Setulus Kasih Indah - Bab 4

31 3 0
                                    

Rykal mengerling jam Rolex di tangannya. Dia juga memandang jam digital di dashboard kereta Rexton miliknya. Indah masih tidak muncul lagi sedangkan dia sudah tunggu di bawah hampir satu jam. Dia mematikan enjin kereta lalu segera keluar. Punat hijau ditekan untuk mengunci kereta secara automatik dan dia segera mendaki tangga rumah pangsa yang kelihatan uzur itu.
Sampai sahaja di tingkat 10, dia membuka pintu dan dia keluar ke bumbung paling atas rumah pangsa itu. Ada sebuah kabin kecil yang menjadi rumah untuk kekasih hatinya. Rykal rasa ingin menangis setiap kali dia datang ke sini. Betapa susahnya hidup seorang gadis bernama Indah Nur Sakinah. Dia pernah menyuarakan hasrat untuk membelikan Indah sebuah rumah namun Indah tidak mahu. Indah tidak mahu dikata sebagai pisau cukur.
Bunyi pintu kabin itu dibuka membuatkan Rykal berjalan pantas. Dia dapat lihat bapa tiri Indah keluar dalam keadaan terhuyung-hayang sambil memegang duit.
"Indah! Ini kekasih kaya kau dah sampai!" laung Hassan dengan nada percakapan yang meleret. Rykal memandang Hassan dengan tajam. Hassan yang mabuk berasa panas hati melihat lelaki muda itu lalu dia mendekat. "Kau tengok apa? Tak puas hati dengan aku?"
Rykal menjauh kerana dia tidak mahu badannya disentuh lelaki yang kotor itu. "Mana kau dapat duit tu? Itu duit anak tiri kau, kan?!" tanya Rykal dengan suara yang tinggi. Orang tua seperti Hassan ini tidak layak untuk dihormati.
Hassan tersenyum sinis. "Kau sibuk kenapa?"
"Kau ni memang tak tahu malu ke? Hidup kau ditanggung oleh anak tiri yang tiada pertalian darah dengan kau. Patutnya kau lindungi dia. Bukannya kau buat dia jadi hamba untuk mencari duit. Dasar lelaki bangsat!" Rykal menengking. Dia sudah tidak tahan melihat wajah Hassan yang selamba sahaja walaupun sudah melakukan kesalahan.
Hassan mencekak kolar baju Rykal. "Hei! Siapa bangsat? Aku? Kau tu yang bangsat. Tak tahu malu datang rumah aku tanpa diundang."
Rykal yang sudah geram terus menumbuk Hassan. Hanya sekali tumbukan Hassan sudah jatuh terbaring di atas lantai dengan mulut berdarah. "Lelaki macam kau tak layak nak sentuh aku! Kau memang sampah masyarakat! Kau fikir aku hadap sangat ke nak datang sini? Aku datang sini pun semata-mata kerana Indah dan nenek. Kalau tak ada mereka, jangan haraplah aku nak datang tempat macam ini."
Rykal mahu menumbuk Hassan sekali lagi namun jeritan nenek dari dalam kabin membuatkan dia tergamam. Dia segera berlari masuk ke dalam dan Rykal terduduk.
"Sakinah!"
Rykal segera mengangkat tubuh kurus Indah lalu dibawa turun ke tingkat bawah. Dia terus memecut keretanya. Nenek yang duduk di kerusi belakang sambil memangku Indah menangis hiba. Rykal semakin memecut laju keretanya apabila melihat semakin banyak darah mengalir dari mulut dan hidung Indah. Sakinahku! Bertahanlah! Rykal berbisik dalam hati seolah-olah Indah dapat mendengarnya.

