan yang menyimbahi bumi. Pelukannya sengaja aku leraikan. Aku duduk jauh sedikit dari kedudukan Kak Su. Bunyi spring katil kembar di dalam bilikku mula kedengaran ketika aku berganjak tadi. Suasana di dalam bilikku hanya dibingitkan dengan tangisan Kak Su, sedangkan aku bersuara apabila perlu sahaja."Nur bukan Tuhan untuk memberi keampunan. Pintalah kepada ALLAH. Hutang dosa, hanya ALLAH yang menghitungnya, bukan Nur. Nur tak boleh tolong bayarkan untuk hamba-NYA yang lain!" ujarku selamba. Kali ini nada suaraku agak keras berbaur pedas."Selagi Nur tak maafkan Kak Su, selagi itulah hati Kak Su ni tak tenang, dik. Kami memang berdosa dengan Nur. Kak Su memang keji, Nur. Maafkan Kak Su..." rintihnya lagi."Abang Haiqal sayang sangat dengan Nur tapi dia pun sayang..." bicara Kak Su terhenti. Kepalanya menunduk, menangis teresak-esak.Hatiku dipagut sayu mendengar nama yang disebut oleh Kak Su tadi. Kak Su lebih tua daripadaku, sebaya dengan Abang Haiqal. Persamaan kami ialah kami bersekolah di sekolah agama yang sama. Abang Haiqal dilantik menjadi ketua pengawas sekolah, Kak Su pula dikenali sebagai pelajar paling terbaik dalam seni tulisan khat.Hantarlah dia ke mana-mana pertandingan khat, pasti juara bakal digondolnya. Aku pula hanya pengawas cabuk yang biasa. Pendiam dan tidak peramah sangat macam Kak Su. Aku kenal dengan Abang Haiqal setelah kami menyertai kem perkhemahan pengakap, itu pun ada orang tengah yang sampaikan niat Abang Haiqal yang mahu mengenaliku dengan lebih dekat lagi.Kami sepakat bertunang atas persetujuan kedua-dua pihak keluarga yang mahukan kami bercinta ikut cara yang halal. Mereka mahu kami bernikah usai aku tamat persekolahan menengah. Aku sangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya ada petir kilat di tengah hari. Aku tidak tahu sejak bila Abang Haiqal dan Kak Su jatuh cinta. Setahuku mereka hanya bertemu kalau Abang Haiqal ada kirim surat kepadaku. Kak Su selalu jadi orang tengah, rupa-rupanya orang tengah yang tikam aku dari belakang. Musuh dalam selimutku adalah kakak kandungku sendiri yang amat aku percayai selama ini. Bijak sungguh mereka sorokkan hubungan mereka daripada pengetahuanku. Kejadian pahit itu berlaku ketika aku di tingkatan 3, Kak Su dan Abang Haiqal sudah pun tamat pengajian sekolah menengah."Haiqal cintakan Kak Su juga. Kami jatuh cinta dalam diam. Tapi Kak Su tak pernah berniat nak rosakkan cinta Nur..."ALLAH... ALLAH... ALLAH... Hanya itu yang mampu aku ucap dalam hati. "Kalau cinta sekalipun, perlu ke akhirinya dengan zina, hah?!" Celupar sahaja mulutku menengking. Aku mengatakan yang benar. Aku tidak benci jika hatiku dikhianati. Yang paling buat hatiku hancur selumat-lumatnya semestinya pada perbuatan biadab mereka. Aku tidak mampu lupakan perbuatan terkutuk itu dengan mudah. Nafsu amarah menguasaiku, aku tajamkan penglihatanku kepadanya. Kak Su tunduk, takut agaknya. Air matanya semakin ligat mengalir keluar."Kenapa dia tak putuskan sahaja pertunangan kami kalau dah berkenan sangat dengan Kak Su? Kenapa nak tunggu sampai buat benda tak senonoh, baru nak mengaku cinta?" Sungguh banyak tujahan persoalan yang aku utarakan. Memang itulah yang sering aku soal dalam hatiku semenjak peristiwa pahit ini terjadi dalam sejarah keluarga kami. Air mataku bergenang, mujur tak tumpah."Dia tak salah, dik. Dia memang