"DHIYA... Nak sikit nasi tu."
Aidan mengecek nasi di atas pinggan Dhiya. Lalu si isteri agihkan separuh nasi atas pinggannya ke atas pinggan Aidan. Kebetulan dia tak boleh habiskan pun nasi atas pinggan ni. Biasanya nasi memang masak cukup-cukup makan saja setiap kali. Tak ada lebih, kecuali ada rancangan nak buat nasi goreng untuk sarapan pagi esok.
"Banyaknya Dan makan?"
Aidan sengih.
"Lapar..."
"Tengah hari tadi makan apa dengan geng-geng bujang you tu?"
Tengah hari tadi giliran dia orang makan dengan geng masing-masing. Dhiya tak tahu suaminya makan apa. Selalu kalau makan dengan kawan-kawan lelaki, Aidan kenyang sampai tak nak makan nasi waktu malam. Hari ini terbalik pula. Bertambah-tambah nasi, walhal lauk-pauk ringkas saja.
"I tak makan dengan dia orang pun."
"Oh, patutlah lapar, rupanya tak makan."
Mulalah Dhiya kasihan kat suami. Dia punya melantak tengah hari tadi. Sikit pun tak teringat Aidan makan ke tidak. Teruknya perangai dia.
"I makan, Dhiya... Lunch dengan Maira, dia ajak I makan piza. Teringin sangat katanya. You tahu ajelah, tekak I dah tak boleh masuk makanan begitu. Sejak kahwin dengan you, I kan lebih suka nasi. Macam you juga... Nasi, nasi, nasi."
Aidan ketawa di hujung katanya.
Bohong la kalau Dhiya tak sentap, bukan seorang isteri namanya kalau tak rasa apa-apa bila dengar suami keluar makan dengan perempuan lain. Mantan isteri tak jadi pula tu. Berdua tau, bukan keluar ramai-ramai.
Tapi...
Seboleh-bolehnya Dhiya kawal emosinya. Dia tak nak tunjuk pada Aidan yang dia cemburu dan fikir yang yang bukan-bukan. Aidan tu dah cukup baik berlaku jujur padanya. Berterus terang yang dia keluar makan dengan Maira. Tak main sorok-sorok macam kebanyakan suami orang lain.
Jadi...
Dhiya selalu berlagak biasa bila Aidan cerita yang dia keluar dengan Humaira. Tadi tu, bukan pertama kali Aidan keluar makan dengan Humaira. Dah banyak kali dah. Setiap kali keluar, Aidan tak pernah rahsiakan. Dia akan beritahu Dhiya. Dan Dhiya pula tak pernah marah.
Walaupun hati Dhiya retak beribu-ribu...
Aidan tak pernah sembunyikan apa-apa pasal Humaira dari Dhiya. Humaira tu ibu tunggal dan menjaga dua orang anak, Dhiya tahu. Sebab musabab Humaira bercerai pun, Dhiya tahu. Semua maklumat pasal Humaira, Dhiya dapat dari bibir Aidan... Bukan dari orang lain. Bukan dapat dari gosip mak cik, pak cik bawang. Mesej WhatsApp antara Aidan dan Humaira, semua Dhiya baca.
"Maira tu cantik ke, Dan?"
Tak jemu-jemu Dhiya tanya soalan ni pada Aidan. Kadang-kadang Aidan jawab dengan jujur, kadang-kadang jawab dengan senyum aje. Hari ini Dhiya tanya lagi.
Aidan berhenti suap nasi ke mulut.
"Di mata I, cantik la. Pada orang lain I tak tahu. Mungkin tak cantik."
Aidan sengih pada Dhiya.
"Taste you?"
"I kawan dengan dia dari umur 14 tahun, Dhiya. Sejak tu I tak pernah ada hati pada perempuan lain. Setia kat dia sorang aje. Masa dia jadi isteri orang tu pun, I masih menaruh harapan. Sampailah I decided nak kahwin dengan you..."
"Sayang betul you kat dia, eh?'
"Wife I yang nama Nur Dhiya tu pun I sayang sangat..."
Sambil tu, jari Aidan sempat cuit hidung Dhiya di hadapan.
Dhiya senyum. Hati sikit terpujuk. Memang Aidan ada layan Humaira kat luar, tapi perhatian dan kasih sayang Aidan tak pernah luak untuknya. Sama seperti sebelum Humaira muncul. Tak pernah berkurang.
Masa Aidan sepatutnya bersama Dhiya, tak pernah digunakan untuk keluar dengan Humaira. Aidan hanya ambil masa bersama kawan-kawan lelakinya untuk diberi pada Humaira. Dia dah korbankan masa main badminton setiap petang tu untuk bersama Humaira. Tiap-tiap malam Aidan ada saja di rumah. Menonton televisyen, berborak dan mengaji bersama Dhiya.
Habis... Atas alasan apa Dhiya hendak mengamuk pasal Humaira?
Pun begitu...
Sumpah Dhiya tak nak hidup macam ni. Tak selesa. Sakit jiwa dan raga. Berpura-pura jadi isteri solehah, kononnya okey suami ada kekasih kat luar. Hakikatnya tidak! Secara mental dia sangat terseksa.
Malamnya, sebelum tidur...
Dhiya mengiring memandang Aidan yang baring di sebelah.
"Dan... Dhiya ni kurang kat mana?"
"Kenapa Dhiya tanya macam tu?"
"Dan tentu faham kan maksud Dhiya..."
"Dhiya tak ada kurang apa-apa. You isteri yang baik... I sayang you, Dhiya."
"Tapi Humaira..." Perlahan suara Dhiya menyebut nama keramat tu.
Aidan bangun dari perbaringan. Lama dia diam merenung Dhiya. Nampak juga muka serba salahnya di bawah lampu tidur yang samar-samar.
"I tak boleh buang perasaan pada Maira. Dari dulu sampai sekarang. I tak dapat lupakan dia, walaupun I dah cuba."
Dhiya rasa nak menangis meraung-raung mendengar pengakuan Aidan, tapi dicubanya sungguh-sungguh untuk keraskan hati. Buat-buat muka selamba, tak terkesan apa-apa. Padahal pembohongan belaka. Hati berkecai-kecai. Sakit. Pedih!
"Habis tu, kenapa you kahwin dengan I kalau hati you masih kat dia?"
"Masa tu I nak move on, Dhiya. Hidup mesti diteruskan. Takkan I nak terus mengharapkan dia, sedangkan dia dah jadi milik orang? I kahwin dengan you sebab nak mulakan hidup baru. Dan kita bahagia, kan?"
Kita bahagia? Terkebil-kebil Dhiya dengan soalan tu. Ambil masa juga untuk hadam. Perlahan dia angguk. Betul la tu. Dia orang memang bahagia. Tapi itu sebelum Humaira muncul. Sekarang, hanya Aidan aje kut yang terlebih bahagia.
"Dhiya... You jangan fikir yang bukan-bukan. Apa-apa pun, you tetap isteri yang I sayang..."
Hurm... Rasanya kenalah Dhiya pegang kata-kata keramat tu. Jadikan tangkal azimat.
YOU ARE READING
Aku Pilih Bahagia
General FictionTajuk: Aku Pilih Bahagia Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-137-0 Halaman : 512 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2019 Tak mahu terus didera mentalnya, Dhiya mohon untuk undur diri. N...