Di depannya kira-kira 15 meter, kelihatan kelibat seorang ibu berjalan berpimpin tangan anaknya.
Semakin dekat Azam menghampiri, semakin perlahan mereka mengatur langkah. Dalam hati, Azam berkata mustahil pada malam sebegitu ada ibu berjalan dengan anak seorang diri. Ia tentunya bukan manusia.
Azam terus berjalan melintasi 'ibu dan anak' tanpa mempedulikan mereka dan tidak lama kemudian ketika menoleh ke belakang, tidak kelihatan lagi kelibat mereka itu.
Dalam keadaan hati semakin berdebar, pegangan Azam hayalah dua iaitu memohon bantuan Allah selain agar cepat sampai di kampung.
Tatkala mahu melintasi kawasan anak sungai pula, Azam terdengar bunyi beberapa wanita ketawa seolah-olah ada pesta di bawah jambatan.
Tiba di kawasan itu, Azam melihat tiga wanita sedang mandi-manda dengan hanya kepala mereka sahaja kelihatan pada permukaan air.
Namun itu pun hanya samar-samar bawah pancaran bulan purnama.
Dia melihat wanita-wanita itu melambai dan kali ini hanya tangan sahaja muncul dari dalam sungai seperti mahu memanggilnya untuk mengajak mandi bersama.
Ia mungkin satu godaan dan jika dia menurut permintaan itu, mungkin dia akan menjadi mangsa lemas sungai berkenaan.
Justeru, kaki Azam semakin laju melangkah dan dalam masa sama hatinya terus berbisik, apa lagi ujian yang akan dia tempuh?
Ketika hatinya berkata-kata, tiba-tiba dia terdengar suara mendayu-dayu dari hutan rimba dengan keadaan pohon-pohon turut bergoyang.
"Huu... huuu... huuuuuu," seperti orang meniup angin.