MIKAYLA menikmati minuman panas yang
dibawa oleh Elda dari pantri. Matanya yang mengantuk cuba
ditahan sejak pagi tadi. Menyampah sebenarnya kalau asyik
duduk di pejabat sahaja menyiapkan laporan dan artikel. Dia
lebih suka keluar mencari bahan berita daripada duduk saja
di pejabat begini membuatkan aktiviti berfikirnya tumpul dan
menambahkan lagi lemak-lemak di punggung. Ah, banyak
pula andaian-andaian karut di saat-saat begini.
"Kay, kau tak habis cerita lagi pasal 'bakal tunang'
kau tu. Cepatlah cerita kat aku," ujar Elda. Kerusi sudah
ditarik mendekati meja kerja Mikayla. Minuman panasnya
tidak dilupakan. Sudah tentu dia buatkan air untuk Mikayla
bukan saja-saja tapi bersebab. Semuanya sebab mahu korek
rahsia. Biar nampak 'bijak' sedikit perbincangan antara dia
dan Mikayla.
"Tak sempat nak bertunang, dah putus pun. Tak ada
apa nak cerita lagi." Mikayla sambung menaip di komputernya.
Dia tergelak kecil mengingatkan peristiwa semalam. Macam
mimpi saja dapat keluar sekali lagi dengan lelaki solja dan
macam mimpi juga kena 'tinggal' macam tu dengan lelaki
askar itu.
Elda tersedak. Terkejut mendengar jawapan Mikayla.
"Eh, takkan macam tu aje? Kau keluar dengan dia
kan malam tadi?"
Bukan dia tak tahu betapa menggelabahnya Mikayla
sewaktu bersiap hendak pulang ke rumah selepas bertemu
dengan lelaki solja itu di lif pejabat semalam. Betapa gembira
dan gediknya kawannya ketika itu. Mikayla dan 'bakal
tunang'nya itu berjaya mengenakan Encik Ziyad begitu saja.
Malah, lelaki solja itu telah mengajak Mikayla untuk keluar
berdua menikmati makan malam.
"Mungkin tu yang terakhir kut." Pendek sahaja
Mikayla menjawab. Jari-jemarinya berhenti menaip.
Bayangan lelaki solja itu melintas dalam mindanya beberapa
kali. Ada sedikit rindu yang mencarik-carik hatinya.
Elda seakan tidak mempercayai jawapan Mikayla.
"Aku tak percayalah. Kalau dah jodoh, tak ke mana.
Mulut aku ni masin tau. Aku dapat rasakan yang kau bakal
berkahwin di bawah rimbunan pedang. Dengan dia segak
memakai seragam putih dan kau pakai dress kembang
ala-ala princess. Confirm Encik Ziyad resign terus dari
ATSD. Hahahaha... Amanlah hidup aku lepas ni." Elda ketawa
seorang diri.
Mikayla melihat temannya yang senget itu
berangan-angan. Dia tersenyum mendengarnya. Bayangan
Dihya' kembali mengganggu. Terbayang Dihya' dengan
pakaian uniform tenteranya sewaktu bertembung dengan
lelaki itu di hadapan pintu lif.
"Aku tak rasa aku akan jumpa dia lagi," ucap Mikayla.
"Eh, mana tahu. Dunia ni luas terbentang. Kuasa
Tuhan menentukan segalanya. Kalau dah ditakdirkan kau
dengan dia, hujung dunia sekalipun kau akan bertemu
dengan dia semula. Yang penting bukan dengan Encik Ziyad!
Hahahaha..."
"Choi!!!" Mikayla dan Elda bergabung menyebut
perkataan yang sama.
"Semua! Ada meeting department sekarang. Encik
Ziyad panggil semua masuk meeting. Jangan lambat!" Ajib
membuat pengumuman dari pintu biliknya. Terdengar
keluhan semua. Termasuklah Mikayla dan Elda.
