Bab 5

523 4 0
                                    

Nurhana melangkah keluar dari keretanya dengan penuh kebingungan. Dia masih keliru dengan apa yang baru terjadi.

Fikirannya yang kusut jadi tambah berserabut. Mula-mula kerana masalah abangnya. Kini, kerana Haznik pula.

"Jangan risau. Awak tak salah. Memang saya nak mengurat awak."

Kata-kata Haznik kembali terngiang dalam ingatan. Apa yang tak kena dengan lelaki tu? Suka-suka hati sahaja nak luahkan perasaan! Tak bolehkah dia diberi sebarang petanda dahulu sebelum menerima serangan mengejut begitu?

Nurhana tergeleng. Dia tidak ingin percaya dengan kata-kata Haznik. Lelaki itu mungkin mahu mempermainkan dirinya. Baru jumpa beberapa kali, terus nak mengurat? Hebat!

Dia cuba melupakan Haznik daripada terus memenuhi ruang kepala. Lebih baik dia memikirkan hal lain yang lebih penting, fikirnya.

Diatur langkah ke rumah. Matanya singgah pada ruang parkir. Terdampar kereta ayahnya sahaja. Kereta ibunya tiada di situ. Mama pergi ke rumah siapa pula agaknya?

"Na?" Suara Hussin singgah di telinga. Pandangan Nurhana menyorot ke arah ayahnya yang sedang berdiri di muka pintu.

"Ya, papa?" sahut Nurhana.

"Makan dengan papa, jom?" ajak Hussin.

Nurhana tersenyum lebar sebelum terus mengangguk, setuju. Dia paling suka jika dapat makan bersama-sama ayahnya. Di sebalik seraut wajah serius, ada sahaja gurau sendanya yang mencuit hati. Nurhana tidak akan kering gusi melayan jenaka ayahnya itu.

"Mahu tambah lagi ke, embak?" tanya Tanti, pembantu rumah mereka.

Nurhana menggeleng.

"Papa nak nasi lagi tak?"

Hussin segera menggelengkan kepala. "Diet."

Nurhana tertawa besar mendengar jawapan ayahnya yang tidak disangka-sangka itu. Tanti juga tersenyum nipis. Dia segera meminta diri, tidak mahu mengganggu kedua beranak itu makan.

"Diet apa pula kalau papa dah makan dua pinggan tadi?" tanya Nurhana.

Hussin tersenyum. Hatinya ceria melihat anaknya gembira semula. Setelah Izlan mengecewakan anaknya, dia tidak sanggup melihat Nurhana bersedih lagi.

Tetapi Nasrul pula buat onar. Tidak pasal-pasal menyuarakan hasrat ingin berkahwin dengan gadis yang pernah menjadi orang ketiga di antara Nurhana dan Izlan dahulu.

"Na nak singgah sekejap sahaja atau nak tinggal di sini semula?" Hussin menyoal.

Soalan itu sentiasa berlegar-legar di dalam kepala semenjak anaknya pulang ke tanah air. Kebiasaannya Nurhana hanya pulang beberapa hari. Itupun jika ada perkara penting sahaja.

Kali ini Nurhana singgah lebih lama. Masalah perkahwinan mengejut di antara Nasrul dengan Rania membuat Nurhana terheret untuk pulang.

Jauh di sudut hati, dia mengharapkan anak gadisnya itu tidak akan kembali semula ke rumah adik bongsunya yang berada nun di perantauan.

Nurhana diam sebaik mendengar soalan ayahnya. Dia tunduk, memandang sisa nasi di atas pinggan.

"Papa tak suka Na duduk sini ke?" Ada sayu dalam nada suaranya.

"Bukan itu maksud papa. Kalau boleh, papa harap Na terus tinggal di sini. Tak kasihankah dengan mama dan papa? Rumah ni betul-betul sunyi bila Na tiada. Kami dapat jumpa Na pun hanya kalau ada perkara penting sahaja."

"Na memang nak duduk di sini. Tapi Na belum buat apa-apa keputusan lagi," tutur Nurhana. Sebenarnya dia tiada sebarang alasan untuk terus tinggal.

Demi RindumuWhere stories live. Discover now