BARD terduduk sebaik sahaja terdengar pintu apartmennya diketuk kuat dari luar. Wajah berkerut, untuk seketika lelaki itu meramas pelipis kepala. Cuba mengurangkan rasa sakit yang menekan di dalam sana. Sempat Bard mengerling jam dinding yang tergantung di ruang tamu kecil itu. 11.45 malam. Dari jam dinding, pandangan dihala ke arah pintu semula. Ketukan kuat itu semakin kuat. Tidak berhenti. Namun tiada suara sesiapa memberi salam atau memanggilnya.
Rasa pusing, pening dan sakit mulai bermain di sekitar mata. Bard pejam mata rapat-rapat sebelum menggagahkan diri bangun dari sofa dan menuju ke pintu.
Terdetik rasa kurang enak di dalam benak memikirkan siapa yang menanti di luar sana? Pada waktu-waktu begini. Tak mungkin teman serumahnya, Adli. Adli ke Jepun seminggu dua. Dan baru bertolak semalam. Lagipun, Adli memiliki kunci rumah sendiri. Pasti, di luar bukan Adli.
Kalau Adli sekalipun, teman serumahnya itu pasti melaung namanya sehingga seluruh penghuni apartmen ini membuka pintu masing-masing.
Atau mungkin, Zuzu? Rasanya tak mungkin juga. Zuzu baru sahaja datang dan pulang sekitar jam 8:30 malam tadi. Mendesak Bard untuk bertemu setelah Bard menyekat segala panggilan, mesej dan apa sahaja aplikasi media sosial yang dapat menghubungkan mereka.
Kononnya hendak berbincang hati ke hati. Bersumpah janji tidak mengulangi lagi kesilapan yang entah sudah berapa puluh kali diulangi tanpa rasa kesal dan bersalah.
Give up! Ya. Kali ini Bard benar-benar putus asa. Bukan sehari dua hubungan percintaan mereka diserang amukan gelora. Dan bukan semudah itu dia menyerah. Tapi dah hampir tujuh tahun lamanya. Dah tujuh tahun dia bertahan dan bersabar dengan Zuzu. Tujuh tahun dia memberi ruang dan peluang. Tujuh tahun dia mencintai dan menelan segala kecurangan Zuzu.
Namun gadis itu jangan kata hendak menyesal, malah mengulanginya dengan lebih berani. Kali ini, Bard dapat tahu Zuzu memadu asmara dengan suami orang pula. Bila agenda selingkuh itu terbongkar dan sampai ke pengetahuan Bard, Zuzu segera datang, menangis, memohon maaf. Kononnya dia tak sengaja dan tidak sedar apa yang telah dia lakukan.
Sampai bila?
Kalau pertama kali, mungkin kesilapan. Tapi untuk kali kedua, itu bukan lagi satu kesilapan, tapi kebodohan!
Dan entah mengapa selama ini Bard mampu bersabar sehingga tahap langit ke tujuh. Meskipun dia tahu kata maaf dari gadis itu setakat di bibir, Bard tetap maafkan, menerima dan membuang segala momen hitam itu dari fikiran. Rakan-rakan terdekat yang mengenali dan mengetahui gejolak yang melanda hubungan mereka juga berasa hairan dengan ketulusan dan kelurusan Bard.
"Sorry to say... Kalau aku jadi kau, lama dah aku tinggal perempuan ni, Bard." Itu kata Fadzli.
"Hang jangan jadi bodohlah Bard. Marka hang pi tidoq dengan jantan dekat hotel pun hang boleh dok maaf lagi naa? Aku tak pahamlah hang ni wei!" Itu pula kata Taufek.
"Lawaklah hang ni Bard. Baru last week hang kata hang dah putuih dengan Zuzu pasai betina tu kantoi keluaq dengan jantan lain. Minggu ni hang mai hang habaq hang dah berbaik dengan dia. Gila hang ni Bard. Aku rasa hang kena pi mandi ayaq bunga." Dan ini pula kata Apit.
Entah. Ada kala, Bard sendiri tidak faham dengan dirinya sendiri. Kenapa dia masih memaafkan? Kenapa dia masih memberi peluang? Kenapa dia masih sayang?
Mungkin kerana itu prinsipnya. Setia. Namun, setia yang terlalu, sehingga dia jadi bodoh dan buta. Malah, jadi hamba kepada cinta milik Zuzu.
Dan perkara terakhir yang menjadi punca pertengkaran mereka kali ini membuatkan Bard mulai membuka mata. Curang, berdusta dan biadab kepadanya, Bard masih boleh terima. Tapi apabila Zuzu mulai hilang hormat kepada wanita yang melahirkannya, kesabaran Bard mulai berserakan. Muktamad, tak ada lagi ruang untuk Zuzu.
YOU ARE READING
MY BABY BOO
RomanceMY BABY BOO (TELAH DITERBITKAN) UNTUK TEMPAHAN : WHATSAPP 011 1131 9300