MASAKAN tengah hari sudah siap. Dapur
pun sudah kemas. Pakaian kotor semua sudah didobi. Tiba
masanya untuk aktiviti dirinya sendiri. Pinggan dicapai, nasi
yang baru masak disenduk ke dalam pinggan. Ikan sardin
goreng, kubis masak lemak turut diletakkan dalam pinggan.
Surat khabar diambil lalu ditutup pinggan berisi nasi tadi.
Tuala dicapai sebelum dia melangkah keluar ikut
pintu belakang. Bibir Mariam mengoyak senyum. Melihat air
sungai yang mengalir perlahan membuatkan dia teruja untuk
terjun ke dalam sungai. Memandangkan air tidak pasang, jadi
paras kedalaman air hanya di paras lututnya sahaja.
Surat khabar dibuka dan dibentangkan di atas tanah.
Dia pandang nasi yang masih panas itu dengan berselera. Ini
bukan kali pertama dia makan di sungai. Percayalah makan
nasi di sini sungguh menyelerakan. Ditemani angin sepoi
bahasa. Bunyi sungai yang mengalir. Bunyi burung berkicau.
Itu merupakan elemen yang membuka selera. Silap hari
bulan seperiuk nasi pun dia boleh habiskan.
"Hah!" sergah satu suara tiba-tiba.
"Uhuk! Uhuk!" Mariam tepuk dadanya. Perit tekak
dan dadanya dek tersekat nasi.
'Siapalah yang biul sergah aku macam ni. Nak juga
aku selam dalam sungai ni!'
Dzulfahmi mencangkung di hadapan Mariam tanpa
rasa bersalah. Ikan sardin goreng dicubit masuk ke dalam
mulut. Kemudian sayur kubis pula dicuit sedikit. Lapar
pula perut dia tengok nasi Mariam. Terangguk-angguk dia
menikmati. Muka bengang Mariam diabaikan. Pandai juga
Mariam masak ek. Sedap!
Tanpa berfikir panjang, Mariam betulkan kakinya
menolak Dzul sehingga tergolek ke dalam sungai. Dia
tersenyum puas hati.
"Weh!" Muka tidak puas Dzul tayang. Alah, dia bukan
nak mandi pun. Tadi saja-saja ambil angin intai burung.
Ingatkan mahu asah skill melastik hari ini. Tapi lain pula
jadinya. Habis lencun baju dan seluar. Haih!
"Apa weh-weh? Padan muka kau! Datang tak
bersalam, main sergah aje. Kalau aku mati tercekik tadi
macam mana? Lepas tu makan makanan aku tak minta izin.
Huh! Betul ke kau ni anak Mak Gayah dengan Pak Mail? Jauh
beza perangai kau dengan orang tua kau," kutuk Mariam
selamba lalu menyambung kembali suapan yang terhenti
tadi. Lagi sikit nasinya mahu habis.
"Ikan masin pun boleh makan. Sayur keras tawar.
Huh! Ini kalau kahwin mahu suami lari cari lain," bidas Dzul.
Sebab geram ditolak Mariam itu yang dituturkan. Ingat tadi
mahu memuji, tapi lain jadinya apabila sudah geram.
Pergh... berdesing telinga Mariam mendengar
kutukan Dzulfahmi. Pinggan di tangan dipegang kemas.
Sebelah lagi mencekak pinggang. Matanya mencerlung ke
arah Dzulfahmi yang sedang berendam dalam sungai.
Dzul menjeling manja. Muka tak bersalah ditayang.
Langsung tidak terkesan dengan muka bengang gadis itu.
Lagi dia suka adalah.
Mariam angkat pinggan. Mata kiri ditutup. Fokus
kepada sasaran di hadapan. Apa nak jadi, jadilah. Yang dia
tahu sakit hatinya ini perlu dilepaskan. Baru sahaja dia
hendak lempar pinggan itu, muncul Fatihah dan Yunus
meluncur laju ke arahnya.
"Mariam!" jerit Fatihah dengan nafas
tercungap-cungap.
Terangkat kening Mariam. Dari mana minah ni
datang?
"Lufahmi!" jerit Yunus pula.
Mariam kemam bibir. Lagi dahsyat panggilan Yunus
untuk sahabat sehidupnya itu.
Dzulfahmi menjeling maut.
'Nasib baik kau kat atas aku kat bawah, kalau tidak
memang habis lidah kau aku sental.' Itulah syarat jelingan
maut Dzul.
Yunus tutup mulut. Alahai, terlepas cakap der...
"Kau orang ni kenapa? Kena kejar dengan hantu
ke?" tegur Mariam. Pinggan tadi diletakkan atas tanah.
"Cabulnya mulut kau. Kita kat sungai ni." Fatihah
memeluk tubuhnya. Seram. Sudahlah sungai ni banyak
pokok buluh. Bukan ke...
Menggigil tubuh Fatihah. Jelingan tajam dihadiahkan
buat sahabat. Biul punya Mariam!