"Ini semua kau punya pasal. Siapa suruh kau sebut
nama dia!" marah Mikayla. Dia mula mencapai apa yang
patut di atas meja kerjanya. Mejanya dikemas ala kadar dan
dia mula bergerak bersama Elda menuju ke bilik mesyuarat.
"Lain kali tak naklah sebut nama dia. Kita kena cipta
satu nama khas untuk dia," ujar Elda sambal memperlahankan
suaranya.
"Nama khas?"
"Disebabkan dia tu menggedik semacam aje dengan
kau, aku namakan dia kucing jantan."
Meletus ketawa Mikayla. Okey, itu memang kelakar.
Elda menampar bahu Mikayla.
"Kucing jantan? Apa teruk sangat nama yang kau
bagi tu?" Mikayla menekup mulutnya.
"Yalah, kucing jantan kan meleset aje kerjanya.
Samalah macam dia tu. Sikit-sikit Mikayla, my dear. Meow!"
Elda membuat suara gatal si kucing jantan.
Tergelak-gelak Mikayla mendengarnya.
Semakin mereka menghampiri bilik mesyuarat,
suasana semakin sepi. Kelihatan Encik Ziyad sudah
menunggu di kerusi utama. Serius sahaja wajahnya. Mikayla
cuma buat tak tahu dengan renungan tajam bosnya itu.
Mesyuarat dimulakan dan semua perkembangan
dibincangkan untuk perancangan sempena bulan
kemerdekaan yang bakal tiba. Maka, beberapa rancangan
televisyen dirombak serba sedikit demi menyesuaikan konsep
kemerdekaan dalam rancangan yang bakal disiarkan. Malah
ada antara mereka sudah dikerah untuk mencari bahan
yang berkaitan dengan tokoh kemerdekaan dan menjejak
kembali tokoh-tokoh tak didendang dalam sejarah mencapai
kemerdekaan suatu ketika dahulu untuk ditemu ramah
tentang sejarah dan pengalaman mereka. Deadline sudah
ditetapkan dan masing-masing mula cemas memikirkan
tugasan mereka.
"Mikayla, awak akan take over slot Dokumentari
Perdana ATSD. Dokumentari Khas ATSD bersama dengan
Pasukan Elit Tentera Darat. Semua dah arrange. You akan
shoot di sana dan merasai kehidupan sebagai seorang tentera.
Well, I know you'll be happy to hear this. Since 'bakal tunang'
you tu pun pegawai tentera, bukan?"
Waktu itu, Mikayla tak tahu nak letak mukanya di
mana. Habis pecah rahsianya sekarang. Sudahlah, dia cuma
berpakat dengan Dihya' untuk menipu Encik Ziyad. Biarlah
cerita itu bermula dan berakhir antara dia, Dihya' dan Encik
Ziyad. Memang kedengaran klise. Yalah, idea dari novel
Melayu tangkap lentok yang berlambak di pasaran dan juga
drama Korea.
So what? Dah itu saja idea yang terlintas dalam
fikirannya pada waktu itu. Sekarang tengok apa yang dah
jadi. Tak pasal-pasal satu department dah tahu cerita yang
dia bakal bertunang. Tak sangka Encik Ziyad akan bertindak
sebegini. Sangkanya, lelaki itu akan makan hati dan terus
mengangkat kaki dari mengejarnya. Boleh pula Encik Ziyad
buka tembelangnya di dalam mesyuarat yang melibatkan
semua orang di dalam jabatannya. Ini namanya, bunuh diri.
Semua mata di bilik mesyuarat sedang memandang
ke arahnya. Pasti dia akan dihujani dengan persoalan tentang
bakal tunang yang tak sempat ditunangkan dengannya.
'Siapa bakal tunang you? Amboi, tak beritahu kita
orang pun? Bakal tunang you seorang pegawai tentera? Siapa
dia? Ceritalah sikit? Ada gambar dia tak? Kami nak tengok!'