cintakan Nur tapi dia tak boleh lupakan Kak Su. Kak Su yang salah, kalau Kak Su tak datang ke rumah dia petang tu, semua ni takkan berlaku, dik. Kak Su nak betulkan keadaan tetapi jadi lebih teruk...""Kak Su tergamak masuk ke rumahnya dan berzina tanpa sengaja. Semuanya tanpa sengaja ke, Kak Su?" soalku sinis. Aku ketap bibir, nafasku terketar-ketar menahan marah.Kak Su tundukkan kepalanya semula, mungkin malu denganku. "Keluarga dia tak ada kat rumah masa tu, salah seorang saudara mereka dimasukkan ke hospital. Kak Su memang nak balik selepas kami bincang hal kita bertiga. Kak Su dah berniat nak undur diri, Kak Su nak dia pilih Nur dan berkahwin dengan Nur. Masa Kak Su nak melangkah keluar dari pagar rumahnya, hujan tiba-tiba aje turun dengan lebat. Dia ajak Kak Su berteduh kat dalam sebab pakaian Kak Su dah lencun. Kak Su terpaksa...""Cukup. Tak payah cerita lagi!" Aku mengangkat telapak tanganku, isyarat untuk mengakhiri ceritanya tadi. Telingaku tidak tergamak mendengar kisah penzinaan yang amat dibenci ALLAH. "Ingat tak apa pesan Kak Su kat Nur dulu? Kak Su selalu ungkapkan ayat ALLAH ni kat Nur, Kak Su mahu Nur jaga diri sepanjang berhubung dengan Abang Haiqal, kan?" sindirku lagi.Aku sengaja bertentang mata dengannya. Kak Su pula mengelak diri, lebih suka menunduk kepalanya ke bawah."Wala taqrabuz zina, surah Al-Israa', ayat 32."Suasana bisu."Wala taqrabuz zina!" ulangku lagi lebih kuat.Kak Su menangis teresak-esak. Bahunya terjingkit-jingkit."Dan janganlah kamu mendekati zina, zina itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk."Aku mahu dia benar-benar insaf, bukan niatku mahu memalukannya. Aku mahu Kak Su fahami terjemahan ayat al-Quran, kalam ALLAH itu dengan rasa keinsafan dan taubat nasuha yang sebenar-benarnya. Dia dan Abang Haiqal gagal mengawal nafsu. Ya, aku tahu semuanya telah terjadi, aku tidak boleh undurkan masa. Siapa aku nak menghukum mereka? Tugasku sekarang hanya mendoakan mereka, walau dalam diam."Harapkan pagar, pagar makan padi," sambungku lagi dengan perlian.Kak Su terus berlari deras ke muka pintu bilikku. Bayangnya sudah hilang daripada pandanganku. Mungkin sisa penyesalannya terlalu menggunung tinggi. Mungkin juga gegendang telinganya bernanah, tidak mampu menampung segala perlian dan sindiran aku terhadapnya. Akhirnya aku lepaskan juga air mata yang sedari tadi aku tahan daripada gugur.Aku menghela nafas sesak, dalam kesedihan. Kepalaku menunduk ke bawah ditemani tangis sendu. Kejamkah aku? Tidak. Aku memang patut bersikap dingin. Kebenaran tidak mengenal siapa orangnya, walaupun kerabat saudara kita sendiri. Hukum ALLAH tidak pilih kasih, yang salah tetap salah. Haram tetap haram. Istilah 'tidak sengaja' yang bermain di bibir manusia hanya alasan, bukan tiket untuk lari dari hukum ALLAH."Kak Nur tak nak jumpa Kak Su dengan abang ipar kita ke?"Aku tersentak. Lamunanku melayang jauh. Aku mengangkat kepala sedikit, merenung insan yang menyapaku tadi. Iman sedang menantikan jawapan daripadaku, aku pula termangu-mangu kelu. Diam membisu tidak mampu berikan jawapan yang pasti. Aku bukan seorang pendendam, tidak sesekali memusuhi mereka. Aku pun tak tahu sampai bila aku akan terus menjauhkan diri daripada Kak Su dan Abang Haiqal."Dahlah tu, Kak Nur. Tolonglah buang ego tu jauh-jauh. Sampai bila Kak Nur nak hukum dia orang? Iman tak