MIKAYLA menekan butang merah pada
telefonnya mengakhiri panggilan telefon kepada ibunya.
Sempat bertanya khabar tentang ibu, ayah dan adik
kembarnya. Semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Usai
berbual ala kadar, dia memaklumkan kepada ibunya tentang
beberapa perkara dan perihal dirinya yang akan berkampung
di Markas Tentera Darat Kem Terendak, Melaka.
"Wah, sampai ke sana pulak kamu tu. Kamu
beritahulah dengan Dihya'. Mana tahu dapat jumpa dia kat
sana. Boleh dia tengok-tengokkan kamu," beritahu Puan
Maria.
"Ibu ni, kenapa pulak nak kena beritahu dia?
Cukuplah beritahu kat ibu. Itu lebih penting. Buat apa nak
beritahu orang asing macam dia? Lagipun, dia tu siapa?
Bukannya suami Kay." Mikayla menjawab. Kemudian dia
terdiam seketika. Tiba-tiba berasa bersalah pula bercakap
begitu dengan ibunya. Ah, itulah emosi sangat! Tak patut
langsung dia meninggikan suara terhadap Puan Maria.
"Sorry, ibu. Kay tak bermaksud nak cakap macam
tu. Maksud Kay, cukuplah doa ibu mengiringi perjalanan Kay
ke mana-mana sahaja. Itu lebih afdal."
Kedengaran tawa kecil Puan Maria di hujung talian.
"Kay, mana tahu kalau dia tu jodoh Kay yang dah
lama menunggu?"
Mikayla terdiam. Kata-kata ibunya begitu lembut
menusuk ke kalbu. Jarang ibu nak menyentuh soal jodoh
apabila berkomunikasi dengannya.
"Ibu, Kay dah nak gerak ni. Nanti Kay call ibu lagi ya.
Kirim salam semua kat rumah. Assalamualaikum ibu," ucap
Mikayla perlahan mengakhiri panggilan telefonnya.
Mikayla melihat pintu gerbang Markas Angkatan
Tentera Kem Terendak yang tersergam indah. Sampai
sahaja di pintu masuk, kata-kata hikmat sudah menyambut
kedatangan mereka terlebih dahulu.
Kedatangan anda tidak diundang,
jika ragu sila pulang
Meremang bulu roma membaca sebaris ayat yang
begitu 'garang' bunyinya.
Kelihatan gagah di luarnya dua orang lelaki yang
memakai seragam tentera di pintu besar. Melihat logo
ATSD di kenderaan mereka, laju sahaja kenderaan mereka
meluncur masuk ke dalam kem tersebut. Suasana yang
redup dengan pokok-pokok besar menghiasi di sepanjang
perjalanan mereka. Kelihatan ada kenderaan tentera yang
berselisih dengan mereka. Sudah terasa aura gagah dan setia
melihat mereka beruniform tentera.
Setelah memandu lebih kurang 5 minit, mereka
akhirnya membelok ke arah bangunan pentadbiran untuk
melaporkan diri dan bertemu dengan pegawai yang akan
memberikan serba sedikit taklimat dan prosedur sepanjang
berada di dalam markas tentera.
Mikayla, Waliy, dan Elda; hanya mereka bertiga yang
diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan dokumentari
kali ini. Yang lain berjaya mengelakkan diri dengan alasan
urusan keluarga dan sebagainya. Maklumlah, hanya mereka
bertiga yang bujang terlajak yang tidak lain dan tidak bukan
antara yang paling sesuai memikul tanggungjawab sebegini.
Sebabnya, orang bujang dikatakan tak ada tanggungjawab
dan tiada komitmen terhadap keluarga. Yalah, orang yang
dah berkahwin sajalah yang ada anak bini. Lame excuses!
"Saya dapat arahan dari pihak pengurusan yang kamu
akan menjalani rutin harian seperti seorang anggota tentera.
Jadi, saya harap kamu boleh agak rutin yang bagaimana
akan kamu lalui sepanjang tujuh hari kamu di sini. Di sini
kamu akan merasai beberapa aktiviti fizikal tentera di kem
komando yang dilakukan setiap hari untuk mengekalkan
stamina dari segi fizikal dan mental serta sentiasa bersedia
untuk menghadapi musuh negara. Lagipun, bos kamu
mahu fokusnya untuk latihan askar lelaki. Sepatutnya, dia
hantarlah wartawan lelaki. Ini dihantarnya yang perempuan.
