Bab 10

1K 8 1
                                    

Mariam menoleh ke arah suaminya yang sedang membaca Al-Quran. Enggan mengganggu, dia menyambung melipat pakaian yang telah dijemur di ampaian. Habis melipat sehelai baju, dia mengerling lagi ke arah Hussin.

Ada sesuatu yang ingin dia sampaikan. Tetapi mata suaminya masih melekat pada Al-Quran.

"Awak ni kenapa, Puan Mariam? Dari tadi tertoleh-toleh ke arah saya. Handsome sangatkah saya hari ini?" tanya Hussin, selesai mengaji. Dari ekor mata, Hussin menyedari apa yang dilakukan oleh Mariam.

"Abang ada kenal mana-mana ustaz?" Akhirnya Mariam bertanya soalan yang terbuku di hati.

"Ada."

"Siapa?" Mariam menyoal, tidak sabar. Diberi sepenuh tumpuan pada suaminya.

"Ustaz Don Daniyal," Hussin menyebut nama ustaz bagi sebuah rancangan popular di tv itu.

"Abang, saya tengah serius ni! Ada tak ustaz yang abang betul-betul kenal? Maksud saya, personally."

Hussin menutup naskhah al-Qurannya dan diletakkan di rak buku sebelum kembali kepada isterinya.

"Kenapa awak nak cari ustaz? Awak nak belajar ilmu agama ke? Baguslah. Kita dah tua-tua begini, mesti tingkatkan amal ibadat. Siapa tahu, bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil menghadap-Nya." Tiba-tiba sahaja Hussin berceramah.

"Abang, saya nak cari ustaz bukan untuk saya tapi untuk Nasrul."

Berkerut wajah Hussin bila mendengar kata-kata Mariam.

"Macam tak kena sahaja bila Rul nekad nak kahwin dengan Rania. Saya ingat Rul kena guna-guna lah, bang!" luah Mariam, bimbang.

"Tak baik tuduh Rania macam tu," ujar Hussin. Dia enggan percaya anak lelakinya dibomohkan kerana sekaligus, mereka menuduh Rania melakukan perkara syirik.

"Saya bukan nak menuduh. Tapi takkan abang tak rasa pelik? Bila Na membantah perkahwinan mereka, Rul buat tak tahu saja. Seolah-olah Na langsung tak penting dalam hidup Rul!"

Selama ini memang kedua-dua orang anaknya itu sering bertengkar. Tetapi Nasrul jelas amat sayang dan mengutamakan adiknya.

Mariam perasan Nasrul sering mengalah bila melibatkan Nurhana. Tetapi lain pula jadinya bila melibatkan Rania.

"Entahlah. Abang pun tak tahu nak kata apa." Hussin juga buntu. Sedikit sebanyak, dia mulai merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Perlukah dia membawa Nasrul bertemu dengan pengamal perubatan Islam?

"Abang panggil ustaz datang ke rumah kita, ya?" pujuk Mariam lagi.

"Tengoklah macam mana," balas Hussin. Dibiarkan Mariam melipat baju-baju yang tinggal.

Bila memikirkan tentang Nasrul, dia teringatkan anaknya yang seorang lagi. Fikirannya berserabut bila memikirkan Nurhana akan berkahwin dengan Haznik. Pemuda itu baru sahaja dikenali oleh Nurhana. Mana-mana ayah pun akan membantah dan berfikir dua kali.

Namun dia tidak mampu menolak Haznik. Lebih-lebih lagi bila pemuda itu datang ke pejabatnya semalam. Tingkah lakunya yang sopan menarik perhatiannya. Masih terngiang-ngiang kata Haznik kepadanya.

"Saya takkan lamar Nurhana tanpa kebenaran orang tuanya."

"Macam mana kalau anak saya tolak lamaran kamu?"

Haznik hanya tersenyum sebaik mendengar soalannya itu.

"Kalau dia menolak, saya harap dan berdoa Nurhana akan dapat lelaki yang lebih baik."

Hussin begitu berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Jadi mana mungkin dia dapat menolak pemuda sebaik itu?

***

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 22, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Demi RindumuWhere stories live. Discover now