suka tengok kita semua berpecah belah. Iman sayang kau orang berdua tau."Aku kerling ke muka pintu. Bayang mereka sudah menghilang. Hanya Iman yang setia berdiri di hadapanku. Aku kurang pasti sejak bila pula mereka semua masuk ke dalam rumah, yang Iman pula tiba-tiba sahaja sudah terpacak di ruang mataku. Berbalik kepada luahan Iman tadi, aku akui ada perasaan sedih sudah bertapak dalam hati ini.Aku bingkas bangun meninggalkan Iman sendirian. Dia berhati luhur, tidak suka menjadi batu api. Iman, kau tidak akan pernah tahu perasaan yang Kak Nur simpan ni. Apakah kau tahu Kak Nur sedang bergelut dengan perasaan amarah dan sayang sekaligus? Bohonglah kalau Kak Nur kata, Kak Nur tak sayang mereka. Ya, memang Kak Nur ego! Rajuk Kak Nur masih menjeruk lagi, Iman. Kaca yang sudah terhempas pecah, memang sukar nak dicantumkan semula. Kalau bercantum pun pasti akan ada kesan retaknya. Mana mungkin boleh jadi normal balik, luah hatiku. Kalaulah Iman dengar semua ni. Huh, Semuanya hanya kalau sebab lidahku kelu untuk menegakkan kebenaran buat diriku sendiri! Lebih baik aku diam daripada berkata-kata.Belum sempat aku melangkah setapak lagi, Iman memintas. Sengaja menyedarkan diriku yang berhati batu."Sedangkan Rasulullah S.A.W pun tidak berdendam dengan perbuatan orang-orang kafir laknatullah yang menyakiti baginda, mengapa umat baginda pula berkeras hati? Kak Nur jangan lupa. ALLAH Maha Pengampun. ALLAH memaafkan hamba-hamba-NYA yang bertaubat dan kembali kepada-NYA, kenapa kita pula menjauhkan diri dari hamba-hamba-NYA yang sudah bersih?"Mendengar sahaja kalimah ALLAH dan Rasulullah, tubuh badanku tiba-tiba terasa dingin yang amat sangat. Nampak gayanya air sejuk yang disimbah oleh Iman tadi, sudah menampar tubuhku agar merinding dingin. Aku percepatkan langkah, membuka kereta Kancil merah jambuku. Aku hidupkan enjin, lantas tergesa-gesa membawa keretaku keluar dari pekarangan rumah. Bicara akhir Iman tadi membuka ruang pada mataku untuk menumpah tangis. Aku menangis semahu-mahunya."Ah, degilnya hatimu, Nur!" marahku kepada diri.Iman melabuhkan punggungnya ke buaian rotan yang diduduki kakaknya tadi. Serabut otaknya memikirkan kesudahan kisah Kak Su dan Kak Nur. Kalau drama bersiri, pasti ada penamatnya. Kisah perang dingin Kak Su dan Kak Nur pula, entahkan ada jalan penamat atau tergantung begitu sahaja. Hurm..."KAT manalah aku nak bawa diri ni..." keluhku setelah air mataku berhenti mengalir. Mataku melilau, aku tumpahkan pandanganku ke luar tingkap. Aku mencari destinasi persinggahan yang dapat menenangkan jiwaku yang sedang bercelaru. Aku membuat pusingan U setelah membuat keputusan untuk menuju ke Masjid Al-Hikmah, berhampiran sahaja dengan taman perumahanku. Aku sudah terlajak jalan, terpaksalah aku undur, berpatah semula ke jalan yang sepatutnya.Usai sampai di pekarangan masjid, aku matikan enjin. Aku berlenggang sahaja tanpa bawa apa-apa. Tadi aku keluar sehelai sepinggang, tiada beg tangan mahupun telefon bimbit yang mengiringi langkahku. Kepalaku sempat mendongak langit, keadaan langit kelihatan suram, gelap. Kalau hujan, nampaknya aku kenalah berteduh dalam masjid dulu, tunggu hujan reda. Aku tak mahu fikir apa-apa lagi, yang aku mahu fikir sekarang ni, hanya satu. Mahu mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya. Isy, dia! Ajuku kepada diri. Hatiku