BAB 4

199 1 0
                                    

Memuja alpa, Memuja dosa...~Datin Norlya~PUKUL 9.00 malam, banglo milik keluarga Dato Yusri dan Datin Norlya masih 'suam-suam suku' dengan bahang panas. Tarian ala-ala disko semakin rancak, ruang tamu mereka persis pentas tarian yang bingit dengan muzik dan bergemerlapan dengan cahaya lampu di sini sana. Suasana riuh manusia lebih kuat kalau nak dibandingkan dengan keramaian para penonton pentas muzik yang bersorak saat kemunculan artis kesayangan mereka yang berada di atas pentas.Bahang panas tadi beralih pula pada skala kepanasan maksimum. Beberapa pemuda dan pemudi saling bercumbuan. Ilai tawa mereka riuh. Masing-masing lincah menari mengikut rentak muzik yang kian rancak kala malam berinjak ke pagi. Nun di sudut kanan, berhampiran pertengahan antara ruang tangga dan ruang tamu, seorang wanita begitu leka meneguk minuman keras. 'Anak ikannya' semakin berani menjalarkan tangan, meraba sesuka hati.Alex, pemuda kacukan Cina beranikan diri membelai 'kekasih gelapnya' agar wanita yang lebih tua 20 tahun daripada usianya itu rebah dalam permainan cintanya. Tawa mereka kian berpanjangan, mengilai-ilai bak orang yang tidak siuman. Sesekali Datin Norlya berbisik-bisik, Alex ketawa berdekah-dekah, terpaksalah dirinya melayan kerenah Datin Norlya."Busuk betul orang tua tu tau. Bilik I tu dah bau tahi..." Datin Norlya menghabiskan sisa tawanya. "You tak risau ke kalau dia dapat tahu hubungan kita ni?" soal Alex."Don't worrylah, sayang. Orang tua tu tak dapat buat apa-apa. Dia tu dah nak mampus. Nak angkat tangan pun tak larat, ini kan pula nak belasah kita. Hahaha..." Datin Norlya tertawa lagi, menghabiskan baki minuman kerasnya yang terakhir.Alex ikut ketawa. Bodohlah kau mak cik tua, kau ingat kau tu hot sangatlah, ya?! Aku gilakan duit kau, bukan kasih sayang kau. Eee, orang tua tak sedar diri!"I bukan apa... I kasihan kat you, sayang. Yalah, I risau kalau Dato dan anak lelaki you tu akan jadi penghalang untuk kita teruskan niat kita ni. I tak boleh hidup tanpa you, sayang. I love you so much..." ujar Alex. Geli geleman terasa apabila dia mengungkap ayat romantis itu! Kalau bukan kerana harta, dia takkan bazirkan air liur dan masa melayan kehendak Datin Norlya yang perasan muda itu. Memikirkan habuan yang bakal digilapnya, dia rela berkorban jiwa dan raga demi wang."I tahu, sayang. I love you too. Tunggulah. Sabar, ya? I akan jadi milik you juga suatu hari nanti...""Anak you Si Is tu apa cerita? Dah dekat tiga bulan tak ada khabar berita pun. You still trust him?" Alex mahu tukar topik."Is takkan bolot harta I, sayang. Bagilah I masa, I perlu cari dia. Syarikat Amilin akan tumbang kalau tak ada dia. I tak reti nak uruskan business ni. Dulu pun Dato dan Is yang usahakan. I goyang kaki aje kat rumah..." ujar Datin Norlya manja.Alex geram. Iskandar juga yang dicarinya. Macamlah aku ni tak berguna langsung. Apa yang susah sangat nak lantik aku gantikan tempat Iskandar? Isy, menyusahkan betullah orang tua ni, desis Alex dalam hati.Alex tersenyum ketat. "You tak nak I gantikan dia ke?""Bukan macam tu, sayang. I kenalah hormati Iskandar. Apa pun dia tetap anak kandung I, darah daging I. I takkan ketepikan dia. I'm sorry..." Datin Norlya memainkan watak gediknya, jari-jemarinya mengelus kolar baju Alex. Kepalanya sudah pening lalat, mabuk.Alex mengucup pipi Datin Norlya, terpaksa beralah. Dia berperangai ala-ala lelaki romantis dan penyayang demi memenangi hati Datin Norlya. Sesekali ekor matanya mengerling seseorang. Dia curi-curi pandang insan yang sedang memerhati dirinya sejak tadi. Gadis yang memakai gaun merah jambu melambai tangannya kepada Alex. Alex ikut melambai, tetapi dengan penuh berhati-hati. "I tunggu you dalam bilik tau, lepas aje Datin mabuk, you bawa dia masuk bilik lain. Selesai tugas you, datang ke bilik I, I nak jumpa you. Rindu..."Alex mengingati perbualannya dengan Anis siang tadi. Suara menggoda Anis, mengingatkan Alex tentang misi sebenar mereka. