Tepat pukul 10.00 malam Malek Bach masuk ke dalam bilik anaknya. Dia membawa satu beg hitam yang agak besar lalu diletakkan di atas meja belajar. Salim Bach duduk di kerusi. Dia tahu ayahnya akan berterus terang mengenai sejarah silam keluarga mereka. Beg hitam itu dibuka. Beberapa keping gambar lama dikeluarkan lalu disusun di atas meja. Salim Bach mengamati gambar lama tersebut. Ada yang hitam putih dan ada yang berwarna. Ada gambar hitam putih yang sudah terlalu usang. Gambar seorang lelaki berpakaian seperti orang istana dan memegang sebilah keris panjang. Dia melihat ada cincin besar yang dipakai Tok Aki di jari manis lelaki tersebut.
"Ini moyang kamu. Dato Haji Alias Pawang Diraja. Berkhidmat dengan Tuanku sultan sebelum perang dunia kedua. Lebih tepat awal 1900. Mati pada zaman sebelum perang Jepun akibat berlawan dengan kuasa hitam di sebuah hutan. Kamu kenal cincin ini?" soal Malek Bach lalu tangan telunjuknya menekap di gambar di mana cincin dipakai.
Salim Bach mengangguk. Itulah cincin dipakai Tok Aki.
"Cincin ini kata Tok Aki kamu ada kuasa. Kuasa yang membolehkan kita masuk ke dunia mereka. Cari mereka yang menganggu manusia dan halau. Atau bunuh. Kau percaya manusia boleh bunuh hantu?" soal Malek Bach lagi cuba mempengaruhi anaknya.
Salim Bach hanya memberi isyarat tidak tahu. Dia perlu mendengar cerita ayahnya dengan lebih lanjut.
"Cincin ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Katanya dari zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi moyang kita sudah ada kuasa ini. Hasil bertapa dan ada orang alim memberikan cincin ini. Cincin ini diperbuat daripada batu delima biru dicampur batu tahi bintang atau batu meteor. Kita adalah keturunan terpilih. Sebab keluarga kita darah asli maka cincin ini anak cucu yang kena ambil," jelas Malek Bach.
Salim Bach menatap gambar yang dia kenal. Gambar Tok Aki yang memegang keris dan memakai cincin yang sama. Tok Aki pada mudanya bergambar dengan ayahnya sewaktu kecil.
"Itu ayah masa umur 10 tahun," jelas Malek Bach.
"Kenapa ayah lari ke England dan buang Tok Aki?" soal Salim Bach.
Malek Bach melepaskan keluhannya. Diam terdiam seketika.
"Sebab ramai keturunan keluarga kita yang mati hendak mempertahankan cincin tu. Termasuklah arwah nenek. Mati akibat dendam makhluk tersebut. Nenek mati untuk mempertahankan ayah. Mati di depan mata ayah. Celaka makhluk harimau jadian tu. Bunuh nenek tanpa belas kasihan.
Walaupun Tok Aki kamu sampai di rumah dan berjaya tewaskan harimau jadian tu, tapi segalanya telah terlewat. Emak sudah meninggal dunia. Tapi tidak ada sekelumit rasa kesal atau tangisan kedengaran dari Tok Aki. Malah dia paksa ayah jangan lanjutkan pelajaran. Kuasai ilmu dan cincin milik dia! Dialah punca kenapa nenek kamu meninggal dunia. Dialah punca !" marah Malek Bach.
Salim Bach mengangguk faham. Patutlah ayahnya membuat keputusan sebegitu. Mungkin kecewa dengan sikap Tok Aki. Mungkin beranggapan neneknya terbunuh disebabkan oleh Tok Aki.
"Sebab itulah ayah ambil keputusan lari dari England. Ayah tidak mahu lagi ada yang terkorban. Ayah ambil wang emas dari peti besi Tok Aki. Kemudian ayah minta bantuan keluarga kawan ayah yang menetap di England. Ayah terpaksa buang nama keluarga ayah. Ayah takut ayah diburu. Setiap hari ayah berada dalam ketakutan sebab takut diburu oleh makhluk dari dunia lain yang berdendam dengan Tok Aki.
Tapi setahun awal ayah di England Tok Aki kamu tidak pernah mencari ayah! Kononnya dia ada ilmu untuk mencari dan memburu makhluk itu tapi dia tidak tahu di mana ayah berada! Dia sibuk dengan dunianya. Bagaimana dia sibuk hingga menyebabkan nenek terkorban! Dia lebih pentingkan kerjanya berbanding dengan keluarga. Sebab itu ayah nekad tidak mahu kembali ke Malaysia. Lantaklah apa yang terjadi! Dan ayah bersumpah tidak mahu keturunan selepas ayah mewarisi cincin karut tu!" marah Malek Bach lagi.
YOU ARE READING
Sakti
Horror"Hanya yang berdarah asli sahaja dapat mewarisi cincin yang membuka dunia terhijab"