tersentap setelah melihat susuk tubuh seseorang. Dialah encik calon suami. Bakal menantu pilihan abi dan umi. "Mengganggu ketenteraman hatiku betul. Dahlah hati aku tengah gundah-gulana, dia datang pula tambahkan lagi gulana ni," rungutku sambil menutup daun pintu dan mengunci. Aku biarkan dia berjalan terlebih dahulu, sementara aku ayunkan langkah dengan tertib dan perlahan-lahan. Kakiku terasa berat untuk melangkah dan melintasi perjalanannya. Aku mahu mengelak dari bertembung muka dengannya. Memanglah aku tak boleh mengelak bertemu muka dengannya untuk selama-lamanya. Dia bakal suamiku, pastinya suatu masa nanti kami akan bersua juga. Tetapi setidak-tidaknya, bukan sekarang. Bukan dalam keadaan hatiku yang serba tak kena ni.Fuh, lega! desis hatiku. Bayang-bayang si dia sudah hilang. Cepat-cepat aku mencari arah ke bilik wuduk. Niatku mahu mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid. Sebelum aku menegakkan tiang solat, aku akan cuba sentiasa membaca doa selepas wuduk. Aku hanya tak buat, kalau aku terlupa. "Membaca doa selepas wuduk ni hukumnya sunat. Cara membacanya ialah dengan menghadap kiblat dan mengangkat atau menadah kedua-dua belah tangan ke langit. Manakala pandangan kedua-dua mata ditujukan ke langit, walaupun dia seorang yang buta. Ingat, jangan tunggu masa yang lama. Doa selepas wuduk sunat dibaca sesudah berwuduk dalam jangka masa yang tidak terlalu lama..." Pesanan abi menjengah ingatanku sejenak.Aku senyum dalam ketenangan. Mengucap syukur kepada Yang Maha Esa. Aku sepatutnya bersyukur dengan kelebihan ilmu agama yang ada dalam diri abi, hingga aku mampu mengutip buih-buih ilmu yang bermanfaat melalui pengajarannya dalam bidang agama. Sejak kecil lagi aku dan adik-beradikku mendapat didikan agama kerana abi sangat menitikberatkan perihal Islam dalam diri kami.Fikiranku tiba-tiba dirasuk bayang Kak Su. Air mataku deras mengalir. Nasi sudah jadi bubur. Menangis air mata darah sekalipun, tidak mampu membaluti dosa silam. Aku tidak mahu menyuluh cermin pada kain koyak orang lain, lebih baik aku cermin diri sendiri yang sarat menampung dosa sama ada yang aku sedar atau tanpa aku sedar selama ini. Kau bukan malaikat, Nur. Kau bukan maksum tiada dosa. Kau pendosa, Nur. Janganlah kau biarkan hati kau berasa riak dan takbur. Jangan ingat kau mulia daripada Kak Su dan Abang Haiqal. Jangan sesekali Nur, bisik hati kecilku, cuba membakar sifat bongkak dalam diri. Aku tarik nafas dalam-dalam sebaik sahaja tumpuanku sudah beralih arah ke tikar sejadah."BERAPA lama kamu berdua kat Malaysia ni?" Puan Siti kian galak menatap wajah anak dan menantunya, silih berganti."Lama jugalah, umi. Qal rasa, kami sempat tengok Nur naik pelamin kalau majlis tu diadakan sebelum kami berangkat ke Mesir. Sekarang ni, Qal masih dalam cuti semester." Haiqal menjawab pertanyaan mentuanya sambil melirik ke arah Su yang berada di sebelahnya. Wajah Su yang tersenyum kelat, mengundang sebak dalam hatinya pula. Haiqal tahu isterinya masih bersedih dengan kedinginan Nur terhadap mereka. Dia pun tak mampu maaafkan diri sendiri, apatah lagi Nur yang menjadi mangsa keadaan. Haiqal menelan air liur pahit, bagai menelan peria. Nur Syahadah, insan yang penting dalam hatinya. Kalau dia biarkan perasaan cinta masih mahu menempel dalam hati, dirinya akan kecundang lagi. Kasihnya terhadap