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi Anis, kekasih hatinya yang tersayang. Kerana Anis jugalah, dia sanggup memikat Datin Norlya, berpura-pura jatuh cinta. Semua itu demi kebahagiaannya dengan Anis."Anak lelaki I takkan jadi penghalang kita. Dia takkan berani apa-apa kan kita sayang. Dia hormat I. I kan ibunya..."Datin Norlya menyuakan minuman keras ke muncung bibir Alex. Alex terpaksa minum dari bekas minuman wanita tua itu. Geli-geleman dirinya saat meneguk air arak yang baru diambil Datin Norlya tadi. Gara-gara tamakkan duit, dia rela lakukan perkara sebegini. Malah, nyawa pun sanggup digadainya. Kedua-dua pasangan itu saling ketawa. Datin Norlya teruja dengan pacar mudanya, Alex pula sudah tidak sabar lagi bertemu dengan kekasih idamannya.Parti itu masih berlanjutan biarpun jam sudah bergerak ke angka 12 tengah malam. Alex biarkan Datin Norlya meneguk beberapa gelas yang berisi arak, mudahlah dirinya meloloskan diri. Anak matanya menjeling Anis, dua mata saling merenung antara satu sama lain. Senyuman Anis kian melebar, dia tahu mak saudaranya sudah masuk jerat."You mesti pikat mak saudara I, buat sampai berjaya. You boleh bolot harta orang tua tu lepas suaminya mampus. Tapi you kena kahwin dengan auntie I, you sanggup?"Alex teringat lagi perbualannya dengan Anis beberapa hari yang lalu. "I sanggup sayang, asalkan I masih bersama dengan you. I nak you bahagia dengan kemewahan yang akan I rampas tu..."Anis mengucup pipi Alex, tanda terima kasih yang tidak terhingga. "I akan pastikan you dapat hak you. Tentang abang saudara I tu, you jangan risau. I dah ada pelan baik punya..."Alex lemparkan senyuman kepada Anis yang sedang memerhati gelagat Datin Norlya dan dirinya. Kekasihnya memang bijak dalam merancang. Dia tidak sebijak Anis. Alex hanya pandai menjalankan watak, bukan perancang yang hebat seperti Anis. Segala-galanya dilakukan dengan penuh hati-hati. Tiada seorang pun yang mengesyaki Anis ketika Dato Yusri kemalangan jatuh tangga di rumah ini. Mereka ingat, Dato Yusri akan meninggal dunia, perancangan mereka ada cacat sedikit memandangkan Dato Yusri sekadar lumpuh separuh badan akibat kecederaan yang teruk di kepalanya.DATO YUSRI menangis, mengenang kejahilannya yang lalu. Dia gagal didik anak dan isteri ke jalan yang benar. Jalan yang dilalui mereka selami ini, bercabang-cabang. Bengkok dan gelap. Dato Yusri menyesal. Menyesal sungguh dirinya kerana melimpahi anak dan isteri dengan kemewahan.Apa boleh buat, nasi sudah jadi bubur. Saat tubuh badannya sudah tidak larat lagi melakukan rutin harian, barulah pintu keinsafan mula mengetuk hatinya untuk berubah. Semenjak dirinya lumpuh separuh badan, Dato Yusri tidak mampu berdiri untuk mengerjakan solat fardu. Hanya mampu duduk di atas kerusi rodanya. Dulu Dato Yusri selalu tinggalkan solat, tiba waktu rajin, dia solat. Bila malas sahaja, dia tak solat. Bab mengaji paling liat. Dulu dia hanya jadikan kitab al-Quran sebagai hiasan di rumah atau di pejabat. Itu pun sebab