Mariam sengih. Geli hati dengan tingkah sahabatnya
itu. Penakut! Anak matanya kembali memandang alur sungai
yang mengalir tenang. Ketenangan itu menggoda hatinya.
Terasa dirinya dipanggil untuk melompat ke dalam sungai
tersebut.
"Saja aje. Suka-suka. Hahaha..."
Jawapan Yunus yang tidak berapa nak lawak tu
disambut senyum senget oleh Dzul. Matanya beralih kepada
Mariam yang seperti sedang bersedia. Untuk apa? Itu
yang dia sedang analisa ketika ini. Senyuman di bibir itu
mencurigakan.
Tanpa mempedulikan bebelan Yunus dan Fatihah,
Mariam berlari dan...
Boom!
"Yahoo!" Mariam melompat masuk dalam sungai.
Betul-betul di hadapan Dzul. Percikan air yang besar
melimpah hingga ke atas darat. Dan yang paling kasihan
Dzullah. Terpaksa menghadap percikan air bak bah itu.
"Uhuk! Uhuk!" Dzulfahmi batuk. Air yang masuk ke
dalam mulut dan hidungnya membuatkan dia lemas. Merah
hidungnya.
Mariam menjauh. Gila nak dekat, cari penyakit
namanya! Yunus dan Fatihah pula sudah melambak tawa.
Giginya dikacip kuat. Boleh tak kalau dia mahu
selam nyum nyum ni dalam sungai ni? Hesy, benci betullah!
"Kau orang ni kan, asal jumpa aje gaduh. Macam
panjang aje jodoh kau orang," komen Yunus sebelum masuk
ke dalam sungai diikuti Fatihah.
"Betul," sokong Fatihah dengan kepala
terangguk-angguk.
"Hah? Aku dengan Dzulapah ni? Huh! Jauh panggang
dari apilah. Simpang malaikat 44, tahu!" Mariam mencemik.
Jodoh? Sepanjang hidupnya tidak pernah dia serius
tentang itu. Buat apa mahu serius? Dia masih muda kut.
Impian dan cita-citanya masih jauh lagi.
Setakat untuk bersuka ria menambah stok koleksi
teman tapi mesra itu berlambaklah. Bukanlah nak perasan
tapi itulah hakikatnya. Boleh dikatakan dialah ratu di
kampung ini. Sebahagian daripada anak muda kampung ini
pernah 'cinta monyet' dengannya.
Pengalaman bercinta pada usia yang muda ini,
banyak! Ada manis dan ada pahitnya. Pengalaman! Yang indah
tentang ini adalah pengalaman. Bak kata orang; pengalaman
adalah guru terbaik untuk seorang insan. Untuk manusia
yang sering lupa dan lalai.
"Helo! Kalau kau tak ingin aku sejuta kali tak ingin
tau!" Dzulfahmi menyelam kemudian dia timbul kembali.
Terasa hatinya dengan kata-kata gadis itu. Simpang malaikat
44? Jahat sangatkah dia ini? Nakal saja lebih tapi hati dia
baiklah!
"Weh, kau orang jangan jual mahal tau. Tu, kau
tengok Kak Ana dengan Abang Mie. Dulu diaorang bukan
main lagi tahu bercekau aje. Depan mata aku diaorang
wrestling tau. Tup-tup sekarang... haa, anak dua kau! Itulah,
orang tua selalu sangat cakap, jangan terlalu benci nanti
bertukar sayang." Panjang lebar Yunus bermukadimah. Erk,
ya ke mukadimah?
"Betul tu, aku sokong. Aku pun dah selalu sangat
dengar ayat tu. Klise tapi hakikat kut. Banyak bukti yang
sudah jelas kita dapat lihat," celah Fatihah pula.
Buntang mata Dzul dan Mariam pandang dua
sahabat baik mereka itu. Tidak percaya yang kata-kata itu
semua keluar dari mulut dua manusia yang sama bengong
dengan mereka. Dan yang paling tidak percaya, Fatihah ni
boleh saja menyokong apa yang dikatakan Yunus. Musykil!
"Tak payah nak pandang kita orang macam tu. Aku
dengan Fatihah tak bercinta pun. Kita orang kawan baik,"
tekan Yunus di hujung ayatnya.
"Sejak bila?" Serentak Dzul dan Mariam bertanya.
"Dah lama. Weh, kau orang ingat kita orang ni gila
ke nak ikut perangai biul kau orang? Yang biul cukuplah kau
dan Dzul saja," selar Fatihah tanpa belas.
Pergh... ayat biul Fatihah menusuk ke jantung
Mariam. Sahabat diakah ni?
Yunus ketawa besar. Padan muka keduanya.
Muka Dzul kelat.
'Suka hati aje cakap aku ni biul. Huh!'
YOU ARE READING
Janda Itu Milik Aku - Arsya Aisya
Romance"Tak payahlah buat muka malu-malu kucing, aku tak teringin pun nak dekat dengan kau. Geli!" - Muslim "Setelah akad terlafaz atas saya, maka suka atau tidak, saya sudah menjadi hak Encik Muslim" - Mariam Diangkat menjadi isteri dalam usia tersangat m...