MIKAYLA menghadap komputer di hadapannya.
Artikel yang ditaipnya sejak 15 minit yang lalu masih gagal
dirangka. Malah dia tersekat pada sebaris ayat yang tidak
mampu untuk disempurnakan. Kepalanya masih memikirkan
lelaki solja itu.
Sebaik mereka pulang dari kebun lavendar petang
itu, dia tidak berjumpa lagi dengan Dihya'. Sepanjang malam
Dihya' tidak muncul di rumahnya untuk makan malam.
Mungkin lelaki itu segan. Atau mungkin lelaki solja itu beli
makanan di luar. Atau merajuk? Takkanlah tisu sangat hati
lelaki solja itu hendak merajuk dengannya?
Keesokan paginya, Mikayla mendapat tahu Dihya'
sudah bergegas pulang bersama Amsyar. Lelaki itu sempat
berjumpa dengan ayah dan ibu. Walhal, dia ada sahaja di bilik
dan masih belum tidur. Takkanlah tak boleh ucapkan selamat
tinggal dengan cara yang lebih baik kepada dirinya? Dihya'
pergi begitu sahaja tanpa sepatah kata. Sakit pula hatinya.
Yang dia tahu, keretanya yang tersadai di RnR sudah terletak
elok di hadapan rumah ibunya pada pagi itu. Kata ibu,
Dihya' dan Amsyar yang bersusah payah mengambil kereta
Myvi berwarna putih pada malam sebelum mereka berdua
berangkat pulang. Sebab itulah, mereka berdua tidak muncul
di rumah pada malam tersebut.
Tak sempat nak ucap terima kasih. Sengaja nak buat
dia menanggung rasa bersalah sebegini rupa. Maklumlah,
layanannya yang dingin sewaktu pulang dari kebun lavendar
masih terkesan dalam hati. Lelaki solja tu memang, kan! Saja
nak buat dia teringat-ingat. Nombor telefon pun tak sempat
nak minta. Sakit pula hati dia ni.
"Hoi!" Elda mengetuk meja Mikayla dengan
tangannya sekuat hati. Dari tadi dia lihat gadis itu melamun
saja. Tidak pernah melihat Mikayla versi begitu. Takkanlah
tak baik lagi sakitnya?
Mikayla merenung tajam Elda yang tersengih-sengih
seperti kerang busuk. Kalau kena penampar memang sia-sia
persahabatannya dengan Elda selama ini. Dia mendengus dan
kembali menghadap komputer di hadapannya.
"Kau ni dah kenapa? Dari tadi aku tengok kau
termenung. Satu paragraph pun tak berjalan. Apa yang kau
taipkan tu? Apa masalah kau ni? Muka macam ayam berak
kapur?"
Elda menegur sambil tangannya laju mencapai sebiji
gula-gula di atas meja Mikayla yang sentiasa ada. Bukan dia
tak tahu, kawan baiknya tu memang ada hipoglisemia. Jadi,
memang dia standby benda yang manis-manis sekiranya dia
mula menunjukkan tanda-tanda hipoglisemia.
Mikayla memusingkan kerusinya menghadap Elda.
Dia memandang ke kiri dan kanannya. Elda turut mengikut
gerak-gerinya melihat ke kiri dan ke kanan. Risau. Dah kenapa
dengan Mikayla yang tiba-tiba kelihatan mencurigakan?
"Kau cakap dengan aku betul-betul. Kau dah buat
apa kali ini?" soal Elda terlebih dahulu sebelum sempat
Mikayla memulakan bicara.
Mikayla mencubit paha Elda.
"Kau dengar dulu apa yang aku nak cakap boleh tak?"
Geram dengan soalan bukan-bukan daripada rakannya itu.
Elda menganggukkan wajahnya. Kembali fokus
mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh Mikayla.
"Aku ada jumpa sorang lelaki ini. He is a soldier."
Mikayla mula berbicara. Elda merupakan temannya yang
paling rapat. Yang tahu segala cerita mengenai dirinya.
"Wow, a soldier! Menepati cita rasa kau tak?" Elda
mula tayang muka gatal.
Mikayla bersandar di kerusinya. Cuba membayangkan
lelaki solja itu.
"Dia... okeylah. Not bad." Mikayla mula
tersengih-sengih memandang Elda.
Elda sudah tidak keruan mendengar penjelasan
Mikayla.
"Baik kau cerita dengan aku cepat. Mesti hot gila,
kan? Aku tahu beb. Kau punya sengih memang lain macam.
Ceritalah lagi, wei!" desak Elda. Tidak sabar mahu mendengar
dengan lebih lagi mengenai lelaki solja itu.
