PAGI itu ,Prebet Azam yang bertugas di sebuah kem di Sungai Buloh, Selangor mendapat kiriman mesej menerusi telefon bimbit yang nampak usuh.
Rupanya mesej tersebut daripada kakaknya.
Mesej itu berbunyi:
"Zam... ayah tenat di kampung. Kau minta la cuti, balik segera!"
Azam yang kebetulan berada di tempat kerjanya terus memohon cuti kecemasan dan ia diluluskan bosnya.
"Mintak-mintak la semua okay".
Dalam hatinya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bimbangnya Azam akan keadaan bapa yang sudah lama menghidap komplikasi buah pinggang.
Dia bertolak pulang menaiki bas dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang dan tiba di Hentian Bas stesen Kamunting, Taiping kira-kira pukul 9.30 malam.
Semuanya berlancar, sehingga dia sedar bahawa bas terakhir untuk ke bandar itu ialah pukul 7.30 malam.
Bas dari Kamunting untuk ke kampung Azam di Kubu Gajah, Selama Perak sudah tiada kerana dia tiba pada malam hari.
Hati Azam resah, jarak antara Kamunting ke Kubu Gajah bukannya dekat, memakan masa sejam, jarak kira-kira 40 kilometer.
"Ayah semakin tenat, takkan aku nak duduk di stesen bas ni sampai pagi esok? Macam mana sekali pun aku kena balik malam ni juga," bisik hati Azam.