Bab 1

3 0 0
                                    

PENAT! Itulah yang aku rasakan saat ini. Mana tak penat. Dari pukul enam pagi tadi lagi aku dengan mak kemas bilik tidur arwah abang long yang sudah tak serupa bilik tu. Aku tanya mak kenapa sibuk sangat nak kemas bilik arwah abang long hari ni. Dan mak jawab abah yang suruh.

Rasa pelik pula. Sampai lantai pun mak suruh aku mop bersih-bersih. Sebelum ni bukan aku tak pernah kemas bilik arwah Abang Long aku ni. Tipulah kalau tak pernah. Dalam sebulan dua tiga kali jugak aku masuk kemas. Sebab bilik arwah Abang Long ni tiada siapa pun pakai. Tapi kali ni lain macam betul. Macam ada orang yang nak datang dan menginap di sini saja. Itu sangkaan aku saat ini. Tapi siapa?

Aku menyudahkan sapuan terakhir. Selepas itu aku menyusun semula penyapu dan penyodok yang aku guna di belakang pintu. Aku melabuhkan duduk untuk melepaskan penat lelah untuk seketika. Sempat aku mengamit segala kenangan tinggalkan arwah abang long setelah pemergiannya dua tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya bersama tunangnya, Hanifah. Tidak banyak berubah bilik ni. Cuma barang-barang dan baju-baju yang berada di atas rak milik arwah abang long itu semua mak masukkan ke dalam kotak dan letak di bawah katil.

Sungguh aku rindu sangat arwah abang long. Dialah satu - satunya abang yang aku ada. Tapi Allah lebih sayangkannya. Semoga arwah abang long tenang disana. Aku setiasa berdoa agar arwah abang long bahagia di setiap sujudku.

Laungan suara mak akhirnya membawa aku ke dapur. Mak awal-awal lagi turun. Tinggal aku sorang saja dekat bilik.

"Ada apa mak?" Tanya aku setelah melabuhkan duduk. Air sirap yang mak sediakan atas meja aku capai. Nikmatnya kalau minum masa badan tengah berpeluh macam ni. Sejuk pula anak tekak. Leganya rasa.

"Ni hah. Mak rasa nak masak semua ni. Sempat ke sebelum abah kamu balik." Mak sua satu kertas kepada aku.

Kertas bertukar tangan. Bulat mata aku. Alahai… Banyaknya nak kena masak. Lebih lima menu yang kami perlu sediakan.

"Mak masak banyak-banyak nak buat apa? Bukan ramai yang nak makan pun. Abah ada pekerja baru nak datang hari ni ke? Nak cakap kak long balik hari ni. Rasanya bulan depan baru balik kan?." Aku cuba meneka. Mataku masih pada senarai menu yang tercatit di dada kertas.

"Kesitu pulak kamu ni, Sya. Abah kamu cakap ada orang jauh nak datang rumah hari ni. Mak pun tak pasti lagi siapa. Lelaki ke perempuan itu jangan tanya mak. Mak memang tak tahu. Sebab itulah abah kamu lepas subuh tadi lagi dah bertolak ke pekan. Katanya nak jemput orang. Ni mak nak masak untuk tetamu abah la ni. Nanti ikut mak pergi kedai Pak Man beli barang."

Kalau dengar saja nama Pak Man pasti aku ingat dekat seseorang. Seseorang yang selalu ada untuk aku. Tapi itu dululah. Malas dah aku nak ambil tahu pasal dia. Lagipun orang itu dah berkahwin. Anak pun dah ada dua orang kalau aku tak silap.

"Berapa orang nak datang mak? Tak rasa banyak ke nak masak banyak-banyak macam tu?"

"Itulah yang mak duk pikir ni. Tapi kalau tetamu jauh yang abah kamu cakap tu mestilah orang penting Sya. Nanti tak pasal-pasal kalau masak sikit tak cukup. Macam hari tu, Pak Zariff kamu dan kawan-kawan dia datang mak masak sikit aje. Sampai kawan dia tu tak dapat makan. Nanti tak payah nak terkejar-kejar masak balik."

Betul jugak. Sediakan payung sebelum hujan. Memang hari tu masa Pak Zariff datang rumah kami. Makanan yang aku dan mak sediakan tak cukup. Sampai kawan-kawan Pak Zariff tak dapat makan nasi sedikitpun. Nasiblah mak cepat masak mi goreng masa tu. Kalau tak malu satu keluarga aku.