Mikayla sudah mula membayangkan soalan-soalan yang bakal
ditanya oleh rakan-rakan sekerjanya.
Masaklah dia kali ini. Dihya' pun dah ke laut. Baru
semalam dia 'bergaduh' dengan lelaki itu. Macam mana kalau
Encik Ziyad dapat tahu tentang misi hubungan palsunya
bersama Dihya'? Inilah masalahnya bila dia banyak songeh.
Calling Captain Dihya' for back-up!
"Kay, boleh buat ke tak ni???" jerit Encik Ziyad ke
arah Mikayla. Bilik mesyuarat bagaikan dilanggar garuda.
Sunyi sepi tanpa suara.
"Boleh, Encik Ziyad." Lemah suara Mikayla
menyahut. Dia memandang Elda. Elda hanya mampu
tersengih-sengih memandangnya. Kenapa dia yang kena buat
dokumentari ni? Dokumentari tentang tentera pula tu. Tak
ada dokumentari lain yang lebih sesuai ke?
"Bagus. Saya tak nak dokumentari robot yang
common macam yang biasa kita tengok di televisyen.
Pengacara bercakap dan membebel dari belakang tabir. Saya
nak Kay join latihan ketenteraan yang disediakan di sana.
Biar penonton dapat rasa susah senang you untuk buat
dokumentari ni. So, saya dah panjangkan tempoh dari tiga
hari kepada seminggu. You akan join mereka makan, tidur
dan bekerja untuk tempoh seminggu," ujar Encik Ziyad
panjang lebar.
Mikayla memandang Encik Ziyad tidak berkelip. Dia
menoleh ke arah Elda yang berada di sebelahnya. Betulkah
apa yang didengarinya? Seminggu?
Elda menganggukkan wajahnya. Mengiakan apa
yang diucapkan oleh Encik Ziyad.
"Kahwin terus ajelah dengan 'bakal tunang' kau
kat sana, Kay!" sampuk Waliy di hujung sana dan disambut
dengan deraian tawa oleh rakan-rakannya yang lain.
Mikayla cuba berlagak tenang. Tidak mahu
kegusarannya dikesan oleh sesiapa. Jatuhlah egonya jika dia
naik marah atau melatah dalam situasi begini.
'Senyumlah manis-manis, Mikayla. Kau akan
menyahut segala cabaran yang diberikan dan hasilkan yang
terbaik dari setiapnya. Selagi kau boleh senyum kat sini,
senyumlah. Sebelum tugas kau bermula di Markas Tentera
Darat Kem Terendak, Melaka!'
DIHYA' MEMBUKA lokar miliknya. Uniformnya yang selesai
digosok digantung ke dalam almari. Sewaktu mengemas
lokarnya yang sedikit bersepah, gambarnya bersama dengan
Mikayla terletak elok di sebalik baju yang digantung. Diambil
gambar itu. Kelihatan seperti Mikayla tersenyum ke arahnya.
Dihya' tersenyum sendirian melihat gambar gadis itu yang
tersenyum manis di sisinya.
Teringat akan Mikayla, hatinya kembali terluka.
Tak adalah parah sangat pun. Cuma bisanya mencengkam
jiwa. Senyum itu menggamit perasaan rindu pada gadis itu.
Keterujaan Mikayla untuk bergambar di kereta Volkswagen
berlegar dalam fikirannya. Seakan terngiang-ngiang suara
gadis itu memanggilnya agar turut bergambar sekali
dengannya. Ah, Mikayla. Entah gadis itu teringatkan dirinya
sepertimana dia teringatkan Mikayla.
"Wah, kapten... saya kenal perempuan ni tau. Dia
selalu keluar kat TV. Gambar Double M ni. Cantiknya dia!
Macam mana kapten boleh bergambar dengan dia?" soal Jamal.
Tak sangka ketua mereka yang tenang dan cool bertemankan
gadis sehebat Double M. Ini baru betul diam-diam ubi berisi.