Rykal duduk di sebelah katil Indah bersama air mata yang bergenang. Tangan gadis itu dicapai lalu dikucup lama. Hatinya pedih melihat gadis yang dicintainya terdampar kesakitan di atas katil. Perlahan-lahan dia menguak anak rambut Indah ke tepi dan sekali lagi hatinya pedih apabila melihat kesan lebam di dahi Indah. Rykal menarik nafas perlahan-lahan. Dia mengerling nenek yang duduk di atas sofa bertentangan dengannya. Wanita tua itu kelihatan sudah tertidur. Mungkin keletihan. Rykal mengambil keputusan untuk pergi ke surau hospital untuk menunaikan solat.
"Rykal?" Seorang gadis yang memakai kot labuh berwarna putih menegur Rykal ketika dia sedang membeli air di mesin selepas selesai menunaikan solat zuhur. Rykal mengangkat wajahnya. Dia cuba mengecam wajah gadis itu tetapi dia lupa siapa gadis itu. "Kita pernah kenal ke?"
Si gadis itu tersenyum kecil. "You lupa I ke? I ni Zufa."
Rykal menepuk dahi. Baru dia teringat apabila gadis itu senyum tadi. Gadis itu ialah bekas teman wanitanya. Dia pun tidak ingat teman wanita yang ke berapa sewaktu di universiti dahulu.
"Sorry sebab I tak ingat you. Bukannya apa, you nampak lain sangat. Tak macam dahulu." Dia akui gadis di hadapannya ini sudah banyak berubah. Lebih fashionista dan nampak yakin!
"Hehehe... Tak apa. You buat apa dekat sini?"
"My girl ditahan wad semalam."
"Your girl? You dah kahwin ke?"
"Nope. She is my girlfriend and soon to be my wife. You apa khabar? You dah kahwin ke?"
Zufa tersenyum lalu mengangguk. "Dah. I kahwin dengan doktor di hospital ini jugak."
Rykal tersenyum lebar. "Good for you. I kena pergi ni. Nanti kalau ada apa-apa call I. Ini kad I."
Setelah memberikan kad perniagaannya, Rykal berlalu pergi. Dia tersenyum. Memang Shasha gadis yang baik. Mereka berdua tetap berkawan rapat.
Senyuman Rykal bertambah lebar apabila memasuki wad yang menempatkan Indah. Gadis itu sudah tersedar dan sedang tersenyum ke arahnya. Rykal segera menerpa ke arah katil Indah lalu tangan gadis itu dicapai dan dikucup. Indah tersipu malu dengan kelakuan Rykal di hadapan nenek.
"Nenek nak pergi solat zuhur dahululah, Indah." Mak Cik Rubiah bagaikan dapat memahami situasi mereka.
Rykal memandang wajah Indah yang lebam di sana sini. "Apa yang terjadi sebenarnya? Apa yang jantan bangsat tu dah buat dekat awak?"
Air mata Indah turun satu per satu. Dia rasa ngeri apabila mengenang kembali kejadian malam tadi. Nyawanya hampir melayang!
"Malam tadi abah balik dalam keadaan mabuk. Mula-mula dia terus tidur. Jadi saya dengan nenek pun tak kisahlah sebab memang dia selalu macam itu. Lepas solat subuh tadi, tiba-tiba saja dia datang mintak duit dekat saya. Tapi saya cakap yang saya tak ada duit. Duit yang ada itu pun saya nak guna untuk beli barang-barang dapur. Tapi dia marah dan mula mengamuk. Tiba-tiba dia dapat satu panggilan, lagilah dia makin mengamuk selepas itu. Bila saya berkeras jugak tak nak beri duit, dia pukul saya. Itu yang sampai jadi macam ini. Maaflah saya menyusahkan awak." Indah tertunduk. Dia malu mahu menghadap wajah Rykal.