Bercakap pasal Pak Zariff kemana agaknya dia pergi sekarang ni ye? Dulu boleh dikatakan setiap bulan dia datang. Ini dah berapa bulan dia tak datang rumah aku.

"Pak Zariff pergi mana mak? Lama dah dia tak datang sini." Tanya aku.

"Abah cakap Pak Zariff dah pindah Indonesia. Ikut anak dia. Mak pun tak pasti betul ke tak."

"Owh... baguslah tu. Mungkin dia dah jumpa balik dengan anak dia."

"Harap macam tulah."

Kalau betul Pak Zariff dah pindah Indonesia. Alhamdulillah. Sebab aku pasti dia dah bahagia hidup dengan anak dia. Sebab Pak Zariff ada cerita yang dia ada anak lelaki yang menetap di Indonesia. Kata Pak Zariff pula. Usia anak dia itu tua dua tahun dari usia aku. Dia nak sangat jumpa anak dia tu. Sebab lepas dia berpisah dengan Hayati, Pak Zariff tak pernah jumpa anak dia lagi. Macam manalah agaknya muka anak dia tu. Ada macam Pak Zariff tak? Sebab walaupun Pak Zariff dah tua tapi nampak handsome lagi. He he he.

Hampir pukul sepuluh pagi. Aku bergegas ke kedai Pak Man bersama mak.

"Anak sapa tu Man sebelum ni aku tak pernah nampak pun?" Tanya mak.

Mata aku dah terpasak dekat bayi perempuan yang aku kira umurnya hampir setahun. Lenanya dia tidur di dalam buai yang tergantung diruang kedai Pak Man. Pak Man yang sedang potong ayam untuk mak terus terhenti kerjanya.

"Anak ketiga si Arman." Kata Pak Man. Selepas itu, Pak Man sambung semula kerja memotong ayam yang tergendala itu tadi.

"Dia ada balik ke Pak Man?" Laju aku bersuara sebelum cepat-cepat aku tampar lembut mulut aku. Main redah aje. Mak dah mula jeling aku.

Pekerjaan Pak Man terhenti lagi dek pertanyaan aku tadi.

"Ada balik. Dah seminggu dah balik. Sejak dah sendiri selalu aje dia balik. Sekarang dialah yang jaga anak bongsu dia tu."

Lepas Pak Man menyudahkan bicaranya. Aku terus pandang muka mak. Serius aku memang tak tahu yang Arman tu dah bercerai dengan isteri dia.

Hati aku?

Aku tak bahagia malah aku tak rasa yang semua ini perkara baik buat aku. Sebab bila aku terpandangkan wajah anak bongsu Arman tu, aku yakin sangat yang dia tu rindu sangat dekat ibu dia. Sebab anak sebesar ini perlukan kasih sayang seorang ibu.

*****

LEPAS siap masak aku mengambil tempat di  halaman luar rumah. Saja nak tenangkan fikiran dengan bersiar-siar di laman rumah yang dipenuhi bunga-bunga kertas hasil tanaman mak.

Sejak Pak Man cakap yang Arman tu dah sendiri atau erti kata lain sudah bercerai dengan isteri dia. Hati aku jadi tak keruan. Aku pun tak pasti sebab aku gembira ataupun sebab aku takut. Aku takut hati aku kembali terpaut pada cinta lelaki yang sudah berstatus duda anak tiga itu.

Ah...! aku tak mungkin akan jatuh cinta dekat Arman itu lagi. Dia yang telah hancurkan hati aku dulu. Hati aku berkata sendiri.

Ketenangan aku terganggu setelah kereta abah memasuki perkarangan rumah. Aku hanya memerhati di balik rimbunan pokok bunga mak. Dari jauh aku lihat sosok lelaki lebih kurang sebaya aku keluar dari perut kereta.

"Sorang saja ke pekerja abah? Biasanya ramai? Atau itu bukan pekerja abah. Tapi siapa?" Fikir aku sendiri.

Setelah itu, aku lihat abah mengeluarkan beberapa buah bag dari bonet kereta. Bag siapa lagi kalau bukan bag lelaki itu. Mak pula aku lihat sudah keluar dari rumah untuk menyambut tetamu yang baru datang.

Sya Dan SyamWhere stories live. Discover now