Dihya' cepat-cepat menyimpan gambar itu semula
ke dalam almari lokar miliknya. Namun, Amsyar yang datang
dari arah belakang sempat merampas bingkai gambar itu dan
berlari ke arah tengah Dorm Alpha 1. Kelihatan rakan-rakan
yang lain sudah mengerumuni Amsyar. Masing-masing mahu
mengetahui apakah rahsia yang sedang cuba disorok oleh
Kapten Dihya'. Lelaki yang cukup disegani dalam kalangan
mereka.
"Pergh! Tak sia-sia aku tinggalkan kau berdua
dengan Double M. Dapat kau berdating dengan Puteri
Gunung Irau seharian diselimuti kedinginan alam semula
jadi dan kehijauan hamparan daun teh di sebalik bukit."
Amsyar mengusik Dihya'.
Kata-kata itu disambut dengan sorakan daripada
teman-teman yang menghuni Dorm Alpha 1. Bangga kerana
lelaki sehebat Dihya' berjaya memiliki Double M yang amat
dikenali kerana kecantikan dan kepetahannya berbicara di
kaca televisyen.
Dihya' pantas mencapai gambar tersebut dari tangan
Amsyar. Mukanya sudah merah padam menahan malu.
Habis rahsianya pecah dan sudah diketahui semua penghuni
Dorm Alpha 1. Nama saja semuanya lelaki, mulut tempayan
masing-masing boleh tahan juga sebenarnya. Siapa kata
lelaki tak layak jadi kepochi? Inilah contoh-contoh yang ada
dalam Dorm Alpha 1.
"Gambar aje pun. Tak ada apa sangatlah." Dihya'
menjawab.
"Alamak, bunyi macam orang kecewa aje. Kapten
yang handsome segak bergaya macam ni takkanlah kena
reject dengan Double M kut? Come on, Double M tu. Dahlah
cantik, manis. Dia punya suara boleh buat kita tak tidur
malam dibuatnya."
"Kalau kapten dapat tackle Double M, kita orang lari
bawa guni pasir sambil nyanyi lagu Selamat Pengantin Baru
7 hari 7 malam untuk 50 round keliling dorm nanti," cabar
Jamal.
Amsyar menolak bahu Jamal. Bukan Amsyar sahaja,
malah yang lain turut melakukan perkara yang sama. Ada
yang mengambil bantal dan melemparkannya ke muka Jamal.
"Woi! Kau nak, buat sorang-soranglah. Jangan sebut
kita orang. Gilalah kau Jamal! Orang kahwin nak makan nasi
minyak dengan ayam masak merah. Kau makan gula pasir
nanti!" jerit Amsyar.
Yang lain ikut mentertawakan Jamal.
"Alah, macam kapten boleh dapat? Ini muka dah
macam ayam berak kapur aje ni. Confirm terkeluar pusingan
pertama," kutuk Jamal lagi.
"Double M tak nak pun tak apa. Kapten Emily dah
ada dalam senarai menunggu yang teratas." Ramli pula
menyampuk sambil berbaring di atas katilnya. Semua yang
ada di situ ketawa mendengar nama Kapten Emily.
Kapten Emily antara salah seorang pegawai wanita
yang cukup menonjol dalam bidang ketenteraan udara. Muda
dan putih melepak. Beliau terkenal dalam kalangan tentera
darat. Siapa sangka wanita yang mempunyai ketinggian
umpama model itu akan menyertai angkatan tentera. Kapten
Emily juga antara juruterbang pejuang wanita dalam bidang
ketenteraan.
Kehebatan wanita itu terserlah tatkala menyarung
uniform juruterbang dan G-suit untuk misi penerbangan.
Pernah menunjukkan kehebatannya memimpin sebuah
formasi pesawat Skyhawk yang dianggotai oleh juruterbang
lelaki dalam upacara sambutan hari kemerdekaan dan saat
tersebut adalah satu pencapaian bagi seorang juruterbang
wanita. Dan sehebat-hebat wanita itu, belum tentu dia dapat
menundukkan hati seorang lelaki bernama Kapten Dihya' bin
Alauddin.
