Bab 1 - Bekas suami nak kahwin?

91 0 0
                                    

BELINA berlari-lari anak sebaik sahaja sepasang mata bundarnya terlihat premis Famous Amos di hadapan. Bella Amira tidak mampu menahan anak perempuannya dari terus berlari laju. Sejak dari atas kapal terbang lagi Belina sudah merungut lapar. Nak makan lollipoplah, kentang Pringleslah dan juga biskut almond Famous Amos. Nah, kini semuanya sudah terbentang di hadapan mata! Di Lapangan Terbang KLIA 2 ini, ada pelbagai jenis premis yang menjual coklat dan gula-gula berjenama mewah. Bagaikan syurga buat kanak-kanak seusia Belina.

Riza, adik kepada Belina hanya melihat kakaknya dengan wajah masam mencuka. Tidak keriangan seperti selalu. Badannya agak panas dan dia lebih suka bermanja dengan Bella sahaja. Mereka berdua akhirnya duduk di salah sebuah kerusi menunggu di balai ketibaan. Dalam pada itu, mata Bella tak lepas dari mengamati Belina yang sibuk memilih jenis biskut kegemarannya di Famous Amos.

"Riza tak nak ikut kakak beli biskut?" Bella sekadar bertanya. Kelakuan Riza yang kurang bercakap itu membuatkan dia sedikit susah hati.

"Tak nak." Riza menggeleng. Matanya yang sedikit berair digosok-gosok dan jaket kelabu yang ditarik menyelemuti badan.

"Nak minum air?" Bella bertanya lagi. Rambut Riza diusap-usap lembut.

"Papa lambat lagi ke mama?"

Soalan Bella dibalas dengan pertanyaan yang menderaukan darah di dadanya. Papa? Sayang betul Riza dengan papa ya!

"Kejap lagi dia sampailah. Jammed agaknya. Mama dah text dia tadi, beritahu yang kita dah sampai," jawab Bella memujuk. Matanya kini beralih pada Belina yang tercungap-cungap berlari ke arah mereka dengan sepaket biskut di tangan.

"Riza rindu papalah, mama. Seminggu kita kat Australia. Papa jarang-jarang telefon. Kenapa papa tak ikut kita sekali, mama?" tanya Riza dengan bijaknya.

Tak sempat Bella membuka mulut untuk membalas, Belina terlebih dahulu menjawab pertanyaan Riza. "Papa mana boleh ikut kita! Kan papa dah tinggal rumah lain. Lagipun papa cakap dia sibuk... kerja kat office banyak. Kan mama?"

Bella menghela nafas panjang. Dahinya berkerut. Iyalah papa tu sibuk dengan kerja. Budak-budak ni bukan tahu yang papa dia orang tu....

"Belle! Riza! Belina!" Panggilan kuat dari jarak sepuluh kaki di hadapan mereka membuatkan Bella Amira tersentak. Dia pantas menekup mulut. Matanya dipicing tajam pada susuk tubuh berbadan tegap dan berambut kemas berbelah tepi. Baru aje cakap pasal dia. Dah sampai! Panjang umur betul.

Belina dan Riza berlari laju ke arah lelaki itu tanpa mengendahkan Bella yang masih terpaku di kerusi. Lelaki itu didakap kedua-dua orang adik beradik ini dengan erat. Riza yang lemah tadipun terbang segala demam yang menjangkitinya apabila didukung lelaki tersebut.

"Ma! Cepatlah mama!" Belina menggamit pada Bella yang masih tidak bergerak-gerak.

Dengan hati yang berat, Bella menarik dua beg besar yang tersandar pada kerusi menuju ke arah lelaki tersebut. Hatinya bagaikan tertusuk dengan duri apabila melihat senyuman si lelaki yang seakan-akan mengejeknya dari jauh.

"Lambat awak sampai!" Bella menjeling tajam. Kedua-dua beg di tangannya diserahkan kepada lelaki itu.

"Ah... tadi jammed kat LDP. Lepas tu saya kena ambil Kay dari rumah dia dan bawa dia terus ke rumah mak. Takut nanti lambat pulak nak ambil dia kalau saya ambil awak dan anak-anak dulu," jawab lelaki itu sambil tergaru-garu kepalanya. Pandangan tajam Bella membuatkan dia gelabah. Nanti mesti dia jadi bahan gossip Kak Long apabila Bella bertemu dengan kakaknya di rumah nanti.

