Indah menghirup Vanilla Latte miliknya perlahan-lahan. Dia melihat sekeliling kafe yang lengang kerana hari sudah lewat malam. Selepas itu, dia kembali memandang wajah di hadapannya.
"Apa tujuan Puan Sri mahu saya balik ke Malaysia?"
Puan Sri Maria meletakkan cawan yang berisi kopi ke atas meja. "Aku mahu kau bantu Rykal di Malaysia."
Indah tergelak kecil. "Kenapa Puan Sri mahu saya bantu Rykal? Bukan ke Puan Sri benci saya berada dekat dengan Rykal?" Indah menyoal dengan wajah yang sinis.
Puan Sri Maria mengetap gigi. Gaya Indah membuatkan dia geram. Tapi dia cuba bersabar kerana dia memang perlukan bantuan Indah.
"Memang aku tak suka kau dekat dengan anak aku, tapi kau jangan lupa yang kau masih berhutang dengan aku. Aku boleh jatuhkan karier kau bila-bila masa sahaja." Indah tersenyum sinis.
"Puan Sri juga jangan lupa yang sayalah orang yang bertanggungjawab membawa jenama Infinity di pasaran Asia. Pengaruh yang saya ada cukup untuk saya membina karier saya sendiri tanpa bantuan Puan Sri."
Puan Sri Maria memandang Indah dengan tajam. Gadis yang dahulunya naif kini sudah berani bermain api dengannya!
"Tapi aku percaya yang kau ini seorang yang berpegang pada janji, kan?"
Indah menyelak rambut panjangnya ke belakang. Puan Sri Maria mengingatkan dia pada janji mereka berdua. Memang dia ada berjanji pada Puan Sri Maria 5 tahun yang lalu bahawa dia akan membantu wanita itu apabila diperlukan kerana waktu itu dia rasa terhutang budi. Tapi sekarang dia bukan lagi Indah yang naif kerana dia rasa sudah berjuta-juta keuntungan yang dia berikan pada syarikat wanita itu.
"Kenapa Puan Sri tak nak beritahu sebab saya perlu kembali ke Malaysia?" Setelah lama berdiam diri, Indah memberikan soalan.
"Aku mahu kau bantu Rykal di ibu pejabat. Itu sahaja."
"Kenapa mesti Puan Sri pilih saya?"
"Kerana aku percaya dengan bakat dan kebolehan kau."
Indah mengangkat kening. "Jadi, Puan Sri mahu gunakan saya?"
"Jika kau bijak, kau tak akan biarkan aku gunakan kau sebaliknya ini akan menjadi keuntungan pada kau. Kau boleh rapatkan diri kau dengan anak aku."
"Saya tak faham dengan Puan Sri."
Puan Sri Maria tersenyum sinis. "Indah, perkara ini sebenarnya mudah sahaja. Kau hanya perlu ikut aku balik ke Malaysia dan bertugas di sana. Cara ini dapat meningkatkan lagi karier kau."
"Apa yang Puan Sri boleh beri jika saya bersetuju untuk ikut Puan Sri balik?"
Puan Sri Maria mengetap gigi. "Nampaknya kau dah mahir dalam hal-hal begini."
Indah tergelak lalu memandang Puan Sri Maria dengan tajam. "Saya belajar daripada Puan Sri. Tiada benda yang percuma di dunia ini, Puan Sri."
"Jadi, apa yang kau mahukan?" Puan Sri Maria menyoal dengan wajah yang serius.
"Saya mahu Puan Sri berikan saya sebuah butik pakaian. Butik itu mestilah atas nama saya."
Puan Sri Maria tergelak. "Boleh!"
"Jadi saya akan menyusul Puan Sri selepas 3 hari lagi. Saya perlu uruskan urusan syarikat di sini."
Puan Sri Maria mengangguk seraya bangun. "Baiklah, aku akan tunggu kau di Malaysia. Pastikan urusan syarikat di sini diselesaikan dengan cara yang teliti. Aku tidak mahu ada kesilapan." Selepas habis berpesan, dia bergerak meninggalkan Indah.