Nur masih ada, kalau disiram dan dibaja memang boleh tumbuh mekar semula. Hurm, dia tidak akan benarkan perasaan seperti itu bermukim dalam hatinya lagi! Dia tidak sanggup melukai hati Su pula. Beban kesalan yang ditanggungnya sehingga kini tidak akan hilang hingga ke akhir hayatnya. Basuhlah dengan Clorox sekalipun, kesan hitam itu tidak akan putih semula. Dia berdosa dengan Nur, dosa itu akan terampun andai Nur berbaik dengan mereka. Ya, hanya cara itu mampu memadamkan rasa bersalahnya selama ini."Baguslah tu, moga kita semua dapat berkumpul ramai-ramai di majlis tu nanti.""Nur bakal kahwin dengan siapa, umi? Su kenal tak orangnya?" Su menyampuk. Ada garis sayu dalam hatinya."Kamu tak kenal sebab budak lelaki tu bukan orang sini, orang Kuala Lumpur. Budak tu salah seorang anak murid pondok abi kamu. Abi kamu bagi tahu, budak Yusof tu berhijrah ke sini beberapa bulan yang lepas. Pondok Al-Nur Mukminin abi kamu tu dah ada bakal pewarisnya. Abi kamu berhasrat mahu bakal suami Nur turut serta membangunkan pondok Al-Nur Mukminin. Mesti budak tu istimewa orangnya sampai abi kamu serahkan amanah itu." Uminya senyum lebar."Syukur, ALHAMDULILLAH..." ujar Su. Dia gembira tak terkata. Su sentiasa mendoakan kebahagiaan adiknya tiap-tiap kali selesai solat. Dia sudah banyak menabur duri derita dalam hidup adiknya. Sudah tiba masanya kebahagiaan memeluk Nur. Su terpaksa senyum ceria, menutup duka dan kesalan. Dirinya sentiasa terkenang-kenang kejadian lalu, mengenang dosanya yang tercipta di kawasan perumahan ini. "Nur setuju tak, umi?" Ringan sahaja mulut Su bertanya. Ada juga rasa bimbang dalam hati, manalah tahu Nur masih ada hati dengan suaminya, Haiqal. Nak salahkan Nur pun tak boleh. Dia yang rampas Haiqal daripada Nur. Nur tak pernah bersalah. Dialah yang sepatutnya dipersalahkan. Hurmmm, hati Su sebak.Puan Siti gerakkan bibir, terpaksa senyum dan mengangguk-angguk. "Dia setuju." Sebenarnya, dia serba salah. Nur tak pernah menzahirkan persetujuan, suaminya sahaja yang memandai-mandai. Dia pula diluah mati mak, ditelan mati bapak. Tersepit di tengah-tengah. Sokong suami atau anak? "Biarlah budak Yusof tu jaga Nur. Abang yakin dialah pengganti Amir yang selayaknya. Awak pun tahu kan, kenapa kita kena cepatkan pernikahan ni?"Kata-kata suaminya, diulang tayang lagi. Memang mereka terpaksa buat keputusan mendadak. Puan Siti nekad, biarlah Nur menangis sekarang dari menangis dikemudian hari. Pilihan suaminya pasti yang terbaik memandangkan suaminya lebih arif soal agama."Nur makin ceria semenjak dua hari ni," ujar Puan Siti. Mereka-reka cerita yang tidak ada. Terpaksalah dirinya menutup cerita yang sebenar, demi membuang rasa bersalah dalam hati Haiqal dan Su. Dia mahu jernihkan hubungan mereka dengan Nur. Sejak kejadian lalu, hubungan Nur, Su dan Haiqal berantakan. "Jangan lambat sangat, umi. Kalau kedua-duanya dah setuju, langsungkan aje majlis tu secepat yang mungkin. Buat apa tunggu lama-lama? Buah cempedak masak kalau diperam lama-lama pun boleh busuk, inikan pula hubungan Adam dan Hawa. Jangan ada perkara buruk pula yang mengotorinya nanti..." Haiqal sengaja memerli dirinya, biar dirinya tahu dosa sendiri. Su terkesima. Air mata laju sahaja mengepung kelopak matanya. Anak matanya berlaga dengan mata suaminya. Masing-masing sebak.Puan Siti terkilan, berasa kasihan. