Suasana di balai singgahsana Istana Uruk walaupun diterangi cahaya, kelihatan kelam di mata Permaisuri Nizanyeh. Dia yang duduk di sisi Raja Shakari Ul Baar, di kelilingi oleh beratus-ratus pengawal istana, dayang-dayang dan hamba suruhan yang lain, semenjak saat terbenamnya matahari.
Permaisuri Nizanyeh masih belum jelas untuk apa mereka semua harus berkumpul begini. Tetapi melihatkan Biltizar sejak siang tadi yang sibuk mengarahkan seluruh isi istana untuk terus berkumpul di balai singgahsana, dengan segala macam protokol ketat yang harus dipatuhi, firasatnya yakin yang ini semua ada kaitan dengan urusan pernikahan suaminya dengan makhluk ghaib yang dipanggil Tuttunkhannuk itu.
Apa lagi urusan lain yang akan jadi sepenting dan sebesar itu, sehingga membabitkan kehadiran seluruh isi istana sebegini rupa?
Raja Shakari Ul Baar juga tetap mengunci mulut sejak beberapa hari yang lalu dan Nizanyeh sendiri sebagai permaisuri tidak punya pilihan, selain pasrah menyerahkan takdir hidupnya untuk ditentukan oleh suaminya sebagi seorang raja.
Diikutkan hati, dia ingin lari jauh dari istana dan kerajaan Uruk ini. Tapi ke mana dia harus pergi dengan keadaannya yang sekarang sudah sarat hamil begini?
Dia juga tidak sampai hati untuk meninggalkan ketiga-tiga puteri yang juga darah dagingnya sendiri di dalam istana kerajaan Uruk ini. Dengan sikap suaminya sebagai seorang raja zalim yang pernah membunuh ahli keluarganya sendiri demi merebutkan tahta, dia sendiri tidak terkejut sekiranya zuriat mereka sendiri menerima nasib yang sama di kemudian hari.
Pernafasannya dikawal dengan tenang. Kelakuannya harus dijaga pada seluruh isi istana, walaupun apa yang sedang berlaku di sini ini, terang-terangan ini adalah satu penghinaan buatnya.
Airmatanya sudah kering untuk menangisi nasibnya sekarang. Walaupun harapannya kini kelihatannya sudah putus, dia harus percaya kuasa Tuhan untuk menyelamatkan nasibnya.
Lamunan Permaisuri Nizanyeh terganggu apabila Biltizar, si tukang sihir istana itu mulutnya semakin kuat membaca mantera dengan sebuah bekas kemenyan yang dijulang tinggi di atas kepalanya, membelakanginya dan Raja Shakari Ul Baar di hadapan.
Kebenciannya pada si tukang sihir ini juga membuatkan setitis airmatanya berlinangan di pipi.
Iblis inilah yang menjadi penghasut pada suaminya untuk mempersekutukan Tuhan selama ini. Apa saja yang dikatakan Biltizar akan dituruti bulat-bulat oleh suaminya.
Dan semakin jelas mulut Biltizar membaca mantera di cuping telinga Permaisuri Nizanyeh, semakin tebal juga kepulan asap hitam dari bekas kemenyan di tangannya ke udara.
Dia tidak mahu untuk terus melihat wajah Biltizar dan mencuri pandang pada wajah Raja Shakari Ul Baar untuk sesaat dua.
Suaminya itu tidak sedikit menyedari akan sorot matanya, malah lebih kusyuk menumpukan seluruh perhatiannya pada Biltizar.
Namun perhatiannya pada sang suami terganggu apabila dia menyedari ada sehelai kain putih yang sedang melayang di udara, dengan jarak yang agak jauh di atas kepalanya. Dan pada masa yang sama, suhu di sekitar di singgahsana istana itu turun.
Mungkin apa yang sedang diseru Biltizar itu sudah memunculkan dirinya.
Untuk beberapa kali dia menoleh pada orang lain yang ada di situ, tertanya-tanya jika ada dari kalangan mereka juga melihat apa yang sedang dilihatnya.
Sepertinya tiada siapa yang perasan.
Adalah mustahil jika tiada sesiapa yang melihat kain putih panjang yang sedang melayang dan melingkar tinggi di udara, seperti seekor ular.
![](https://img.wattpad.com/cover/167827344-288-k589412.jpg)
YOU ARE READING
BAAR (Siri Keempat INFINIT)
Vampirgeschichten'Darah milik kamu dan dia saling menolak, tetapi kamu vampira dan kesan sakitnya hanya akan dirasai Amirul Azzim seorang. Phoenix, apa kamu masih ingat, yang kamu berdua telah diramalkan oleh Ariath dan Hapseseth sebagai Infinit dan Definit yang aka...