Bab 6

444 5 0
                                    

Spageti yang dikunyah terasa liat seperti mengunyah getah. Bebola daging terasa tawar. Nurhana cuba buat tidak tahu tetapi gagal mengabaikan Haznik yang asyik merenungnya. Tertutup selera untuk menikmati pasta kegemarannya itu.

"Ada apa-apakah kat muka saya ni?"

"Takde apa-apa."

"Habis tu? Kenapa tenung muka saya?"

Haznik tuding jari ke arah matanya sendiri.

Matanya? Nurhana keluarkan bedak kompak. Dia periksa bahagian matanya dengan cermin kecil yang dia ada. Solekan matanya comot? Maskaranya bergumpal? Atau apa?

"Kat mata awak, ada saya." Haznik senyum meleret.

Tawa Nurhana meletus kuat. Kolot sungguh ayat yang dituturkan oleh jejaka itu. Beginikah cara Haznik hendak mengurat dirinya? Macam orang zaman dulu-dulu!

Namun jejaka itu hanya tersengih sahaja. Langsung tidak terasa atau terkecil hati. Hatinya lapang mendengar tawa Nurhana.

"Tolonglah jangan buat begitu, Nik. Saya rasa tak selesa kalau awak asyik tenung saya. Nak makan pun susah."

"Apa boleh buat? Mata saya tak boleh berhenti tengok orang yang cantik."

Mata Haznik tidak jemu memandang Nurhana. Apatah lagi bila pada hari itu Nurhana memakai blaus warna hijau zamrud, warna kegemarannya. Matanya bagai sedang menatap air terjun. Sejuk dan damai.

Nurhana tarik muka. Sekali lagi Haznik cuba menggula-gulakan perasaannya. Tetapi Nurhana sentiasa ingatkan diri bahawa lelaki di hadapannya ini mungkin seorang buaya darat. Atau lebih teruk, kaki perempuan! Tukar perempuan macam tukar baju.

"Awak memang selalu guna ayat ini untuk mengayat perempuan lain ya?" Nurhana membuat andaian sendiri. Curiga dengan Haznik.

"Taklah. Awak orang yang pertama. Tiada perempuan lain."

Jawapan itu membuat Nurhana terkedu. Pandangannya bagai terpaku bila bertatapan dengan mata Haznik. Namun Nurhana cepat tersedar dan pantas tunduk. Makanan disuap laju ke dalam mulut.

"Sayang, awak makanlah perlahan-lahan. Awak nak kejar apa?"

Sayang? Nurhana tersedak. Haznik segera menghulurkan segelas air kepadanya. Jari-jemari mereka bersentuhan. Secepat kilat Nurhana mengalihkan jarinya. Diteguk air itu untuk membersihkan tekaknya.

"Tengok. Kan dah tersedak?" ujar Haznik lagi.

Nurhana menepuk-nepuk dada. Melampau sungguh lelaki ini. Belum apa-apa lagi dah panggil dia sayang!

"Nik, awak tahu kan perasaan tak boleh dipaksa-paksa?"

"Bila masa pula saya paksa awak? Saya tak tahu kenapa tapi saya tahu saya sukakan awak. Pernah saya minta awak sukakan saya semula?"

Nurhana ketap bibir.

"Apa yang ada dalam bungkusan hadiah tadi?" tanya Nurhana, segera ubah topik. Matanya mendarat pada bungkusan di atas meja. Di hadapan Izlan tadi, Haznik memandai-mandai mengatakan hadiah itu adalah untuknya.

"Oh, hadiah ini? Saya belikan jam tangan untuk kawan saya. Minggu depan hari lahir dia."

Timbul rasa tidak senang di hati Nurhana. Hadiah hari lahir?

"Untuk siapa? Teman wanita?"

Haznik cuba menahan senyum daripada terlukis di bibirnya. Adakah dia tersilap dengar atau gadis di hadapannya ini sedang cemburu?

"Awak betul-betul nak tahu?" Haznik sengaja menduga. Matanya tidak lepas dari memandang segenap inci wajah Nurhana. Setiap riak emosi yang dipamerkan menarik perhatiannya.

Demi RindumuWhere stories live. Discover now