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelak daripada berbicara hal yang telah berlalu. Parut yang lama kalau diselak, boleh memuntahkan hamis darah. Nek Jah yang baru sahaja mahu menapak keluar dari biliknya, berhenti daripada melangkah. Dia bersandar ke dinding. Air matanya mengalir keluar mengenang dosa cucunya. Kisah pilu lalu tidak pernah luput daripada ingatannya. "Mana abi nak letak muka ni, Su? Kamu berzina dengan tunang adik kamu sendiri. Abi tidak peduli kalau semua orang nak mengejek, ludah ke muka abi. Abi takut balasan ALLAH. Kamu tahu tak apa yang kamu lakukan tu memang dilaknat ALLAH?!"Dada Su sesak dengan hambatan kata-kata abi kepadanya. Sepintas lalu, dirinya terkenang kesilapan lampau."Kamu dan Haiqal mesti bernikah malam ni juga!"Kecut perutnya mendengar nada keras abi. Su nampak wajah umi pucat lesi pada hari dia ditangkap khalwat dengan Haiqal. Dirinya menyedari riak terkejut di wajah Nur. Su masih ingat lagi wajah sinis orang-orang yang menangkap dia dan Haiqal, sungguh terasa dirinya keji. Manusia di bumi sahaja sudah pandang hina, apatah lagi penduduk di langit. Paling dirinya takuti, pandangan ALLAH. Astaghfirullahalazim... Astaghfirullahalazim... Astaghfirullahalazim..."Eh, leka betul kita berbual, sampai tekak ni dah kering dibuatnya, kan? Tunggu kejap ya, umi nak jengah ke dapur. Entah apalah yang dibuat Si Iman kat dapur tu. Bancuh air ke, tadah air? Lama sangat..." dalih Puan Siti. Tergesa-gesa Puan Siti beredar, air matanya sudah mula bergenang sebaik sahaja dirinya memijak kaki dapur. Dikesatnya air mata yang tumpah setitik dua titik tadi dengan jari-jemarinya. Kemudian, Puan Siti mendekati Iman yang terkocoh-kocoh membancuh air kopi."Hai, tak siap bancuh lagi minuman tu, Cik Iman?" gurau Puan Siti, berharap duka dalam hatinya segera terhakis.Iman sengih manja. "Heee, belum lagi. Kopi ni asyik pahit aje. Dah banyak kali dah orang taruk gula, pahit juga. Orang bukan tak reti buat, cuma tak biasa aje..." Iman beralasan. Dia halakan muncung sudu yang berisi air kopi itu, berharap uminya menghirup sedikit."Pahitnya."Iman sengih malu."Sejak bila pula gula kat dalam rumah ni kehabisan stok? Abi kamu baru aje beli semalam..." Puan Siti bergurau, sambil menyusun cawan ke atas dulang. Iman muncungkan bibirnya, pura-pura merajuk. "Ala, umi ni... Perli orang pula. Tak baik tau...""Cepat sikit, Iman. Abang dengan kakak kamu dah lama tunggu tu.""Baik, tuan permaisuri yang cantik rupawan bak bulan purnama.""Amboi, membodek umi aje kerjanya." Puan Siti tersenyum simpul dengan usikan nakal anak bongsunya. Teringat pula dengan Nur, anak keduanya pun suka menyakatnya. "Erm... Iman..." Suaranya yang riang tadi bertukar muram."Ya, umi.""Iman tahu tak, Kak Nur keluar ke mana?""Dia tak bagi tahu pula nak ke mana. Tadi, dia menonong aje masuk kereta. Menoleh ke belakang pun tak. Iman tak sempat nak tanya apa-apa kat dia, umi..."Puan Siti mengangguk. Umi tahu Nur masih tak dapat lupakan apa yang terjadi dulu. Umi minta maaf, sayang. Umi tak boleh tolak Kak Su kamu dari hidup kita. Dia tetap anak umi. Umi sentiasa faham perasaan Nur, bisik hatinya, rasa bersalah. "Umi, dah alang-alang umi buka cerita pasal Kak Nur, orang nak tanyalah, umi. Dah lama orang pendam aje selama ni, tunggu masa yang sesuai aje nak bertanya.""Apa, Iman? Tanyalah sekarang..." Pandangan