"Dia yang selamatkan aku masa aku kena ragut hari
tu. Masa aku pengsan sebab hipoglisemia, dia juga yang bawa
aku jumpa doktor. Dan, dia yang bawa aku balik kampung
hari tu."
Elda macam nak gila mendengar cerita Mikayla.
Mikayla menceritakan dari awal hinggalah ke
akhirnya. Tiada satu babak pun yang tertinggal.
"Masya-Allah, sister. Romantik, dramatik dan
fantastik sungguh kisah kau. Mana nak jumpa lelaki macam
tu zaman ni. Lelaki macam Encik Ziyad tu berlambaklah, wei.
So, macam mana dengan kau sekarang? Kau contactlah dia.
Cakap terima kasih. Minta maaf sekali."
Mikayla menarik muka mendengar kata-kata Elda.
"Thank you for your advice, sister. Masalahnya, dia
pergi pun tak ada sepatah kata atau ucapan selamat tinggal.
Macam mana nak dapat nombor telefon dia? Aku rasa itulah
pertemuan terakhir aku dengan lelaki solja tu. So, takkan ada
second date dengan dia lagi lepas ni. Aku rasa macam dalam
mimpi aje bila jumpa lelaki macam dia."
"Kesian kau, Kay. Tragis, sadis dan forever alone
nampaknya kau lepas ni. Mungkin orang-orang macam Encik
Ziyad aje yang tinggal untuk orang macam kau."
Dengar saja nama Encik Ziyad, terus tegak tubuh
Mikayla. Terbayang Encik Ziyad yang poyo dan gila kuasa tu.
Terus sahaja menggelegak emosinya.
"Eh, mulut kau jangan nak choi sangat tau. Lelaki
macam tu layak makan penampar aku aje tau. Dia jangan
ingat ATSD ni company bapak dia, dia boleh buat ikut suka
hati. Tolonglah jangan sebut nama dia boleh tak? Dia tu
macam jin. Kau seru aje nama dia, memang muncullah dia
nanti. Semaklah dengar nama dia. Eh, kau ni pun!"
Mikayla melihat wajah Elda yang sudah berubah
kelat semacam. Keningnya cuba digerakkan untuk memberi
klu. Elda menggelengkan wajahnya. Dah cakap dah jangan
sebut nama lelaki itu. Memang pantang diseru. Ini semua
salah Elda. Mikayla tahu Encik Ziyad berada di belakangnya
kini. Dia bangun dari kerusinya dan memusingkan tubuhnya.
"Hi, dear. Elda, go back to your place. Please!" Encik
Ziyad mengeluarkan arahannya. Dia menatap wajah Mikayla
yang sudah lama tidak ditemuinya. Gadis idamannya di ATSD.
Elda mencicit kembali ke tempat duduknya. Tinggal
Mikayla seorang diri menghadap 'masalah' yang tidak
diundang.
"Dear, I dengar you sakit. Sebab tu you ambil cuti
hari tu. Macam mana keadaan you? Dah okay ke?"
Mikayla merenung Encik Ziyad di hadapannya.
Betul ke lelaki macam Encik Ziyad sahaja yang tinggal untuk
gadis seperti dia? Mikayla memejamkan matanya. Tidak! Tak
mungkin! Matanya dibuka kembali. Hanya Encik Ziyad masih
di hadapannya. Bukan lelaki solja itu.
Tiba-tiba Encik Ziyad mahu meletakkan tangannya
di dahi Mikayla. Namun pantas dia berundur ke belakang.
Cuba mengelak tindakan Ziyad.
"I okey aje. I kan dah masuk ofis. Itu bermaksud
I dah okey." Jawab Mikayla satu-satu. Tanda protes dengan
kelakuan Encik Ziyad.
Encik Ziyad menarik tangannya dan menyeluk
poket seluarnya. Dia merenung Mikayla. Kecantikan Mikayla
memang tiada tandingannya. Sudah lama dia menyimpan
perasaan terhadap gadis itu. Namun, Mikayla bukanlah gadis
sembarangan. Satu ATSD mengenali gadis lincah ini. Silap
percaturannya, dirinya juga yang malu.
"Lega I dengar you cakap macam tu. Come on, cakap
aje dengan I kalau bos you si Ajib tu bagi banyak sangat kerja.
Kesian you. Sampai jatuh sakit dibuatnya. Please, Kay. I akan
selalu ada untuk you. Kalau you ada apa-apa masalah. You
boleh beritahu I. I akan sentiasa support you, okey?"