Indah yang masih duduk di situ mengeluh berat. Dia memanggung kepalanya di atas meja. Bersediakah aku untuk berhadapan dengan Rykal?
Malam itu, Rykal tidak dapat tidur lalu dia mengurungkan dirinya di dalam Pelangi. Sama seperti selalu apabila dia gelisah, dia akan melukis wajah Indah. Rykal mengenakan apron supaya warna air yang digunakan tidak terkena pada bajunya. Tatkala dia hanyut semasa melukis, bunyi pintu dibuka dan derap kasut tumit tinggi menyebabkan konsentrasinya terganggu.
Rykal merengus kasar seraya meletakkan berus lukisannya. "Zara, I dah banyak kali bagi tau dekat you yang I nak bersendirian malam ni."
Zara yang mengenakan dress jarang mendekati Rykal.
"I tahu tapi... I rindukan you, Rykal."
"Zara, kita dah putus, okey? I dah tak nak dekat you lagi!" Rykal bersuara tegas.
Zara menghentakkan kakinya. "Tapi Rykal, I cintakan you."
Rykal tersenyum mengejek. "You cuma cintakan duit I sahaja."
Zara mencebik. "You jangan lupa apa yang you dah buat dekat I. Kalau I beritahu dekat wartawan tentang ini, pasti you akan dapat malu."
Rykal tergelak besar lalu dia mendekati Zara. "You fikir I takut? Memang I mengaku yang I tidur dengan you tapi I bukan bodoh macam you, Zara. I tahu yang I bukanlah lelaki pertama yang meniduri you."
Zara mengangkat tangannya ingin menampar Rykal namun pergelangan tangannya sudah dicekup dahulu oleh Rykal. "You memang tak guna, Rykal!"
"Siapa yang tak guna? Aku tak pernah meminta tapi kau sendiri yang rela."
Zara merentap tangannya. "I benci you, Rykal!" Zara terus keluar dengan wajah yang merah.
Rykal merengus kasar. Dalam banyak-banyak perempuan yang dia jumpa, cuma Zara seorang sahaja yang bermuka tembok. Sudah banyak kali dia katakan yang dia sudah tidak suka dengan Zara tapi Zara tetap mengejarnya.
"Dasar perempuan mata duitan!" Rykal berbisik sendiri.
Dia kembali mengambil berus lukisan lalu kanvas putih di hadapannya diconteng mengikut rasa hati. Semenjak kehilangan Indah, dia sudah tidak dapat ketenangan yang dahulu lagi. Hanya dengan cara melukis sahaja dia dapat menenangkan sedikit perasaannya. Di mana awak, Sakinahku?
Puan Sri Maria duduk berfikir di balkoni rumah rehatnya. Dia berfikir tentang Indah. Gadis yang dahulunya hanya orang biasa tetapi kini sangat dikenali sebagai pereka fesyen di Korea Selatan. Dia tahu gadis itu sangat bijak. Buktinya, tidak sia-sia dia memilih Indah untuk menerajui cawangan syarikatnya di Seoul ini. Cawangan yang dikendalikan oleh Indah ini tidak pernah mengalami penurunan jualan seperti cawangan lain.
"Puan Sri, esok kita mahu balik siang atau malam? Saya nak buat tempahan tiket kapal terbang ni." Sally, setiausahanya datang bertanya.
Puan Sri Maria berfikir seketika sebelum membuat keputusan. "Kita akan balik lagi 3 hari."
Sally mengerutkan kening.
"Tapi, Puan Sri... Macam mana dengan majlis makan malam Puan Sri dengan kawan-kawan malam esok?" Sally mengingatkannya.
"Tundakan sahaja majlis itu dan katakan kepada mereka yang saya akan beritahu tarikhnya nanti. Saya ada urusan yang perlu diselesaikan di sini." Sally mengangguk faham. "Baiklah, Puan Sri. Ada apa-apa lagi yang Puan Sri nak saya buat?"
"Tak ada. Awak boleh masuk tidur."
"Saya pergi dahulu, Puan Sri." Sally meminta diri.