Iman menimbulkan tanda tanya dalam hati Puan Siti.Iman teragak-agak, digagahinya juga menyoal uminya. "Errr.... Kak Nur berdendam dengan Kak Su ke?" Pedas betul soalannya. Kalau dibuatnya Kak Nur dengar, memang makan hatilah Kak Nur terhadapnya. Berkerut dahi Puan Siti, kurang senang dengan pertanyaan anaknya tadi. "Isy, tak mungkinlah Kak Nur kamu nak berdendam. Dia perlukan masa nak bina hidup baru. Dah kahwin nanti baiklah dia," sangkal Puan Siti."Tapi kalau dia macam tu juga umi, apa kita nak buat?""Apalah yang dibualkannya ni? Rancak semacam aje."Belum sempat Puan Siti menyampuk, datang pula suara dari arah muka pintu. Puan Siti dan Iman terkejut bukan kepalang. Su berdiri tegak di hadapan pintu masuk dapur sambil melempar senyuman ke arah mereka."Umi tengah nasihatkan Iman. Umi nak dia buat betul-betul dalam SMTA nanti. Insya-ALLAH, boleh cemerlang. Kan, Iman?"Mata Puan Siti yang melirik ke arah Iman, membuatkan sengihan Iman agak panjang. Pandai betul umi berdalih. Nasib baiklah semua yang dikatakan uminya benar belaka. Umi selalu pesan supaya dia belajar rajin-rajin, buat sehabis baik dalam SMA. Harap-harap Kak Su tak dengarlah soalanku tadi. Isy, sejak bila pula dia tercegat kat situ, ek? desis Iman dalam hati.Iman merangkul pinggang uminya, sambil matanya melirik ke arah Kak Su. "Hai, tak ada orang nak bagi hadiah ke? Tangan Iman duk gatal memanjang aje sejak dua tiga hari ni. Rasa-rasanya macam bakal dapat something aje ni..." Iman senyum meleret, topik perbualan diubahnya serta-merta.Kak Su ukir senyuman dalam rasa yang hiba. Pandai sungguh mereka berpura-pura, sedangkan dia sudah dengar segala perbualan mereka tadi. Hurm, duhai hati tenanglah! La tahzan, innallahha ma'ana. Kak Su memujuk diri dengan mengungkap bait-bait ayat itu. Dia masih ingat lagi sewaktu di Mesir, seorang rakan baiknya pernah menasihatinya dengan menggunakan ayat dalam bahasa Arab tersebut. Kata-kata semangat yang mendekatkan diri kepada pencipta.Ya ALLAH, aku pendosa. Pantaskah aku bersedih hanya kerana sedikit ujian daripada-MU? Sedangkan nikmat yang paling besar telah Engkau berikan kepadaku, nikmat pengampunan-MU, Ya ALLAH. Nikmat itulah yang amat besar kalau nak dibandingkan dengan kesedihanku ini. Kak Su pura-pura ceria biarpun hatinya sedang dilanda angin derita. "Kak Su memang ada bawa oleh-oleh untuk Iman. Bukan Iman aje, untuk nenek, umi, abi dan Kak Nur pun ada tau...""Wah, ole-ole dari Mesir! Bestnya. Made in Mesir tu."Puan Siti geleng kepala dengan gelagat Iman. Matanya berkalih kepada Kak Su. "Membazir aje beli macam-macam untuk kami. Kamu tu perlukan duit. Orang baru kahwin ni banyak nak pakai duit, kan?""Eh, tak adalah membazirnya, umi. Kami jarang balik. Apalah salahnya Su bawakan oleh-oleh buat kenangan-kenangan. Nanti kalau masing-masing rindu, barang-barang tu yang jadi tanda ingatan. Betul tak, Iman?" Iman usap lembut bahu uminya. "Betullah apa yang Kak Su cakap, umi. Kenangan tu mahal harganya berbanding harga barang-barang yang Kak Su beli untuk kita. Bak kata pepatah, tak lekang dek hujan, tak lapuk dek panas.""Amboi, bersastera habis anak umi yang seorang ni..." ujar Kak Su.Puan Siti tertawa kecil. "Bahasa Malaysia Iman dapat A plus. Plus tau, Kak Su?" Kak Su senyum lebar. "Yalah, orang pandai bersastera. Kak Su ni terer dalam tulisan khat aje. Tak reti