Dia...Suami Tak Dirancang - Bab 6

1.1K 19 1
                                    

TERSENTAK apabila tiba-tiba satu

bungkusan elok dilempar tepat ke atas katil. Terdampar

betul-betul di sisi Darwisya. Mata spontan teralih pada

si suami. Terkebil-kebil merenung Dinzly. Kurang

mengerti.

"Aku nak mulai hari ni, benda tu ada dekat atas

kepala kau." Sebaris arahan.

Perlahan-lahan jemari Darwisya mencapai. Saat

mata menjenguk isi, Darwisya kembali menghalakan

bebola matanya tepat ke arah Dinzly.

"Kenapa susah-susah belikan untuk saya? Kalau

awak nak saya pakai tudung, saya boleh beli sendiri."

Seperti biasa, Dinzly melarik senyum sinis.

"Kau rasa aku buat semua tu untuk kau ke,

Darwisya?" Soalan provokasi.

Darwisya kebam bibir. Tahu ayat Dinzly selepas

ini pasti akan mencarik sekeping hati miliknya.

"Aku buat sebab maruah ayah dan ibu. Nak

tunggu otak kau tu berfungsi, memang lembap. Semua

nak kena aku yang cakap dulu. Selagi kau jejak kaki

rumah orang tua aku, aku nak kau dahulukan maruah

mereka berbanding maruah kau. Sebab..." Sengaja

Dinzly menggantung ayat. "Sebab maruah kau tu dah

tak bernilai di mata aku," sambung Dinzly sekali gus

menyentapkan hulu hati Darwisya.

"Saya faham, Dinz." Sayu suara itu melantun.

"Baguslah kalau kau faham. Tak payah aku nak

ulang banyak kali. Kau ingat sikit yang kau dah susahkan

hidup aku, jadi jangan sesekali susahkan hidup orang

tua aku pula," bicara Dinzly sebelum memasang niat

untuk berlalu.

Kembali terkaku apabila masih ada yang ingin

dia sampaikan kepada Darwisya. Menoleh kembali,

kedua-dua belah tangan menyeluk saku seluar.

"Lagi 2 hari kau akan ikut aku balik ke rumah

aku. Cuti aku dah nak habis," tutur Dinzly mendatar.

Rasa macam terpaksa. Sungguh hati memang tidak rela.

Hendak dibawa perempuan tidak diiktiraf ini masuk ke

rumahnya, tak ubah seperti membuat keputusan yang

melibatkan hidup dan mati.

"Dinz..." seru Darwisya apabila perasan Dinzly

sudah ada tanda-tanda hendak berlalu.

Menjongketkan sebelah kening. Malas nak buka

mulut. Makin banyak dia bercakap, tak mustahil makin

banyak ada orang yang makan hati.

"Saya nak minta izin dengan awak." Darwisya

terpaksa buka mulut. Itu pun apabila teringatkan

nasihat Puan Munirah.

"What?"

"Saya nak balik rumah keluarga saya, boleh?"

Suasana sunyi sepi untuk seketika. Menarik

nafas dalam, Dinzly hembuskan kembali.

"Suka hati kaulah. Kau ada ke tak ada nanti,

hidup aku tak terkesan pun. Tapi lagi eloklah kalau kau

tak ada, kan? Taklah aku rasa pelik duduk dalam rumah

aku sendiri." Sindiran tepat pada batang hidung.

Darwisya telan saja tanpa mengeluh. Memang

itulah hidangan untuknya setiap hari. Nak harapkan

Dinzly bercakap baik-baik, memang ibarat menanti

bulan jatuh ke riba.

"Awak izinkan?" Masih mahukan kepastian.

Dinzly pandang wajah Darwisya agak lama.

Perlu ke Darwisya meminta izin dengannya sedangkan

Darwisya sendiri tahu perkahwinan mereka bukannya

sama seperti orang lain?

"Kau tahu aku bukan rela hati kahwin dengan

kau, kan?"

Angguk.

"Kau tahu aku tak kisah kalau apa sekalipun

terjadi dekat kau, kan?"

Masih mengangguk.

"Jadi kau ada jawapan aku. Macam yang aku

cakap, suka hati kau. Sebab urusan hidup kau tak ada

kena-mengena dengan aku." Dinzly menoktahkan ayat

dan memusingkan tubuh.

Tersekat sekali lagi saat getar suara Darwisya

menerjah deria telinganya.

"Saya tahu awak tak kisah dengan saya, Dinz.

Tapi ibu yang suruh saya minta izin dengan awak."

Cuba tidak mahu Dinzly salah faham dengan niatnya.

"Beritahu pada ibu, aku dah izinkan." Mudah

jawapan Dinzly lalu pintu kamar dikatup rapat.

Darwisya mengerdipkan mata beberapa kali.

Cuba menghalang gugurnya mutiara jernih. Setajam

mana bicara Dinzly kepadanya, Darwisya tak punya

sebarang hak untuk terasa. Seteruk mana layanan

Dinzly, Darwisya tetap tidak punya hak untuk mengeluh.

Dinzly sudi mengutipnya untuk dijadikan isteri

pun sudah seperti satu rahmat besar. Bukankah tidak

tahu bersyukur namanya kalau dia masih lagi hendak

mengada-ada?

'Tolong sedar diri, Wisya!' monolog Darwisya

seraya mengusap perlahan kandungan yang masih

belum kelihatan itu. Entah kenapa, rasa sebak makin

mengasak ruang dada.

Kalau nasibnya sudah begini, kelak apa pula

nasib bayi yang tak berdosa ini?

Dia...Suami Tak Dirancang - Hana (HE)Where stories live. Discover now