Bab 10

3.8K 62 9
                                    

"YA ALLAH, Ya Allah, Ya Allah, tenangkanlah hati ini. Jadikanlah aku seorang isteri solehah yang reda dengan keputusan suamiku. Kau berikanlah aku ketabahan dan kesabaran untuk menghadapi kenyataaan ini. Ku mohon pada-Mu untuk rawat luka dalam hati ini, Ya Allah. Hanya pada-Mu kuberserah, hanya pada-Mu kumengadu, hanya Engkau yang memahami hati ini. Ya Allah, aku mohon untuk Engkau kuatkanlah diriku. Hanya pada-Mu kumengharap, kuatkan aku yang tengah lemah ini, kuatkan aku, kuatkanlah hati aku, kuatkanlah jiwaku..."

Akhir-akhir ini doa Dhiya sudah bertukar. Tidak lagi mohon supaya dijauhi anasir-anasir jahat dan gangguan pihak ketiga, si sondol dalam rumah tangga, sebaliknya dia hanya meminta supaya diberi kekuatan demi kekuatan, luar dan dalam untuk menghadapi saat-saat getir ini.

Beberapa jam saja lagi...

Ya, tak berapa jam lagi Aidan, suaminya akan melafazkan akad. Kali kedua, selepas lima tahun usia perkahwinan mereka. Dengan wanita idamannya. Perempuan yang dicintai, isteri yang dinanti-nanti dan yang buat tulang rusuknya bergetar kuat setiap kali memandang.

Sedangkan dia, akan terus menjadi isteri kusam, atau mungkin sebagai isteri tempel-tempelan sahaja. Maklumlah, dia bukan isteri yang dicintai, tetapi hanya isteri gantian yang disayangi. Nak dibuang sayang, hendak diambil sepenuhnya, tiada nafsu. Isteri melukut di tepi gantang, beginilah keadaannya.

Krik... Krik. Bunyi pintu kayu bilik Dhiya berada terbuka. Dia menoleh.

"Sini rupanya you, Dhiya. Puas I cari..."

"Eh... Sorrylah Dan, Dhiya solat duha tadi... Tak tahu Dan cari. Kenapa, Dan?"

Mata Dhiya tertancap pada tubuh Aidan yang sudah tersarung baju Melayu dan seluar warna putih. Baju nikah. Tinggal belum bersamping saja lagi.

"Dhiya, ada nampak butang baju Melayu I tak? Puas geledah beg, tak jumpa."

Berkerut dahi Dhiya memikir. Sungguh dia tak perasan di mana, sebab Aidan yang kemas barang-barangnya sendiri sebelum bertolak balik kampung. Beberapa hari sebelum tu lagi dia dah siap-siap packing. Takkan boleh tertinggal kut? Jangan tuduh Dhiya sabotaj cukuplah. Isy... Tak baik tau bersangka buruk, Dhiya.

"Bukankah semua barang Dan dah letak dalam beg roda merah tu?"

"Tu la tu... Dhiya tak ada ambil ke? Semalam Dhiya yang unpack baju Dan, kan?"

Dhiya geleng. Kan dah kata, mesti dia dikaitkan dengan kehilangan tu.

"Allah... Mana pula perginya? Jangan tertinggal sudah. Mana sempat nak pi cari kat pekan dah," rungut Aidan dengan muka gabra.

Lagipun butang baju tu hadiah daripada Humaira dengan permintaan istimewa, Aidan kena pakai masa majlis nikah. Kalau pakai yang lain, mesti Humaira kecewa. Takkan permintaan kecil itupun dia tak mampu tunaikan?

"Jangan panik dulu, Dan... Biar Dhiya tolong carikan..."

Dhiya bingkas bangun, tanggalkan telekung yang dipakai lalu gesa-gesa berlalu ke bilik tidur mereka.

Dalam bilik, mulalah Dhiya periksa sana sini dalam beg roda warna merah kepunyaan Aidan. Tak susah mana mencari pun, kejap aje jumpa bungkusan kotak kecil berisi butang baju Melayu yang dicari Aidan bagai nak rak itu. Dhiya senyum sinis sendirian. Dasar orang nak nikah dengan cinta hati, gelabah tak tentu hala, sampai butang celah poket tu aje pun tak jumpa.

"Ada, Dhiya?" tanya Aidan yang baru masuk. Gaya macam dah tak sabar. Dhiya angkat kotak kecil tu tinggi-tinggi. Lebar senyuman Aidan.

"Itulah... Mata tu asyik nampak bakal bini muda aje, mana nak nampak yang lain dah," usik Dhiya.

Aku Pilih BahagiaWhere stories live. Discover now