Mikayla membalas senyuman Encik Ziyad dengan
tidak rela hatinya. Dia tidak mahu mencari apa-apa masalah
dengan Encik Ziyad seboleh mungkin. Dia hanya mencari
rezeki di sini dengan kudratnya sendiri. Dengan hasil
usahanya sendiri.
"Okeylah, I pergi dulu. Nak jumpa Tan Sri Tony
Fernandes. Ada lunch appointment dengan dia. Bye sayang."
Mikayla mengetap bibirnya. Geram! Suka hati dia
saja nak bersayang bagai. Sabarlah, Mikayla. Jangan sampai
mamat tu nanti makan penampar sudah. Masa tu, baru dia
tahu langit tinggi ke rendah.
Setelah Encik Ziyad hilang dari pandangan matanya,
Mikayla kembali duduk di kerusinya.
"Bye sayang." Ada sahaja suara-suara di belakang
yang mula berbunyi. Memang kena bahanlah. Dah tentu satu
ofis pasang telinga tadi.
Mikayla mengambil bantal kecil di belakangnya dan
membalingnya ke arah Elda. Dia tahu antara suara-suara
yang bersahut-sahutan dengan perkataan sayang adalah
Elda. Rakan-rakannya sudah mula berbunyi dan menyambut
panggilan sayang di antara satu sama lain. Macam ayam-ayam
di kampung sahaja. Yang seekor berkokok, ada yang jadi
tukang sambung. Kalau bab menyakat memang bagi kat
diaorang sajalah!
Elda mentertawakannya.
Mikayla hanya mampu menggeleng saja. Tiba-tiba
imej Dihya' melintas sesaat dalam ingatan. Ditarik nafasnya
panjang-panjang untuk beberapa kali. Bahaya ni! Dah kenapa
duk teringat kat orang yang tak ingat kat dia? Lintasan wajah
lelaki itu datang lagi dengan senyumannya yang menggoda.
Ah, sudah-sudahlah tu Kay!
Dua minggu kemudian...
MIKAYLA MENGELUH di ruang menunggu bilik siar raya
ATSD. Suka hati saja main batalkan penggambaran untuk
hari ini. Dah dekat sejam dia menunggu, baru nak beritahu
penggambarannya untuk slot khas berkaitan kes pendatang
asing di Melaka telah dirombak semula. Tak bolehkah
beritahu lebih awal? Macam-macam dia boleh buat hari ini.
Jam menunjukkan 3.30 petang. Sewaktu Mikayla
baru hendak bangun dari sofa berwarna merah hati tersebut,
telefonnya berbunyi. Sebaris nombor yang tidak dikenali
menghubunginya. Siapa pula ni? Mikayla tidak berfikir
panjang dan dia menjawab sahaja panggilan tersebut.
"Helo."
"Assalamualaikum, Cik Mikayla. Dihya' Alauddin di
sini."
Mikayla terkedu mendengar suara itu. Lelaki solja di
talian?
"Helo." Suara dia di hujung talian memanggilku
kembali ke alam nyata.
"Waalaikumussalam. Encik Dihya' apa khabar?"
Kedengaran suara garau dia di hujung talian
membuatkan Mikayla lega. Entahlah, lega yang tak dapat
digambarkan dengan kata-kata.
"Saya sihat. Awak? Sibuk tak?"
Mikayla menahan debar di dada.
'Untuk awak, saya sanggup buat-buat tak sibuk, tahu
tak?' Rasa macam telah berlaku keajaiban dunia yang ke-8
apabila Dihya' kembali menghubunginya. Ingatkan mereka
sudah terputus hubungan sampai bila-bila.
"Saya okey aje. Cuma sibuk sikit." Perbualan yang
agak kekok. Sepatah yang ditanya, sepatah dia menjawab.
"Tak outstation hari ni?"
"Biasalah, jadual kerja tak menentu. Kebetulan
hari ni saya memang ada di ofis. Nak ajak saya keluar, cakap
ajelah." Mikayla mula tersenyum-senyum.
"Oh, baguslah. Hmm, habis kerja pukul berapa ni?"
Dihya' bertanya.
Mikayla? Dah macam nak melompat-lompat saja
rasanya. Tapi, tak bolehlah. Buatnya akak kerani kat depan
bilik siar raya tu nampak cakap apa pula. Cepat-cepat Mikayla
menekan butang lif.
"Pukul 6 petang."
"Malam ni buat apa?"
Mikayla tergelak kecil. Begitu juga Dihya'.
"Awak nak ajak saya keluar ke?"
"Saya cuma nak ingatkan awak jangan merayau
seorang diri waktu malam."
Mikayla menelan air liurnya. Setepek Dihya'
mengenakan dia. Berjaya juga membuatkan dia malu sendiri.