Pelik jugak saya rasa. Tapi, tak apalah. Sekarang perempuan
pun boleh buat semua, kan? Apa yang lelaki buat, perempuan
pun boleh buat. Betul tak?"
Mikayla hanya tersenyum mendengar celoteh itu.
Semuanya Encik Ziyad punya penangan. Disebabkan lelaki
itu, dia kena berada di sini. Terpaksa juga mengikut arahan.
Sabar sajalah.
"Disebabkan kamu sampai pun dah petang. Jadi,
jumpa kamu masa roll call nanti. Saya akan kenalkan kamu
dengan pegawai yang akan berurusan dengan team kamu
secara terus. Sekarang ni, dia tak ada. Dia bawa budak-budak
dia training sampai jam 6 petang nanti. Kamu berehatlah
sementara boleh ni. Jangan lupa ambil selimut, cadar putih
dengan kelambu hijau. Tak ada tilam empuk macam kat
rumah kamu di sini ya."
Mikayla tersengih sahaja mendengar kata-kata
Sarjan Malik. Sengaja nak menakut-nakutkan mereka
kut. Selesai mendengar beberapa perkara daripada Sarjan
Malik, mereka diberikan tempat penginapan. Mikayla dan
Elda ditempatkan di rumah tetamu. Beria-ia Sarjan Malik
memberikan penerangan kononnya tiada tilam yang empuk.
Sampai sahaja di rumah tetamu, okey saja semua. Layanan
first class! Manakala, Waliy akan ditempatkan blok lelaki.
Yang ada cuma sebuah katil bujang, sebuah lokar dan sebiji
bantal.
Masa berlalu begitu sahaja dan tepat jam 6 petang
loceng dibunyikan. Waktu makan malam! Yeay! Tak sabar
pula nak pergi makan. Perutnya tetap lapar seperti biasa
walau berada di mana saja.
Sebaik sahaja memasuki ruang dewan makan di kem
tersebut, Mikayla sudah dapat melihat deretan manusia yang
sudah beratur untuk mengambil makanan masing-masing.
Wah, ada yang lebih pantas daripada Mikayla? Hehe... okeylah
kan. Kiranya bukan dia seorang sahaja yang lapar di sini.
Tapi, askar-askar ini lapar kira logiklah kan, setelah seharian
bekerja keras. Bukan seperti Mikayla; duduk sekejap, bangun,
buka laptop, kumpulkan bahan, cari idea, buat repot. Lepas
tu, kebulur macam tak makan sepuluh hari.
Sudah kedengaran siulan-siulan nakal apabila
Mikayla memasuki dewan makan. Ada yang sudah
tersengih-sengih memandang dan cuba menegur. Mikayla
hanya mampu tersenyum. Dia sudah biasa dengan reaksi
begini. Dan dia sudah diingatkan agar tidak melayan aksi-aksi
nakal daripada mereka di sini. Biarkan seperti angin lalu.
Mereka hanya ingin menghiburkan hati yang barangkali
gusar dan sedih berjauhan dengan keluarga. Ada juga yang
mungkin kepenatan dengan latihan yang dilalui saban hari.
Makanan diambil melalui tray yang disediakan dan
lauk-pauk yang disediakan sememangnya menyelerakan.
Kemudian, Mikayla bersama dengan tray di tangan menuju
ke tempat air minuman.
Sewaktu matanya melilau mencari ruang tempat
kosong, matanya menangkap satu susuk tubuh di hadapannya.
Pandangan matanya bertembung dengan lelaki yang memakai
uniform tentera di hadapannya. Terasa dirinya begitu kerdil
saat itu. Entah di mana hendak disorokkan wajahnya.
Seluas-luas muka bumi Malaysia yang berlekuk-lekuk ni,
kenapa dia harus bertemu dengan Dihya' di sini? Tidak dapat
digambarkan perasaannya ketika itu.
'Nak tegur ke tidak? Adui! Okey, buat cool aje. Biar
dia tegur kau dulu, Mikayla.'
Namun, sangkaannya meleset dua ratus peratus.
Dihya' hanya berjalan melepasinya seperti tiada apa-apa yang
berlaku antara mereka. Macam tak kenal langsung! Pergh!
Pergh! Pergh!
"Weh, Kay. Kau nampak tak mamat yang baru lepas
sebelah kau tadi? Handsome gila!" bisik Elda.
Mikayla menoleh.
"Ada orang lalu ke sebelah aku tadi ke? Mana ada.