"Yalah. Sally, esok pagi-pagi beritahu dekat driver yang saya nak ke pejabat." Arahan yang diberikan oleh Puan Sri Maria menyebabkan langkah Sally terhenti.
"Puan Sri pasti?"
"Ya, saya pasti."
"Kalau begitu, baiklah. Nanti saya akan maklumkan."
"Indah, kenapa balik lewat sangat ni?" Amran yang sedang bermain gitar di luar rumah ketika Indah pulang menegur. Dia lihat wajah Indah monyok tidak seperti ketika mereka berjumpa di pejabat tadi.
Indah menghampiri Amran lalu tubuh lelaki itu dipeluk dan dia menghamburkan tangisannya. Dia hanya mahu seorang teman untuk mendengar kala ini.
Amran terkejut namun akhirnya dia membalas pelukan Indah. Dia mengusap-usap rambut Indah. "Shhh... Jangan menangis. Cuba cerita dekat abang kenapa Indah menangis?" Indah meleraikan pelukannya.
"Abang jangan tanya apa-apa. Indah tak akan beritahu cuma sekarang Indah mintak tolong abang tenangkan Indah. Indah perlukan seseorang untuk melepaskan kesedihan ini."Amran terdiam.
"Macam mana abang nak tenangkan Indah kalau abang tak tahu apa masalah Indah."
Indah yang sedang kacau fikirannya menjeling Amran.
"Sudahlah, kalau abang tak nak tolong cakap sahajalah tak nak. Indah bukannya mintak abang buat yang bukan-bukan pun. Indah cuma mintak abang tenangkan Indah tapi itu pun abang tak boleh buat!"
Amran terkedu apabila ditengking begitu. "Kenapa dengan Indah ni? Selama ini tak pernah pun Indah biadab macam ini dengan abang?"
Indah merengus. "Abang penipu. Dulu abang cakap nak jaga Indah macam adik sendiri tapi sekarang bila Indah susah, abang langsung tak nak bantu. Indah benci abang! Indah benci semua orang!" Indah meninggalkan Amran yang bingung dengan semua itu.
PAGI ITU Indah bangun dengan perasaan yang pelik. Dia lihat Chae Young seperti takut-takut dengannya.
"Chae Young, what's wrong with you?"
"I think I should ask you that question. What's wrong with you last night?" Chae Young duduk di birai katil Indah.
Indah memegang dahinya. Kepalanya terasa berpusing mungkin kesan dia lewat tidur semalam. "Did I do anything wrong last night?"
Chae Young mengangguk. "I think you should say sorry to Amran."
Indah menepuk dahi. Dia baru teringat kisah semalam. Ah! Dia sudah gila semalam! Indah menyembamkan wajahnya ke bantal. "Chae Young, help me!"
Chae Young menepuk punggung Indah. "Hey! It is already 8. Hurry up or we are gonna be late for work." Indah mengangkat wajahnya dari bantal. Chae Young tergelak lalu dia membetulkan rambut Indah yang berserabai.
"Hurry up! Remember, we have an important meeting today."
Indah menepuk dahi lalu mula merengek. "Ahhh... I really forget about it. Hurry up!"
"You are the one that should hurry up. Look at me!" Chae Young menjerit kepada Indah.
Indah segera mengambil tuala di ampaian lalu masuk ke dalam bilik mandi. "Chae Young, call me if I take long time for bath." Indah memberi peringatan dari bilik mandi.
Chae Young tersenyum. Dia menolong mengemas katil Indah yang tidaklah bersepah mana.
Satu jam kemudian, mereka berdua sudah pun berada di bengkel menjahit. Chae Young yang berperanan sebagai penolong pereka fesyen sedang memberikan taklimat kepada pelajar seni reka yang datang menjalani praktikal di syarikat mereka.
Indah hanya mendengar Chae Young bercakap bahasa Korea. Dia faham dan boleh bertutur dalam bahasa itu namun apabila bersama teman-teman, dia lebih suka menggunakan bahasa Inggeris. Apabila memandang kumpulan pelajar itu, dia teringat pula kepada dirinya sewaktu zaman belajar dahulu.