Mati-mati diingatkan lelaki itu nak ajak keluar bila dah mula
tanya macam-macam. Sabar sajalah.
"Oh, terima kasih atas ingatan tulus ikhlas awak
tu." Mikayla menjawab dengan menekan suaranya tanda
geram. Eh, lambat pula lif ni nak sampai. Ditekan butang lif
berkali-kali dengan muka bosan. Bosan menunggu lif dan
semakin bosan dengan perbualan telefonnya dengan Dihya'.
Kedengaran suara Dihya' ketawa di hujung talian.
Mikayla pun sekali berjangkit tersenyum seorang diri
di hadapan lif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Mikayla
tergamam.
Dihya'! Lelaki solja itu muncul di hadapannya dengan
memakai seragam tentera. Masya-Allah, brother. Betulkah
lelaki solja ini ada di hadapannya? Ya, dia sememangnya
kacak. Cuma seragam tentera yang tersarung di tubuhnya
membuatkan dia berganda-ganda lebih kacak dan kemas
seperti selalunya.
Dihya' tersenyum di hadapannya. Matanya tepat
merenung mata Mikayla.
"Awak buat apa kat sini?" soal Mikayla. Terkejut.
"Saya kena jawab melalui phone jugak ke?" soal
Dihya' semula. Masih lagi dengan renungannya yang
menikam kalbu.
Mikayla ketawa. Cepat-cepat dia masuk ke dalam lif
dan mematikan telefonnya. Gembira tidak terkata melihat
Dihya' berada di hadapannya tanpa perlu diseru puja.
"Saya ada urusan jugak kat sini. Baru aje habis. Saya
teringat yang awak kerja kat sini, jadi saya cuba nasib aje.
Manalah tahu selebriti ATSD ni tak sudi nak jumpa saya lagi."
Mikayla ketawa lagi. Kemudian, dia mencebikkan
wajahnya.
"Takkanlah saya berani nak buat macam tu kat anak
'dara' angkat ibu saya ni?" sindir Mikayla.
Giliran Dihya' pula ketawa besar dengan usikan
Mikayla.
"Mana awak dapat nombor telefon saya?"
"Ibu awak yang bagi kat saya."
"Dan, baru hari ini awak nak call saya?" Mikayla
menampar perlahan lengan lelaki itu dengan fail di tangannya.
"Kerja nombor satu. Awak nombor dua."
Pergh, jawapan dia... padu sangat! Tak habis-habis
nak kenakan orang. Eeee, Dihya' ni kan! Entah mengapa
jawapan itu seakan menyejukkan hati Mikayla yang panas
membara sebentar tadi. Tak mengapalah dia yang nombor
dua. Asalkan nombor satu bukan perempuan lain. Hehehe.
"Jom keluar malam ni?"
Mikayla merenung mata lelaki solja itu. Macam tak
percaya lelaki itu sedang mengajaknya keluar.
"Ada orang pesan dengan saya jangan merayau waktu
malam." Mikayla sengaja mengenakan Dihya'.
"Merayau dengan saya, apa salahnya. Tak bahaya
pun. Kalau ada apa-apa yang berlaku saya boleh selamatkan
awak."
Mikayla tersenyum. Begitu juga Dihya'.
"Awak kena ambil saya malam ni. Jangan lambat!"
Mikayla memberi amaran sambil tersenyum manja.
"Yes ma'am. I will." Dihya' menjawab.
Mikayla memeluk failnya. Hatinya kembali
berbunga-bunga. Sebaik sahaja pintu lif kembali terbuka,
muncul Encik Ziyad. Terus berubah mood romantik sebentar
tadi menjadi tragis.
'Ah, masa macam inilah dia nak muncul!'
"Hi, dear. How are you? Susah betul nak jumpa you
dua tiga hari ni. Berapa kali dah I turun ofis you, tapi you
selalu tak ada. Frust tau. Nak kerja pun hati tak senang," ujar
Encik Ziyad.
Tolonglah jangan buat statement macam tu depan
lelaki solja ni, boleh? Nanti apa pula yang Dihya' fikir apabila
melihat semua ini. Mesti lelaki tu ingat dia pervert. Eh,
pervert tu melampau sangat. Takut nanti Dihya' ingat yang
dia perempuan jenis melayan. Aduh, Encik Ziyad ni kan!
"Saya sibuk. Kalau ada apa-apa, Encik Ziyad boleh aje
call, kan? Tak payah susah-susah sampai macam tu sekali."
"You tahu kan I ni dah lama..." Belum sempat Encik
Ziyad menghabiskan kata-katanya Mikayla menyampuk.