Rykal ingin memeluk Indah namun tidak boleh. Dia merengus kasar. "Kita kahwin!"
Indah terkejut. "Apa?!" Terjerit Indah dengan ajakan Rykal yang tiba-tiba itu.
"Saya mahu kahwin dengan awak. Saya mahu mengambil awak jadi isteri saya." Rykal memberikan penjelasan dengan suara yang tegas.
"Tak nak! Saya belum bersedia nak kahwin. Saya masih mahu belajar. Jangan buat kerja gila, Rykal!" Rykal membuntangkan mata.
"Sakinahku, saya mahu kahwin dengan awak kerana saya mahu melindungi awak. Saya tak sanggup tengok awak macam ini. Awak masih boleh belajar walaupun kita berkahwin nanti. Saya akan tanggung semuanya."
Indah mengeluh. Bayangan Puan Sri Maria muncul dalam fikirannya. "Rykal, saya penat. Saya nak tidur. Awak pun baliklah. Mesti awak sibuk dengan kerja awak." Rykal merengus kasar dan dia menjauhi Indah.
"Kenapa susah sangat awak nak terima lamaran saya? Apa kurangnya saya? Atau awak memang tak cintakan saya?"
Indah rasa ingin sahaja dia memberitahu sebab sebenarnya kepada Rykal tetapi dia tidak mahu Rykal bergaduh dengan Puan Sri Maria pula. Jika diikutkan hatinya, memang sekarang pun dia boleh sahaja menerima lamaran Rykal kerana dia juga mahu menjadi yang halal untuk lelaki itu. Namun apakan daya jika mummy Rykal tidak menyukainya. Dia tidak mahu membina mahligai tanpa restu orang tua.
"Shut up, Rykal! Saya dah penat nak layan awak. Awak balik sahajalah."
Rykal mengerling lalu dia merengus kasar apabila melihat Indah sudah kembali berbaring di atas katil dengan mata yang tertutup.
Indah menggigit bibir apabila Rykal langsung tidak mahu bercakap dengannya. Rykal nampak benar-benar marah.
"Rykal, kalau betul awak nak nikahi saya, awak balik rumah awak dan tanya pendapat mummy awak." Indah mengalah jua akhirnya. Dia tidak sanggup menahan perasaan derita dimarah oleh Rykal. Dia cintakan Rykal. Rykal cinta pertamanya!
Rykal berpusing daripada menghadap pemandangan di luar hospital. Dia mendekati katil gadis yang berwajah pucat itu. "Betul awak akan setuju bernikah dengan saya selepas saya balik jumpa mummy?"
Indah mengangguk. "Saya mahu awak berbincang dahulu dengan mummy awak dan barulah awak datang jumpa saya balik. Boleh?"
Rykal tersenyum. "Boleh, Sakinahku..."
Indah tertawa kecil. Rykal mengerutkan dahi. "Apa yang lucu?"
"You yang lucu. Merajuk macam budak-budak aje tapi sebenarnya dah tua." Indah tergelak lagi. Rykal bercekak pinggang.
"Helo! Sakinahku, saya baru berumur 23 tahun tau. Masih muda lagi dan jangan lupa yang awak tu pun sama baya dengan saya. Jadi kalau saya tua, maknanya awak tu pun dah tualah." Indah tergelak besar.
"Ewww! Rykal, gaya awak sebijik macam Encik Elise." Indah menyebut nama salah seorang pereka fesyen di syarikat Rykal.
Rykal mengetap gigi. Ada ke patut samakan dia yang macho ini dengan si Elise yang spesies 'adik-adik' tu? Sakinahku, sampai hati awak!