"Kay? Nama dia Kay?" Bella menarik tangan anak-anaknya dan mula berjalan ke hadapan. Langkahnya laju dari biasa.

"Ya, nama dia Kay. Kaylina. I hope the kids like her," jawab lelaki itu tersenyum macho.

"Rizqi, I hope you choose the right stepmother for your children." Bella menjawab sinis. Bukan kerana dia cemburu tetapi dia kurang suka jikalau anak-anaknya mempunyai ibu tiri. Bella masih dibayangi klise tipikal di mana ibu tiri suka mendera anak-anak tiri mereka.

"She's good Belle, percayalah cakap saya. Awak takut dia nak dera anak-anak kita ke... ataupun awak sebenarnya...." Rizqi memberhentikan kata-katanya dengan helaan nafas kecil. Dia membiarkan Bella menyambung pernyataannya sendiri.

"Oh pleaselah!" Bella menjeling tajam. Riza yang mula meronta-ronta mahu dilepaskan tangannya itu dicempung dukung. "Kita dah berpisah lebih dari dua tahun. Saya tak kisah kalau awak nak berkahwin dengan sesiapapun. Bukan masalah saya... Tapi, saya paling pantang kalau ada orang lain yang nak mengajar anak saya. Belina dan Riza ni kecil-kecil lagi. Bukannya faham apa-apa."

Rizqi ketawa kecil apabila mendengar bicara Bella. Iyalah tak cemburu! Sepanjang dua tahun mereka bercerai, Bella langsung tidak pernah menegurnya dengan baik. Perpisahan antara mereka berduapun atas permintaan Bella sendiri.

Rizqi merasakan Bella laksana 'queen control' yang menetapkan segala peraturan di dalam rumah sehinggakan dia merasa tercekik dengan kehidupannya yang kurang kebebasan. Demi menamatkan perang dingin berbulan-bulan di antara mereka, jalan penceraian diambil. Perkahwinan yang dahulunya mahal itu sudah menjadi murah apabila masing-masing mula memahalkan ego diri.

Bicara Bella Amira tidak bersambut jawapan sehinggalah mereka berempat menempati Toyota Corolla milik Rizqi.

"Kita terus ke rumah mak. Lepas makan malam, saya hantar awak dengan anak-anak balik," ujar Rizqi.

"Terus ke rumah mak?" Bella tidak bersetuju. Nada suaranya ditekan tanda protes. "Saya nak tukar baju. Melekit dah satu hari atas flight. Anak-anak pun nak kena mandi dan rehat sekejap."

"Alah... kat rumah mak, kan boleh. Lagipun saya tahu... kalau saya hantar awak dan anak-anak, malam nanti mesti awak tak nak join, kan?" Rizqi sudah sedia dengan pelan B. Dia memang teringin sangat memperkenalkan Kay kepada anak-anaknya. Dan dia juga awal-awal lagi sudah dapat menelah, Bella akan buat apa sahaja cara untuk membatalkan keinginannya.

"Saya joinlah. Siapa kata saya tak join? Lagipun sekarang baru pukul empat. Ada lagi empat jam. Saya naklah juga rehat-rehat kat rumah. Ini tak, terus ke rumah mak. Macam beriya-iya je nak jumpa dengan...." Bella sengaja menoktahkan kata-katanya di situ. Bibirnya diciut-ciut sambil matanya membuang pandang pada luar tingkap kereta.

Rizqi hanya diam seribu bahasa. Makin lama, makin malas dia melayan sikap sentap Bella. Nasib baiklah dia bertemu dengan Kay. Gadis tinggi lampai dan berwajah ala-ala gadis Cina itu. Kay tak banyak bicara dan hanya reti senyum saja. Baru berumur 25 tahun. Sepuluh tahun lebih muda dari Bella. Orangnya juga tenang dan pandai mengambil hati Rizqi. Bukan macam Bella Amira, 24 jam asyik merungut saja!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 03, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Jangan Percaya!Where stories live. Discover now