ada orang yang hadiahkan. Agaknya kalau tak ada yang beri, dia dan keluarga takkan kenal kitab suci itu."Ayifff... Baaa... Aaa..."Payahnya Dato Yusri menyebut huruf-huruf al-Quran. Suaranya pelat dan berterabur gara-gara sebelah wajahnya yang lumpuh. Nak buka mulut pun senget, apa lagi nak bercakap. Guru agama peribadi yang diupahnya, kadangkala garu kepala, berkerut kening memikirkan cara. Kesabaran si guru sungguh tinggi untuk mengajar orang tua sepertinya yang tidak mampu menyebut dengan sebutan yang betul. Rugi, memang masanya rugi. Waktu sihat lupa diri, waktu sakit baru ingat mati. Renungannya jauh. Mengenang si anak yang menghilang pula.Air mata Dato Yusri mula deras, hati pula memanggil nama si anak. Iskandar, ke manalah dia membawa diri? Merajuk sampai tak ingat dirinya lagi. Baliklah Is, papa minta maaf. Papa nak jumpa kamu sebelum papa hembuskan nafas papa yang terakhir, bicaranya dalam hati. Berharap anak yang menghilang, segera pulang."Ukkk... Hukkk..." Batuknya menjadi-jadi. Dada Dato Yusri berombak-ombak kala batuk menyerangnya lagi. Bunyi bising di bawah biliknya kian kuat kedengaran. Jantungnya bagai nak tercabut, hatinya pula menyirap. Geram betul dia dengan perangai si isteri yang derhaka."Saya bawa minuman dan ubat untuk Dato ni. Makan ubat dulu sebelum tidur, ya..."Dato Yusri segera angguk, tetapi agak payah oleh kerana kudratnya yang sangat lemah. Dia berusaha untuk bangun, bersandar ke hujung kepala katil. Tangan kanannya menggigil-gigil, tangan kiri pula tidak berfungsi. Lambat juga dia mengambil masa untuk bangun, disebabkan sebelah badannya yang tidak lumpuh itu tiada sokongan daripada anggota badannya yang lumpuh.Mah Mah suakan ubat ke tangan Dato Yusri. Usai telan ubat, Dato Yusri teguk pula air suam yang dihulurkan Mak Mah kepadanya. Dia tidak mampu pegang, hanya mampu gerakkan muncung bibirnya. Mak Mah yang mengerti keadaan majikannya tetap sempurnakan tugas sebaik yang mungkin. Gelas tadi diletakkan di atas dulang. Mak Mah letakkan dulang tadi di atas meja kecil berdekatan bilik air.Sambil menyelimuti Dato Yusri dari paras kaki hingga ke pinggang, dirinya bersuara, meluah rasa yang terpendam. "Mak Mah bukan nak menyibuk Dato, tapi hati ni macam kena siat. Hesy, sakit mata Mak Mah ni ha. Perangai Datin Norlya makin menjadi-jadi sejak Encik Is tak ada kat banglo ni. Dah banyak kali dia anjurkan parti haram tu, Dato. Mak Mah tengok dia orang semua tu sebiji macam monyet yang tak ada otak, terkinja-kinja. Bau arak tak usah nak cakaplah kan, pening kepala Mak Mah dengan baunya. Dato dengan Mak Mah tetap berdosa, walaupun tak terlibat sama..." adunya panjang-lebar.Derhakanya kau, No... Sampai hati kau jadikan rumah kita ni sarang maksiat, desis Dato Yusri dalam hati. Dato Yusri sakit hati mendengar aduan daripada Mak Mah. Mulutnya yang senget itu bersuara dalam kepayahan."Aaatttuuu... Aaatu... Aaang aaalah... Atuuu." Dato Yusri berusaha menyatakan kesalannya. Ayat 'aku yang bersalah' tidak mampu dituturkan dalam keadaan yang normal. Entah Mak Mah faham ke tak bicaranya. Air matanya tumpah.Memang aku yang bersalah, Mah. Aku yang salah didik. Memang padan muka aku. Ini semua balasan ALLAH. Dulu aku gunakan pinjaman yang diberi-NYA ke jalan maksiat. Sekarang ni Dia tarik sikit-sikit pinjaman-NYA. ALLAH, ampunkan aku, detik hati Dato Yusri kesal. Air matanya laju sahaja mengalir.Dahi Mak Mah berkerut, cuba memahami bicara si lumpuh yang bermulut herot-berot. Tetapi apakan daya, dirinya tidak mengerti