Puan Sri Maria tersenyum licik. Dia sudah pun memberikan arahan kepada dua orang suruhannya untuk menyelesaikan hutang judi bapa tiri Indah. Jadi Indah telah berhutang kepadanya. Dia tahu hanya dengan cara ini sahaja Indah akan menurut semua katanya. Dia menghirup kopi yang suam itu perlahan-lahan dengan penuh elegan.
"Bukan sembarangan gadis yang boleh jadi menantu di dalam rumah aku ini!" bisiknya perlahan lalu tersenyum sinis. Terbayang-bayang wajah naif gadis yang sebaya dengan anak
lelakinya itu.


"APA? Kamu dah gila ke?!" Jeritan Puan Sri Maria bergema di dalam ruang vila yang sungguh besar itu. Dia menarik nafas dalam dan melepaskannya. Kemudian matanya mencerlung memandang anak lelakinya yang beriak selamba di atas sofa.
"Mummy, bolehlah. Rykal sayang sangat dekat Indah, mummy. I love her very much." Rykal bersuara.
Puan Sri Maria mengurut-urut dahinya. Dia menggeleng. "I said no. Kamu terlalu muda untuk berkahwin, Rykal."
Rykal menarik muka. "Mana ada muda. Ada ramai lagi orang yang kahwin umur lebih muda daripada Rykal. Mummy, umur tak ada kena-mengena langsung."
"Kenapa kamu ni degil sangat? Mummy kata tak boleh, jadi maksudnya tak bolehlah." Puan Sri Maria menahan marahnya. Dalam hati dia sudah menyumpah seranah Indah yang tidak sedar diri mahu menjadi menantunya.
"Mummy, Rykal dah stabil daripada semua sudut untuk tanggung hidup anak dara orang, mummy. Pleaselah mummy... Izinkan Rykal kahwin dengan Indah. Rykal tak nak dia terlepas ke tangan orang lain."
Puan Sri Maria bercekak pinggang. "Kamu jangan nak mengada-ada, Rykal. Mummy dah cakap tak boleh jadi kamu mesti ikut. Mummy tak mahu bermenantukan perempuan yang kita tak tahu mana asal usulnya. Kamu kena ingat yang kita ini daripada keturunan yang baik-baik. Dan jangan sesekali kita mencemari keturunan kita."
Rykal merengus kasar. "Mummy janganlah jadi orang kolot pulak. Kita bukannya hidup seperti zaman dahulu yang mementingkan keturunan. Kita sudah maju, mummy. Lagi satu, saya tahu asal usul Indah Nur Sakinah."
"Sampai hati kamu kata mummy ini orang kolot? Lihatlah apa yang budak miskin itu dah buat dengan kamu. Dia ajar kamu supaya kurang ajar dengan mummy, kan? Itu belum lagi jadi isteri kamu. Entah-entah kalau dah jadi isteri kamu, dia terus tak bagi kamu balik ke sini jumpa mummy. Perempuan macam itu yang kamu nak buat isteri? Sedarlah, Muhamad Hadif Rykal Tan Sri Ishak."
"Indah tak pernah ajar Rykal buat begitu, mummy. Kalau mummy nak tahu, Indah yang suruh Rykal balik sini untuk minta restu dengan mummy. Indah seorang perempuan yang baik dan mulia, mummy. Hatinya seputih kapas. Dia tidak pernah mengajar Rykal untuk kurang ajar dengan mummy. Malahan kalau mummy nak tahu, semenjak berkenalan dengan dialah Rykal sedar betapa besarnya jasa mummy melahirkan Rykal. Dia dah banyak memberi kesedaran dalam hidup Rykal, mummy."
Puan Sri Maria tersenyum sinis. "Mummy tak mahu ambil tahu semua itu. Apa yang mummy tahu ialah mummy tak akan restu niat kamu untuk berkahwin dengan dia." Puan Sri Maria berlalu untuk menaiki tangga ke tingkat atas. Tangga yang terletak betul-betul di hadapan ruang tamu itu didaki satu per satu dengan hati yang sakit. Dia membayangkan tangga yang dipijak itu ialah wajah Indah.
"Rykal tetap akan kahwin dengan Indah!" Puan Sri Maria berpaling dengan wajah yang sudah bertukar merah. Sabarnya sudah hilang. Anak lelakinya benar-benar mencabar amarahnya.
"Rykal jangan balik sini lagi kerana mummy akan anggap yang anak mummy dah mati. Ingat, Rykal. Syurga di bawah tapak kaki ibu dan jika Rykal ingkar juga, mummy akan anggap Rykal anak derhaka!" Rykal tertunduk. Hatinya hiba dan remuk-redam. Ibu yang melahirkannya sanggup mengugut dia sehingga begitu sekali.
Puan Sri Maria tersenyum kemenangan. Dia kembali meneruskan langkahnya menuju ke tingkat atas. Hatinya sudah bersorak riang kerana dia sangat yakin Rykal tidak akan berani
membantah keputusannya. Dia berjaya menggunakan kuasa seorang ibu kepada anak lelakinya.
"Siaplah kau, Indah!"

Subscribe to:

Setulus Kasih Indah - Sakura RiaWhere stories live. Discover now