Hantu kut!" tempelak Mikayla. Geram. Berani dia buat tak
tahu dengan Double M. Ini macam ke Puan Maria nak suruh
dia call mamat tu? Jumpa macam ni pun buat tak kenal. Nak
suruh tengok-tengokkan dirinya? Macam tak mungkin saja.
'Ya Rabbi, sakitnya hati. Arghhh!'
"Eh, kau ni. Muka aje cantik, tapi rabun macam
ayam. Aku tengok punya handsome sampai nak senget bahu
aku. Dia boleh tak nampak? Huh!" Elda membebel. Sabar
dengan kawannya itu.
Mikayla menyuap makanan dengan sakit hati.
Matanya melilau mencari bayangan Dihya'. Hampa. Tiada
bayangan lelaki itu di mana-mana. Hanya sekali-sekala
matanya bertemu dengan pandangan mata lelaki-lelaki
solja yang tersenyum-senyum ke arahnya. Dia kembali
memandang nasi di dalam tray. Ah, susahlah macam ni.
Macam mana nak tempuh hidup selama 7 hari di sini? 7 hari
saja kut. Tapi seakan semakin lambat meninggalkan setelah
pertemuan mengejutnya dengan Dihya'. Hmmm...
Roll call, 10.00 malam...
MIKAYLA DUDUK menanti dengan sabar. Dewan sudah
dipenuhi dengan ramai orang. Semuanya askar-askar
lelaki. Yalah, dah namanya pun berada di Kem Komando.
Memanglah semuanya lelaki. Mana ada perempuan. Segan
juga dibuatnya. Waliy pula sibuk merakam dengan kameranya
dari arah depan. Elda? Tengah layan soalan cepu cemas dari
kiri kanan depan dan belakang. Mikayla cuma tenang sahaja
menanti roll call dimulakan. Selalunya roll call adalah
perbarisan malam. Namun, malam ini agak istimewa kerana
meraikan kedatangan tetamu istimewa. Roll call diadakan di
kawasan dewan.
Tiba-tiba Amsyar datang mendekati.
"Hai, Kay."
"Eh, Am! Kat sini ke?"
Amsyar menganggukkan wajahnya. Teruja dengan
kedatangan Mikayla.
"Tak sangka dapat jumpa Kay kat sini. Kalau nak
bantuan apa-apa, beritahu kat Am tau. Am sedia berkhidmat!"
beritahu Amsyar. Siap angkat tabik sekali. Dia amat terhutang
budi dengan Mikayla sekeluarga. Malah, dia mendapat layanan
yang amat mesra dan begitu baik daripada keluarga gadis itu.
Pada masa yang sama, dia berharap hubungan antara Mikayla
dan Dihya' akan menjadi dan mempunyai perkembangan
yang positif. Kedua-duanya sepadan dan amat sesuai apabila
bergandingan bersama.
"Janji tau, jangan buli Kay kat sini!" Mikayla
tersenyum.
Tidak lama kemudian, semua yang berada di dalam
dewan berdiri tegak. Mikayla juga ikut berdiri. Dia melihat
seorang lelaki yang melangkah masuk ke dalam dewan.
Mikayla cuma mampu bertenang. Dihya' merupakan pegawai
bertugas yang dinanti-nantikannya sejak petang tadi. Nak
cemas-cemas pun tak guna lagi. Lelaki solja itu dah berada di
depan mata. Tak sanggup pun kena hadap juga.
Mikayla kembali merenung lelaki solja itu. Ada satu
perasaan yang begitu halus menyelinap ke dalam hatinya.
Entahlah nak digambarkan bagaimana. Terasa begitu sukar
sekali saat matanya bertembung dengan pandangan Dihya'.
Cepat-cepat ditundukkan wajahnya.
Apabila semua dibenarkan untuk duduk, Amsyar
yang duduk di belakang Mikayla berbisik perlahan.
"Kay, kenal tak abang kacak kat depan tu?"
Mikayla mencampakkan gumpalan gula-gula di
tangannya ke arah belakang. Berharap ia mengenai Amsyar.
Tiba-tiba Dihya' menjerit kepadanya.
"Kamu yang main-main kat situ, bangun!!!"
Seluruh dewan sunyi sepi. Berderau darah Mikayla.
Takkanlah Dihya' menjerit kepadanya? Orang lain kut. Bukan
dia. Bukan dia...
"Kamu, yang rambut panjang tu."