"Now, I want to introduce all of you to the famous fashion designer in the world, Miss Indah Nur Sakinah! Give her a round of applause." Chae Young memperkenalkan nama penuh Indah dengan sebutan yang sedikit pelat.
Indah tergelak kecil. Dia melambaikan tangannya kepada kumpulan pelajar itu. "Hi! My name is Indah Nur Sakinah but you can call me Miss Indah. I am not so popular like what she said just now. I am still a minor in this industry." Indah memperkenalkan dirinya dengan penuh rasa rendah diri.
Kumpulan pelajar itu membuat bunyi. Ada juga yang bersiul. "You are my favourite fashion designer. You are my idol." Salah seorang pelajar perempuan yang memakai jumpsuit pink berkata kepadanya.
Indah tersenyum lebar. "Thank you very much. I am glad to hear that."
"Guys, for your information, Miss Indah are also our CEO." Chae Young memberikan informasi lagi.
"Guys, I have to go now since I have an important meeting. So before I leave, I want to say welcome to Infinity Style. I hope you enjoy your practical here and make sure you learn something new from our company. If you have a problem, just ask the senior fashion designer or you can go straight to me."
Indah memberikan isyarat kepada Chae Young. Mereka berdua keluar dari bengkel menjahit itu untuk menghadiri mesyuarat. Setiausaha mereka berdua mengekori dari belakang. Senyuman Indah mati apabila masuk ke dalam bilik mesyuarat.
"What are you doing here?" Puan Sri Maria tersenyum kecil. Nampaknya Indah memang biadab! Nasib baik bilik itu masih belum dipenuhi staf. Jika tidak maruahnya akan tercalar. Beraninya Indah mempersoalkan kehadirannya di situ!
Chae Young menolak bahu Indah sedikit. Dia rasa tindakan Indah seperti keterlaluan sedikit. "How are you, president? Long time no see."
Puan Sri Maria tersenyum dengan pertanyaan Chae Young. "I am fine. I busy with my activity in Malaysia."
Indah menjeling Puan Sri Maria yang sudah pun berdiri di sebelahnya dan Chae Young. "Kalau busy kenapa Puan Sri tak balik sahaja ke Malaysia?" Dia bertanya dalam bahasa Melayu supaya orang di sekeliling tidak faham. Tetapi Sally yang faham hanya menunduk sahaja. Dia sudah maklum akan masalah antara mereka berdua.
Puan Sri Maria memandang Indah dengan mata yang tajam menikam. "Kerana saya ada urusan di sini."
"Urusan apa? Urusan yang boleh tingkatkan lagi keuntungan syarikat Puan Sri?" Indah bertanya sinis.
Puan Sri Maria ketawa sinis. "Mungkin ya. Apa-apa pun kita tengok dahulu sejauh mana kebolehan dia membawa keuntungan kepada saya."
Indah menggigit bibirnya tanda geram. "Ya, mari kita lihat sejauh mana kemampuan dia. Mungkin suatu hari nanti Puan Sri sendiri yang akan melutut mengakui kemampuannya."
Indah membalas bicara itu dengan ayat yang penuh berbisa. Puan Sri Maria mengetap giginya. Hatinya sakit mendengar bicara Indah yang angkuh itu. "Kita tengok sahaja sama ada dia mampu menandingi saya ataupun dia akan menjadi seperti bayang-bayang pada saya."
Indah merengus kasar lalu menghenyakkan badannya ke kerusi yang terletak di kepala meja. "Please have a seat, president. The meeting will be start in 5 minutes." Indah berkata tanpa memandang Puan Sri Maria yang berdiri.
Chae Young segera menarik sebuah kerusi untuk Puan Sri Maria. "Have a seat, president."Subscribe to:
YOU ARE READING
Setulus Kasih Indah - Sakura Ria
RomanceTAJUK : SETULUS KASIH INDAH ISBN NO : 978-967-0657-66-0 JUMLAH MUKA SURAT : 544 BLURB "Kau rapat dengan anak aku kerana kau nak kesenangan hidup, bukan? Kau nak kikis semua kekayaan anak aku, betul tak?" Kerana terhutang budi, Indah Nur Sakinah terc...