PROLOG; SHAKARI UL BAAR DAN TUTTUNKHANNUK
Di sebuah gurun yang gersang pada waktu malam. Seorang lelaki bersendirian duduk bersila dengan bahagian atas tubuhnya bersujud ke tanah.
Bulan purnama sedang sedang mengambang cemerlang di langit tanpa awan, dengan bulatan seperti cincin bersinar di sekelilingnya.
Di sisi kirinya, sebuah pedang terhunus pada tanah, tanpa sarung dengan hiasan tali-tali dari kulit.
Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera untuk menyeru sesuatu datang padanya dengan kedua belah telapak tangannya yang bertemu.
Hanya setelah angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mula kencang seruannya, dia mengangkat kepala, memberi perhatian di hadapan, dengan mengecilkan kedua belah kelopak matanya dari terkena pasir.
Untuk beberapa minit, tiada apa yang kelihatan melainkan saujana suasana gurun tandus yang tidak berpenghujung yang hanya disinari cahaya bulan dengan deruan angin kuat menghembus tubuhnya.
Bahagian torso atas tubuhnya ditegakkan dan satu-satunya senjata yang berada pada sisi kiri kini dipindahkan tepat di tengahnya, dengan kedua belah tangan yang kemas memegang hulu pedang.
Gerak hatinya mengatakan, apa yang telah diusahakannya sedang membuahkan hasil dan dia tersenyum.
Ada segerombolan makhluk kecil bersayap sedang berterbangan dari kejauhan mula mendatanginya. Bunyi kepakkan sayap-sayap dari kumpulan makhluk ini semua sayup-sayup kedengaran mula menjadi jelas apabila ia semakin hampir.
Namun dengan suasana kelam di sekitarnya, dia tidak dapat memastikan apa makhluk yang sedang terbang dalam gerombolan kecil ini samada burung ataupun kelawar.
Dengan niat berjaga-jaga, pedangnya dijulang ke udara dan dia bangkit dengan kedua belah kakinya.
Tapi makhluk kecil yang bersayap ini semuanya burung yang sepertinya kelihatan seperti kumpulan gagak tetapi tidak menyerangnya.
Sebaliknya mereka berkumpul di dalam bentuk bulatan mengelilinginya. Dan serentak dengan kehadiran mereka bersamanya, suhu malam yang sememangnya sudah dingin kini semakin bertambah lebih sejuk.
Dia berputar hingga ke 360 darjah untuk memerhatikan kesemua burung-burung yang jumlahnya tidak melebihi 100 ekor ini.
"Siapa kamu? Apakah kamu pesuruh dari Tuttunkhannuk?" Katanya perlahan.
Burung-burung gagak ini hanya diam membisu dengan pertanyaannya.
"Aku Raja Shakari Ul Baar, pemimpin Kerajaan Nyata di Uruk. Aku telah menyeru Tuttunkhannuk untuk datang kepadaku. Jika kamu punya kaitan dengannya, berikan sebarang petanda untukku. Sesungguhnya Tuttunkhannuk juga hamba pada kerajaanku."
"Tiada siapa yang dari kerajaan nyata yang bisa menjadi tuan pada Tuttunkhannuk," kedengaran satu suara yang tidak dapat dipastikan samada lelaki ataupun perempuan, kerana bunyi berbisik.
Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Raja Shakari Ul Baar ini tersenyum. Suara itu datang daripada salah seekor dari puluhan burung gagak ini semua.
"Tuttunkhannuk wujud di dalam jajahanku, jadi selayaknya dia menjadi hambaku~"
Burung-burung gagak yang mengelilinginya ini tiba-tiba serentak semuanya terbang ke udara dan berubah bentuk menjadi sehelai kain hitam yang bergumpal dan kemudian berkibar, melayang di sekelilingnya.
"Kalau kamu pesuruhnya Tuttunkhannuk, arahkan dia datang padaku!"
"Untuk apa dia harus datang padamu, wahai manusia?" Tanya suara yang berbisik itu lagi. Dan kali ini, dia yakin yang suara itu datang dari kibaran kain hitam yang sedang terapung melayang di sekelilingnya.
YOU ARE READING
BAAR (Siri Keempat INFINIT)
Vampiro'Darah milik kamu dan dia saling menolak, tetapi kamu vampira dan kesan sakitnya hanya akan dirasai Amirul Azzim seorang. Phoenix, apa kamu masih ingat, yang kamu berdua telah diramalkan oleh Ariath dan Hapseseth sebagai Infinit dan Definit yang aka...