Tepat mata Mikayla memandang ke arah Dihya'.
Dia tahu dirinya yang dimaksudkan oleh kapten itu. Dah
dikatakan semua lelaki solja di sini, jadi mereka semua
berambut pendek. Rambut Elda pun tidaklah sepanjang
rambutnya. Hanya dia sahaja yang berambut panjang di sini.
Hanya Mikayla okey!
"Bangun!!!" jerit Dihya' lagi.
Mikayla bangun daripada duduknya. Cuba
menenangkan perasaannya. Cuba bertentang mata dengan
lelaki solja itu.
"Apa yang saya sampaikan tadi? Boleh ulang semula?"
Serius wajahnya. Satu sisi dirinya yang tidak pernah dilihat
oleh Mikayla sebelum ini. Garang.
Mikayla menelan air liurnya. Sememangnya dia tidak
menumpukan perhatian tadi. Tiada cara lain lagi selain...
"Maafkan saya, tuan. Saya tak dapat jawab soalan
tuan." Jujur sajalah yang memang dia tak menumpukan
perhatian tadi.
"Hormati orang yang sedang bercakap atau sedang
menyampaikan maklumat."
"Baik, tuan." Mikayla menundukkan wajahnya.
Malas mahu memandang wajah Dihya'. Dia duduk kembali di
tempat duduknya.
"Saya tak suruh awak duduk pun." Dihya' bersuara
lagi. Kini, semua mata tertumpu kepada Mikayla.
Cepat-cepat Mikayla bangun semula. Dalam hatinya
dah melatah dek sergahan Dihya'. Terperanjat Boboi!
"Maafkan saya, tuan. Lain kali saya tak buat lagi ya.
Maklumlah, budak baru belajar."
Mikayla menghadiahkan satu senyuman paling
manis buat Dihya' dengan lenggok suara yang paling manja.
Kedengaran ada siul-siulan nakal berbunyi-bunyi di belakang.
Sengaja Mikayla mengeluarkan suaranya yang begitu. Mahu
mengenakan lelaki solja itu. Buat-buat nak tunjuk garang
dengannya pula. Takkanlah masih marah dengan dirinya
kerana kes tempoh hari? Takkanlah tak boleh bagi muka
langsung?
Dihya' berdeham beberapa kali cuba meredakan
anak-anak buahnya yang mula mengada-ada seperti ulat bulu
naik daun.
"Jadi, jangan main-main! Awak berada di tempat
saya, maka ikut cara saya. Di sini, kerja nombor satu. Perkara
lain nombor dua."
"Baik, tuan!" jawab Mikayla dengan bersemangat.
Walaupun kata-kata itu seperti pernah didengari
sahaja sebelum ini, namun kerana tidak mahu terus dileteri
sebegini, dia harus mengikut rentak Dihya' iaitu mahu dia
menjadi seorang yang mendengar arahan. Dan, tindakannya
itu terus mendapat tepukan semangat daripada rakan-rakan
solja yang lain. Ah, terus rasa bersemangat yang lain macam.
Seronok pula perasaan begini. Rasa begitu dihargai. Benar
juga seperti yang dikatakan semangat setia kawan dengan
tentera sememangnya tidak dapat dipisahkan.
"Cik Mikayla akan bersama dengan kita untuk
tempoh 6 hari lagi. Dia akan membuat latihan bersama
dengan kita dan segala rutin harian kita. Saya berharap kita
semua dapat memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada
Cik Mikayla dan pasukannya. Cepat dia selesai di sini, cepat
dia balik."
Ayat di hujung itu mengundang tawa daripada
anak-anak buah Dihya'.
'Layankan saja, Mikayla. Dia nak balas dendam tu.
Nampak sangat, asyik kenakan kau saja sejak tadi. Oh, tak
puas hati punya kes nampaknya ni. Bring it on, Captain
Dihya'!'
Roll call tamat akhirnya. Semua sedang beredar
keluar perlahan dari dewan menuju ke kamar masing-masing.
Dihya' datang mendekat setelah puas mengenakan dia
sepanjang satu jam yang berlalu. Eleh, ini Mikayla okey!
Takkan mengalah hanya kerana layanan 'keras' daripada
Kapten Dihya'.
"Ini ada beberapa info dan itinerary bermula esok.
Kalau ada apa-apa boleh tanya atau maklumkan kepada saya."