bahasa orang lumpuh. Dia membuat andaian yang majikannya tengah marah dengan kelakuan isterinya.Kasihan Dato, dahlah anaknya tak balik-balik, ada isteri pula tak sedar diri. Berjimba sakan, berseronok dengan lelaki muda. Hesy, kalau aku jadi Dato, memang dah lama aku hilang sabar, bebel Mak Mah dalam hati."Sabar ajelah, Dato. Doa banyak-banyak. Mak Mah harap sangat Datin tu akan berubah baik. Kita nak cegah tak mampu, doa ajelah yang dapat kita buat, Dato," sambung Mak Mah. "Ha, baru Mak Mah ingat. Petang tadi Si Mail ada bagi tahu yang kawan Encik Is tahu Encik Is pergi mana. Kalau tak silap, dia cakap Encik Is ada kat Johor sekarang ni. Kita susah nak berhubung dengan Encik Is sebab dia matikan telefonnya. Harap-harap mereka dapat kesan kat mana dia tinggal sekarang ni kan, Dato.""Ihhh... Ihhh..."Mak Mah teka, majikannya berusaha menyebut perkataan Is. "Ya, Encik Is, Dato.""Uuuruh iiia atang iiini..." Dato Yusri terharu, beria-ia mahu mereka menyuruh Iskandar pulang bertemu dengannya.Mak Mah garu kepala. "Maaflah Dato, Mak Mah tak faham apa yang Dato cakap. Tapi Dato jangan risau lagi, ya? Mak Mah yakin kita dapat jumpa Encik Iskandar balik..." Mak Mah lemparkan senyuman, berharap berita yang disampaikannya tadi sedikit sebanyak menggembirakan hati si majikannya.Dato Yusri pejam matanya. Maafkan papa, Is. Kalau dari dulu lagi papa dengar cakap Is, keadaan takkan jadi teruk sampai macam ni, luah hatinya meratapi kehilangan anak tunggalnya."ALEX tak boleh dipercayai papa, jangan bagi dia jawatan yang penting dalam syarikat ni. Dia tu talam dua muka, kaki temberang. Is tahu dia ada hubungan dengan Anis. Is tahu niat jahat Mak Cik Juli dan Anis. Is dah lama perhatikan tindak-tanduk mereka. Mereka nak jatuhkan papa. Papa sedar tak?"Dato Yusri naik berang, pantas sahaja tangannya menepuk permukaan meja."Jangan nak fitnah orang, Is. Mereka tu ada kena-mengena dengan darah daging kamu. Mak Cik Juli tu adik papa, Anis tu anak saudara papa, sepupu kamu!"Iskandar naik hantu, jari-jemarinya digenggam sekuat hati. Sakit hatinya mengenangkan ayah kandung sendiri berpihak kepada musuh. Papanya menuduh pula dirinya memfitnah, makin sakitlah hatinya."Jangan suka sangat tuduh sembarangan, kalau bercakap tu kena tunjukkan bukti. Kamu tak boleh main tuduh-tuduh, tuding jari sesuka hati kamu!"Iskandar meramas-ramas rambutnya. Hatinya mendidih, rasa nak cabut rambutnya yang berserabai. Dia mati kutu dengan sikap sambil lewa papanya. Anis, anak Mak Cik Juli pernah gelapkan wang syarikat sebanyak sepuluh ribu ringgit. Dia tiada bukti, sebab itulah papanya masih sayangkan sepupunya yang pandai berpura-pura baik di hadapan papanya."Duit yang lesap tu memang bukan kerja orang luar, papa. Kerja orang terdekat juga. Siapa lagi kalau bukan Mak Cik Juli dan Anis tu? Mereka memang licik, jadikan Alex sebagai hamba suruhan, mereka pula lepas tangan. Itu baru jumlah sepuluh ribu yang kita detect, sebelum ni entah berapalah wang yang lesap dikebas mereka. Is tak tuduh, Is pernah nampak Anis dengan Alex, bukan main mesra lagi. Is yakin Alex orang yang sangat bahaya pada keluarga kita, pa. Kita kena buang dia secepat yang mungkin...""Sudahlah Is, papa tak nak dengar lagi. Jangan mengarutlah..."Iskandar berang. "Tolonglah jangan bagi muka dekat dia orang sangat, papa. Papa masih tak nampak lagi ke permainan mereka?""Berambus kau dari sini. Jangan kau berani datang ke pejabat ni lagi selagi kau tak basuh fikiran kotor kau dan selagi kau tak cuci karat dengki yang