PROLOG

3.1K 114 11
                                    

Pintu bilik hostelnya dirempuh kuat. Tanpa menghiraukan mata-mata kawan sebiliknya, dia melambungkan tubuhnya di atas katil miliknya. Wajah menekup pada bantal sebelum melepaskan tangis di situ.

Hujung bantal digenggam erat. Cuba mengawal perasaannya yang bercampur-baur ketika ini. Hanya tangisannya yang memenuhi ruang bilik itu yang tadinya gamat dengan perbualan rakan sebiliknya kini telah senyap.

"Erul.." Sebutnya di sebalik bantal. Dia yakin lelaki itu sedang kecewa ketika ini. Semuanya gara-gara dia! Kalaulah..

Dina mengemam bibir. Hatinya sebak. Namun apabila dia fikirkan semula kejadian tadi, dia kalah. Tangisannya semakin menjadi-jadi.

Satu-satunya lelaki yang berkongsi suka duka dengannya bersama telah dia sakitkan hatinya. Bagaimana dia mahu memujuk dirinya supaya berhenti menangis?

Kecewanya lelaki itu, merobekkan hatinya. Dia tidak sengaja. Keadaan tadi berlaku tanpa dia sangka.

Tingkah Erul sebentar tadi masih kukuh diingatannya. Sesaat pun tidak mahu menentang matanya. Dan kata-kata yang diluahkan, intonasi suara yang digunakan, walau tenang, lelaki itu telah kecewa.

Apabila manusia dilukakan, dan tidak menunjukkan tanda, itu adalah keadaan yang paling teruk kan? Menyimpan emosi itu sendiri walaupun mahu marah sepuas hati.

"Maafkan Saya.." Ucap Dina perlahan seraya menyambung menangis. Kalau boleh dia mahu lari dapatkan Erul sekarang juga, tetapi lelaki itu terang-terangan menolaknya tadi. Dia tahu lelaki itu mahu bersendirian.

Lagi sekali tangisannya semakin kuat. Keadaan ini menyiksanya dan menakutkannya. Dia takut Erul akan berfikir untuk menamatkan hubungan dengannya. Kejadian tadi boleh jadi alasan paling besar untuk tamatkan hubungan mereka.

________________

Punggung dilabuhkan ke sofa. Kepala terdongak ke atas melihat kipas syiling yang berpusing. Serentak keluhan berat dilepaskan. Keluhan yang menyimpan bertan-tan beban di hati.

Dia tersepit. Dia sayangkan hubungan ini. Dia juga telah berjaya memupuk kasih dalam hatinya untuk si dia walau hubungan mereka sering diuji.

Namun kalau hubungan ini tidak direstui orang tua, tidak ke mana juga. Walau bertahun-tahun bersama, ianya tidak bermakna. Bersama seiring membawa dosa.

Dia seperti dinding yang menghalang takdir Dina. Kalau wanita itu tidak bersama dengannya, pasti semua ini tidak terjadi. Pasti hatinya tidak sekecewa ini. Paling penting, pasti hubungan keluarga wanita itu tidak menjadi sekeruh sekarang ini.

Ada satu ketika dia terfikir. Dia tidak layak bercinta dan dicintai ke? Dia juga manusia. Ada hati dan perasaan. Apa salah yang dia telah buat sehinggakan ujian ini hadir dalam hidupnya?

"Beri aku kekuatan, Ya Allah.." Bisiknya perlahan. Jangan bagi dia lalai. Sentiasalah beri dia kesedaran supaya dia tidak buat keputusan yang bukan-bukan.

Raut wajah Dina masih dia ingat. Dia tahu wanita itu mahu menjelaskan situasi sebenar padanya, tapi dia tidak mahu dengar apa-apa.

Dia terpaksa mengeraskan hati ketika Dina cuba meraih perhatiannya. Air mata yang mengalir terpaksa dia buat tidak nampak.

"Maafkan saya.." Mata dipejamkan. Serentak itu setitik air matanya mengalir di tepi mata. Bercampur-baur perasaannya ketika ini seperti sebuah batu besar telah terhempas dalam hatinya. Dia tidak mampu membendungnya. Biarlah dia menangis untuk kali ini.

Rasa menyesal kerana ikutkan hatinya. Sepatutnya dia tidak patut pergi ke tempat kuliah Dina. Kalaulah..

Keluhan dilepaskan lagi sekali.


*******
Macam mana? OK ke KO?

Stay tuned! Akan update Bab 1 dalam masa terdekat.

Gracias! :)

[OG] Akad Yang TerlarangWhere stories live. Discover now