nak berpuitis-puitis ni.""Ha, yang tu Iman fail sikit...""Sudah-sudahlah bercakap tu. Jom kita ke depan. Umi dah tak sabar nak rasa pisang goreng yang Kak Su kau bawa ni.""Kami beli kat sini, umi. Tu pisang goreng Cik Da dekat simpang jalan masuk menghala ke rumah kita. Dari kecil lagi kita dah biasa makan air tangan Cik Da, kan? Tak sangka sampai sekarang pun Cik Da masih berniaga kat situ. Air tangan dia memang sedap, umi."Puan Siti mengangguk. "Yang jaga gerai tu sekarang Cik Da dengan anaknya. Dulu masa mak dia masih hidup, umi memang selalu pergi sana. Jenguk mak dia. Umi paling suka kalau mak dia buat kuih pelita, memang rasanya lain dari yang lain. Umi pun kalah..."Iman sudah bergerak ke ruang tamu bersama jag air kopi tadi. Kini tinggal Puan Siti dan Kak Su yang masih tercegat di dapur. "Dah ada tanda-tanda ke?" bisik Puan Siti."Tanda apa, umi?" soal Kak Su, bingung."Dalam perut tu?"Kak Su geleng, wajahnya sayu. Air liurnya yang ditelan terasa kesat.Puan Siti usap bahu anaknya, bersimpati. Usia perkahwinan Su dan Haiqal menjangkau lebih dua tahun, namun mereka belum dikurniakan zuriat. Manusia hanya mampu merancang, ALLAH jualah yang menentukan tiap-tiap perkara. Hatinya sedikit sedih, rasa terkilan nak timang cucu agaknya. Apa-apa pun dia tetap redha dengan segala qada' dan qadar ALLAH."Sabar ya, nak. Manusia hanya merancang dengan cita, ALLAH pula merancang dengan cinta-NYA. Perancangan ALLAH tu lebih baik."Hati Kak Su terusik dengan kata-kata uminya. "Doakan kami ya, umi," ujar Kak Su. Fikirannya menerawang, teringat detik-detik sukar yang telah berlalu."Dosa orang yang berzina ni sungguh berat. ALLAH dah laknat kat dunia lagi. Akhirat lagilah teruk balasan-NYA kecuali kalau kamu bertaubat, insya-ALLAH. ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi hamba-hamba-NYA yang bertaubat dari segala dosa..."Air mata bergenang di kelopak mata Kak Su. Teguran abinya sebelum dia dan Haiqal berangkat ke Mesir dulu, tiba-tiba menjengah dalam ingatannya buat seketika. Inilah hukuman di dunia yang harus dijalani-NYA. ALLAH tidak zalim, tetapi hamba-hamba-NYAlah yang menzalimi diri sendiri termasuklah dirinya. Astaghfirullahalazim, kolam hatinya ditujahi gerimis air mata taubat. Taubat nasuha, taubat yang sebenar-benarnya."Insya-ALLAH sayang, doa umi sentiasa ada buat kamu semua..."Kak Su terharu lalu mepeluk pinggang Puan Siti. Usapan tangan uminya sungguh lembut, bak sutera. Hatinya tenang dalam dakapan uminya.Ya ALLAH, terima kasih. ALHAMDULILLAH, Engkau masih mengurniakanku nikmat ibu. Izinkan aku merasa damai di sebalik tangan tuanya itu. Aku pendosa, Ya ALLAH. Jangan biarkan dosa-dosaku mengotori dirinya sehingga menyeretnya ke neraka kelak. Ampunilah dosa kedua-dua orang tuaku, Ya ALLAH. Limpahi mereka dengan rahmat dan kasih sayang-MU yang tidak terhingga. Astaghfirullahalazim.Biar beribu ungkapan istighfar dilafazkan, dirinya tetap tidak tenang. Kalam istighfar tetap dirintihnya kepada ALLAH selagi hayat dikandung badan. Dosa lalu sentiasa diratapnya, mana mungkin bisa luput daripada ingatannya."Umi, terima kasih sudi terima Su lagi."Puan Siti toleh ke sisi, diusap pipi anaknya. Masing-masing menyimpan sebak dalam hati. Kedua-dua wajah menguntum senyum."Su tetap anak umi, dunia dan akhirat..."

IZINKAN CINTA-MU YANG PERTAMAWhere stories live. Discover now