ada dalam hati kau tu!" tengkingnya.Iskandar senyum sinis. "Bagus papa, bagus. Papa bijak tapi sayangnya, orang yang sebijak papa ni boleh dipijak-pijak orang...""Get out!" Nada suara Dato Yusri kian tinggi. Dadanya terasa mencucuk. Dia menyandarkan belakang tubuhnya ke kerusi. Tangannya mencari-cari sesuatu. Laci meja ditariknya. Iskandar sudah hilang dari pandangan. Dirinya pula hilang kawalan, mungkin sakitnya menyerang. Jantungnya seakan-akan berhenti berdenyut. Tangannya kelam-kabut mencari ubat yang tersimpan di dalam laci meja pejabatnya. Namun belum sempat tangannya mencapai, dadanya mencucuk-cucuk. Dia jatuh dari kerusi dan..."IHHH annn aaar... Ihhh annn aaar..." Dato Yusri menangis. Mula meracau-racau memanggil nama anaknya. Mak Mah gelisah melihat keadaan Dato Yusri. Dia ke penyebab Dato Yusri melalak sakan? Memang salah dirinya juga. Siapa suruh mulutnya gatal bercerita perihal Encik Iskandar? Entah apalah yang ingin dikatakan Dato Yusri, Mak Mah jadi serba salah kalau Dato Yusri runsing."Dato, Mak Mah harap Dato sabar. ALLAH uji sebab sayang kita. Banyakkan doa, Dato. Insya-ALLAH, segala-galanya akan baik-baik aje..." pujuknya."Aaauuu aakk ihh ann arrr..." ujar Dato Yusri. Dia sangat rindukan Iskandar. Kalau boleh, sekarang juga dia mahu berangkat ke Johor, mencari anaknya."Errr... Mak Mah keluar dulu ya, Dato. Dato tidurlah, jangan difikirkan sangat masalah tu. Tiap-tiap masalah, pasti ada jalan penyelesaiannya. Kan, Dato?" ujar Mak Mah.Dato Yusri senyap. Matanya merenung ke arah pintu masuk bilik. Saban hari, dia menunggu tangan insan yang dirinduinya akan membuka pintu bilik, lalu masuk menemuinya. Dadanya sebak, masih merindui Iskandar."Insya-ALLAH, subuh nanti Mak Mah kejutkan Dato solat subuh. Rehat ya, Dato. Maafkan Mak Mah kalau ada buat Dato bersedih..."Mak Mah angkat kaki, sebelum dia menutup suis lampu, kepalanya menoleh ke belakang. Sayu hatinya mengenang nasib Dato Yusri. Dalam sekelip mata sahaja ALLAH tarik nikmatnya. Dari boleh berjalan ke sana sini, Dato Yusri hanya mampu terlantar di atas katil sehingga kini. Hanya kerusi roda yang mampu meringankan sedikit penderitaan Dato Yusri seandainya majikannya itu mahu ke bilik air atau mandi. Selebihnya, dialah yang akan sediakan apa yang patut buat Dato Yusri. Mak Mah kesal, isteri Dato Yusri pula lepaskan tanggungjawab menjaga suami kepadanya. Dia simpati dengan nasib Dato Yusri yang beristerikan wanita seperti Datin Norlya yang tidak punya hati perut.MATAKU agak sembab. Sejak akhir-akhir ini, air mataku mudah sangat tumpah. Kadang aku menangis dalam diam tatkala malam menjelang. Waktu yang paling sukar bagiku adalah waktu aku nak lelapkan mata. Ada sahaja yang datang mengganggu fikiranku, membuatkan hatiku sebak. Kakiku melangkah perlahan-lahan menuju ke kelas. Mujurlah aku masih ada anak-anak murid yang comel-comel. Boleh jugalah aku menumpang rasa gembira. Memandang sahaja wajah kanak-kanak, memang boleh buat hati jatuh suka. Aku tenang dan selesa dengan kanak-kanak. Aku mengajar kelas Kafa pada waktu petang, selepas zohor. Masa inilah aku dapat campak ke tepi segala masalah yang mengganggu fikiranku. Sekejap pun tak apalah, asalkan aku dapat memeluk rasa damai dalam jiwa.Aku mengajar di sekolah agama rakyat yang berdekatan dengan Masjid Al-Hikmah. Sejak aku tamat persekolahan, aku ditawarkan untuk mengajar di sini. Kawan abi aku yang berusaha masukkan aku ke sekolah ini. Setelah sekian lama, aku semakin jatuh sayang."Assalamualaikum, ustazah. Tak