"Encik Ziyad, saya nak kenalkan seseorang dengan
Encik Ziyad. Kebetulan Encik Ziyad ada kat sini, biarlah saya
kenalkan lelaki kat sebelah saya ni. Nama dia Dihya' Alauddin.
Dia... bakal tunang saya. Kebetulan sangat-sangat dia ada
urusan di sini, sebab tu dia datang jumpa saya. Sweet kan dia
ni, Encik Ziyad? Saya terharu sangat-sangat. Bukan senang
nak jumpa dia ni. Lepas tu, suka sangat buat surprise macam
ni." Mikayla berkata-kata dalam satu nafas. Pantas namun
jelas.
Keadaan sunyi tiba-tiba. Encik Ziyad terdiam. Dihya'
hanya membisu. Mikayla mengerlipkan matanya beberapa
kali ke arah Dihya', cuba meraih simpati, mengharapkan
lelaki solja itu memahami tindakannya.
Harapannya tinggi. Ini sahaja peluang yang dia ada
untuk menyingkirkan Encik Ziyad buat selama-lamanya.
Sekurang-kurangnya apabila Encik Ziyad tahu yang dia sudah
berpunya, takkanlah lelaki itu nak ganggu dia lagi, kan?
Jadi, hidupnya akan lebih aman selepas ini. Tanpa gangguan
'memualkan' daripada bosnya itu.
Dihya' menghulurkan tangannya kepada Encik
Ziyad.
"Nama saya Dihya'. Encik Ziyad, bukan?" Dihya'
menyapa Encik Ziyad terlebih dahulu.
Encik Ziyad dilihat teragak-agak untuk menyambut
huluran tangan Dihya' Namun, akhirnya disambut juga
huluran salam perkenalan daripada lelaki yang memakai
seragam askar itu.
"Ziyad. Big boss Mikayla." Encik Ziyad
memperkenalkan dirinya. Bongkak. Seperti selalunya.
"Oh Encik Ziyad, saya Kapten Dihya'. Bakal tunang
dan bakal suami Mikayla," jawab Dihya' dengan senyumannya
yang manis menggula itu. Aww!
Waktu itu Mikayla tahu, ego Encik Ziyad pasti
menggelegak habis mendengar jawapan Dihya'.
'Nasib kaulah, Encik Ziyad. Rasa nak
melompat-lompat saja sambil menjerit yes, yes, yes!'
Pintu lif terbuka akhirnya.
"Jumpa lagi, Encik Ziyad. Jom, sayang."
Mikayla menelan air liurnya mendengar kata-kata
Dihya'. Sayang? Kata-kata yang mengundang senyum kelakar
di wajah Mikayla. Nak tergelak, tapi ditahan dengan senyum
ala sweet-sweet gitu. Kenapa real sangat lakonan Dihya' hari
ni? Namun, dia cuba untuk menahan perasaan ingin tahunya.
Cepat-cepat dia mengikut Dihya' yang sedang menunggu.
Encik Ziyad? Apa lagi, masam mencuka wajahnya ketika itu.
Pintu lif kembali tertutup dan Mikayla menarik nafas lega.
Dihya' menoleh ke arah Mikayla.
"Saya kena gerak segera. You owe me an explanation
for that!" ujar Dihya'. Tegas.
Mikayla mengangkat tabik hormat. Sungguh, dia
amat terhutang budi dengan pertolongan Dihya' kali ini.
Aman sudah hidupnya selepas ini. Moga-moga tiada lagi
gangguan daripada Encik Ziyad.
"Yes, captain. See you tonight. Don't be late okay!"
Dihya' mengangguk dan berlalu pergi. Sempat
tersenyum manja melihat telatah Mikayla.
Mikayla menghantar Dihya' pergi melalui
pandangan matanya. Fail di tangannya dipeluk kuat. Cuba
untuk menyembunyikan rasa hatinya. Renungan Dihya' yang
begitu memukau sebelum meninggalkan dia di sini. Pertama
kali dia melihat lelaki itu dengan uniform kerjanya. Segak.
Dan seperti yang dikatakan sebelum ini, Dihya' kelihatan
berganda-ganda kacaknya. Masya-Allah, brother!
YOU ARE READING
TQ Kapten! - Qash Irdina
RomanceTAJUK: TQ KAPTEN! PENULIS: QASH IRDINA HARGA : RM 24.00 (SM), RM 27.00 (SS) ISBN NO : 978-967-2185-15-4 BLURB: Mikayla Mirza atau Double M, si cantik jelita yang workaholic, aktif dan terkenal kerana kelincahan dan kepetahannya di hadapan kamera. Mi...