"Tapi Double M lagi cantiklah. Kau pernah tengok
tak rancangan dia kat ATSD? Cantik gila dia tu. Mata bulat
macam anak patung. Dia punya senyum, bikin kencing
manis, tahu tak? Dia punya manja, lenggok dia... memang
meremang bulu roma. Aku pernah jumpa dia depan-depan.
Memang real punya cantik," back-up Amsyar.
"Kapten Emily pun cantik apa? Tinggi, lawa, bijak
dan antara yang paling power dalam team dia. Sama hebat
dengan kapten kita tau!" tambah Joe pula.
"Oi, kalau bercakap pasal perempuan... memang
hidup masing-masing ya? Kamu, Jamal! Dah cukup dah duit
nak kahwin dengan makwe kamu?" soal Dihya'. Garang.
"Belum, tuan!" jawab Jamal.
"Kamu, Amsyar. Duit hantaran dah cukup dah?" soal
Dihya' lagi. Kali ini, lebih garang.
"Sikit lagi, tuan!"
"Dah cukup ke belum?"
"Belum, tuan!" Amsyar menjawab dengan sepenuh
hatinya. Memang tak cukup pun. Huhu... siapa suruh tak
menjawab soalan?
"Joe, kamu dah berpunya ke belum?"
"Belum, tuan!" Perlahan sahaja jawapan Joe. Ada
yang sudah terbahak-bahak mendengar jawapan daripada
mulut Joe.
"Ramli, kamu dah mengantuk ke belum?"
"Belum, tuan!"
"Bagus. Sekarang kamu semua pergi dari Dorm
Alpha 1 sampai Dorm Delta 5. Buat 20 pusingan sambil bawa
bantal dan nyanyi lagu Tenda Biru. Beranganlah kau semua
kahwin dengan anak dara orang selagi duit tak cukup!" arah
Dihya' sambil berjalan ke arah lokar miliknya dengan gambar
di tangan.
Laju sahaja anak-anak buahnya kembali ke katil
masing-masing untuk mengambil bantal. Bantal diletakkan
di atas kepala dan masing-masing mula berlari keluar
dalam satu barisan panjang. Kedengaran lagu Tenda Biru
berkumandang di luar Dorm Alpha 1. Tak pasal-pasal kan dah
kena denda.
Kalau bab membahan, memang nombor satu
budak-budak ni. Suka sangat mengenakan dia. Dia pun tak
adalah jahat atau sengaja nak tunjuk garang dengan anak-anak
buahnya. Cuma, nak mengalih perhatian mereka daripada
terlalu membicarakan tentang dirinya dengan Double M dan
juga Kapten Emily. Cukuplah Double M. Jangan pula nak
disambung jodohnya dengan Kapten Emily. Dia dan kapten
itu hanyalah sekadar teman biasa. Tidak pernah dia menaruh
perasaan terhadap gadis itu.
Kedengaran nyanyian sendu anak-anak buahnya
mengelilingi dorm. Geli hatinya mendengar nyanyian
mereka. Cukup bersemangat dan penuh sikap setia kawan.Tanpa undangan, diriku kau lupakan
Tanpa utusan, diriku kau tinggalkan
Tanpa bicara, kau buatku kecewa
Tanpa berdosa, kau buatku merana
Ku tak percaya, dirimu tega
Nodai cinta, khianati cinta...
YOU ARE READING
TQ Kapten! - Qash Irdina
RomanceTAJUK: TQ KAPTEN! PENULIS: QASH IRDINA HARGA : RM 24.00 (SM), RM 27.00 (SS) ISBN NO : 978-967-2185-15-4 BLURB: Mikayla Mirza atau Double M, si cantik jelita yang workaholic, aktif dan terkenal kerana kelincahan dan kepetahannya di hadapan kamera. Mi...