Mikayla menyambut dokumen yang diserahkan
oleh Dihya'. Wajahnya disenyumkan semanis-manisnya ke
arah lelaki itu. Namun, tiada segaris senyum pun di wajah
lelaki solja itu. Ecece! Cover macholah tu. Takkanlah kerana
peristiwa 'berbalah' di dalam WhatsApp tempoh hari masih
terkesan dalam hati lelaki itu? Buat relaks sudah. Mana pergi
sikap lelaki itu yang begitu menyenangkan sewaktu mereka
bertemu dahulu? Charming yet sexy! Ah, tiba-tiba hari ini
jual mahal.
"Terima kasih, kapten. Nasib baik ada kapten yang
baik hati sudi membantu kami di sini. Ada apa-apa lagi?"
Giliran Mikayla pula bertanya dengan mengada-ada.
Dihya' hanya menggelengkan wajah.
"Saya minta diri dulu, kapten." Mikayla sempat
menjeling Dihya'. Sengaja menunjukkan perasaannya
di hadapan lelaki itu. Sesungguhnya dia protes dengan
'ketegasan' yang ditunjukkan oleh Dihya' sebentar tadi. Dia
tahu lelaki itu dapat menangkap jelingannya itu. Biar dia
rasakan!
"Mikayla!"
Dihya' memanggil namanya. Mikayla sudah
tersenyum tanda kemenangan. Bukan susah sangat nak
psiko lelaki solja ni. Baru kena jeling sikit, terus dah angkat
bendera putih. Tak susah pun nak tundukkan lelaki askar ini.
Baru kena jeling sikit tu. Belum dilemparkan senyuman yang
manis atau flying kiss ala-ala Miss World. Hahaha...
Dengan bangga Mikayla menoleh. Tidak sabar
menunggu ucapan 'maaf' daripada lelaki itu. Dia pun tak adalah
nak berkira sangat. Dia main-main saja tadi. Harapannya, dia
dan lelaki solja itu bolehlah berbaik semula seperti dahulu.
Tak mahu ada situasi yang tegang seperti ini. Boring dan
penat nak bermain dengan emosi yang dibuat-buat. Mesti
best kalau masa-masa dahulu dapat dikembalikan seperti
sediakala. Bergurau dan usik-mengusik seperti dulu.
"Ada apa, kapten?" Senyum manis-manis Mikayla.
Tak sabar nak tunggu jawapan daripada Dihya'. Teruja.
Dihya' menunjukkan ke arah kaki Mikayla.
Mikayla melihat selipar di kakinya. Apa masalahnya?
Dia kembali memandang wajah Dihya'.
"Tolong jangan pakai selipar jamban awak tu lagi.
Saya tak nak tengok selipar awak tu masuk dalam dewan ni
lagi. Kalau saya nampak awak pakai lagi selipar jamban tu,
saya akan buat selipar tu jadi anting-anting kat telinga awak.
Faham?"
Merah padam muka Mikayla ketika itu. Selipar
jamban? Anting-anting? Sangkaannya meleset jauh sama
sekali. Dihya' memanggilnya hanya bertujuan untuk
mengenakan dia sekali lagi. Lelaki itu memang takkan
lepaskan dia agaknya!
Dihya' meninggalkan Mikayla yang terpinga-pinga.
Mikayla hanya membiarkan sahaja lelaki itu berlalu
melintasi bahunya. Sempat dia menoleh ke arah kapten itu.
Geram! Kalau dapatlah mamat tu kat dia, memang dah kena
sekeh-sekeh muka yang handsome tu; muka sombong; muka
berlagak tahap dewa tu. Mentang-mentanglah ni tempat
Dihya', suka hati saja Dihya' buat dia macam ni. 'Ibu!!!
Tengoklah anak 'dara' angkat ibu ni. Dia buli Kay!'
Elda dan Waliy tersengih melihat gelagat Mikayla.
Masaklah Mikayla nak bertahan macam ni untuk 6 hari lagi.
Hari ni saja dah kena kaw-kaw dengan kapten itu. Nasib
badan!
YOU ARE READING
TQ Kapten! - Qash Irdina
RomanceTAJUK: TQ KAPTEN! PENULIS: QASH IRDINA HARGA : RM 24.00 (SM), RM 27.00 (SS) ISBN NO : 978-967-2185-15-4 BLURB: Mikayla Mirza atau Double M, si cantik jelita yang workaholic, aktif dan terkenal kerana kelincahan dan kepetahannya di hadapan kamera. Mi...