Maka kenderaan jenis Proton Wira dipandu pakcik tersebut bergeraklah menuju ke destinasi seperti dijanjikan.
Setiba di Pondok Tanjung, akhirnya pakcik tadi memberhentikan keretanya.
"Sampai di sini sajalah Azam pakcik hantar seperti kita janjikan tadi ya. Harap-harap Azam selamat sampai di kampung. Kalau kebetulan ada kereta lalu, cuba la tahan... Boleh tumpang," kata si pakcik.
Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam. Jarak antara lokasi Azam turun dari kenderaan ditumpang menuju ke kampungnya kira-kira 15 kilometer. Masih jauh lagi.
Dalam keadaan pekat malam yang hanya ditemani sinaran cahaya bulan, Azam terus mengatur langkah berjalan membelah hutan simpan Pondok Tanjung yang selama ini dikaitkan dengan pelbagai kisah-kisah seram pada waktu malam.
Antaranya ada orang pernah melihat gajah sebesar treler melintas, harimau berjalan bersama anak dan orang mengusung keranda seperti membawa jenazah untuk pengebumian.
Selain itu kerap juga berlaku kemalangan di satu selekoh apabila pemandu tidak sempat membelok kenderaan lalu terbabas dan kereta terjunam dalam denai hutan itu.
Pada malam itu kisah-kisah seram yang masih tersimpan dalam memorinya subur kembali.
Selepas kira-kira setengah jam berjalan bersama beg pakaian yang digalas, tiba-tiba terdengar desiran angin seolah-olah menceritakan sesuatu kepada Azam.
Tanpa menoleh ke belakang, Azam hanya berdoa agar dijauhilah daripada musibah termasuk jika ada haiwan-haiwan buas di hutan itu.
Di depannya kira-kira 15 meter, kelihatan kelibat seorang ibu berjalan berpimpin tangan anaknya.