sihat ke? Tak bermaya aje saya tengok."Aku tergamam namun sempat aku jawab salam dalam hati, lamunanku terus melayang. Kehadiran Ustaz Syazli Shah melahirkan rasa maluku. Mesti dia sudah lama perhatikan gelagat aku tadi. Guru muda yang gemar menegurku ini, dikurniakan wajah oleh ALLAH persis macam muka Ustaz Don, pendakwah terkemuka yang selalu muncul di televisyen. Aku tahu Ustaz Syazli Shah mahu mengenaliku dengan lebih rapat. Aku sahaja yang buat-buat tak tahu selama ini. Entahlah, aku minat nak tengok mukanya yang macam Ustaz Don, bukan minat dengan dirinya."Sakit ke ni?" soalnya lagi. Ustaz Syazli Shah masih tidak berputus asa biarpun aku tidak jawab pertanyaannya tadi."Tak jawab pun salam saya tadi..." usiknya sambil tersenyum.Isy, aku jawab dalam hatilah! bentak hatiku, tidak mahu mengalah namun aku jawab juga salamnya, mahu memuaskan hatinya. "Waalaikumussalam..." jawabku dingin.Ustaz Syazli Shah tersengih-sengih. "Ustazah tengah sakit ke ni?" Dia menyoal dengan soalan yang sama macam tadi, tetapi lain sedikit susunan ayatnya."Haah, tak sihat sikit..." jawabku acuh tak acuh. Terpaksalah aku beri respon memandangkan dia benar-benar mahu tahu. Takkanlah aku nak cerita perihal masalah aku sampai wajahku hilang seri? Dia bukan sesiapa pun, sekadar teman yang sama bidang denganku."Laaa... Ya ke ni? Kenapa tak rehat kat rumah aje kalau dah tahu diri tu tak sihat? Jangan paksa diri, ustazah."Ustaz Syazli Shah sudah biasa dengan perangai aku yang dingin macam ais, beku macam patung. Yang peliknya, dia masih tidak serik menyapaku walaupun tahu aku tak berapa nak peramah dengannya. Kalau aku ada keberanian, mahu sahaja aku ubah suara hati tadi menjadi peti suara mulutku. Barulah si kembar Ustaz Don tahu yang aku tidak gemar melayan lelaki yang bukan mahram untukku. Setakat ni, hanya Abang Haiqal dan Akhi Amir sahaja yang pernah rapat denganku, itu pun dengan bantuan orang tengah. "Demam ke?""Tak.""Habis tu? Pening kepala?""Tak.""Cirit-birit ke?"Astaghfirullahalazim, Ya ALLAH, sabarkanlah hatiku! Heh, ada juga yang kena baling dengan kasut dengan aku kejap lagi ni! Sabar Nur, sabar! Huh...Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba kawal ton suara yang hampir nak meninggi. "Saya sakit dada, sakit hati. Dalam badan saya macam panas aje ni..." ujarku. Entah dia faham ke tak bahasa kiasan aku tadi. Aku sahaja yang memahami bahasa perlianku sedangkan dirinya nampak tenang sahaja. Sebenarnya aku tengah rimas sebab Ustaz Syazli Shah menjadi wartawan tidak bertauliah, bertanya itu ini kepadaku."Awak letih, kan?" ujarnya.Aduh, ke situ pula dia! Memang sah dia tak faham apa yang ingin aku sampaikan tadi. Aku malas nak layan, angguk dan setuju sahaja."Awak ada penyakit asma ke?" Aku lihat wajahnya berubah cemas. Maaflah ustaz, aku terpaksa tipu."Tak, saya rasa lemah aje tadi. Mungkin penat agaknya..." dalihku.Barulah wajahnya berubah tenang semula. Hurm, kasihan pula aku tengok dia yang bagaikan ayam berak kapur."Saya masuk kelas dulu ya, ustaz. Maaf, assalamualaikum." Aku bergegas pergi, langkahku agak laju. Mahu segera lari daripadanya."Waalaikumussalam," jawab Ustaz Syazli Shah. Bagi Ustaz Syazli Shah, Nur Syahadah begitu misteri, sukar dibaca isi hatinya. Bertahun-tahun juga dia cuba ambil hati, sudahnya dia pula yang makan hati. Nasib badan, orang tak sudi takkanlah dia pula nak menonjol diri. Kalau ada jodoh adalah, kalau tak berjodoh pun dia tak hairan.

IZINKAN CINTA-MU YANG PERTAMAWhere stories live. Discover now