Dia...Suami Tak Dirancang - Bab 7

1.1K 22 0
                                    

BERKALI-KALI mata dipejam celikkan.

Dinzly harap sangat yang dia sebenarnya sedang

bermimpi. Malangnya, tetap kenyataan yang benar-benar

pahit harus ditelan. Ternyata tempoh seminggu itu

bagaikan angin lalu. Begitu cepat beransur pergi. Tapi

sudah cukup mampu membuatkan hidupnya berubah

seratus peratus.

Terbeban.

Terseksa.

Saat mata jatuh pada jemarinya yang dihiasi

cincin pernikahannya dengan Darwisya, Dinzly pejam

mata. Dada yang tadi beralun tenang mula berombak

ganas.

Sakit hati terhadap Aiman.

Sakit hati terhadap Darwisya.

Malangnya, rasa sakit hati itu harus dipendam

dan ditanam jauh-jauh di sudut hati. Tak mampu

dilepaskan. Cuba memujuk hati, nafas yang berombak

dihela perlahan-lahan.

Breathe in, breathe out.

"Selagi Dinz tak reda dengan apa yang berlaku,

selagi tu Dinz akan jadi macam ni."

Zap! Terpaling wajah Dinzly saat satu suara

mula menegurnya dari belakang.

"Ayah..."

"Ibu kamu cakap Wisya dah balik ke rumah

keluarga dia."

Jantung seperti disentap.

"Kenapa kamu tak ikut sekali?"

Soalan jerut leher. Dinzly telan liur yang mula

dirasakan berpasir. Menggeleng Encik Fairuz kerana

dia sudah bisa mengagak.

"Kamu halau dia, Dinz?"

Laju Dinzly menafikan.

"Ayah dah banyak kali nasihatkan kamu. Wisya

dah jadi tanggungjawab kamu. Kalau boleh, ayah tak

nak tengok rumah tangga kamu macam ni. Ayah yang

paksa Dinz kahwin dengan Wisya. Bila jadi macam ni,

ayah rasa bersalah, Dinz." Luluh bicara Encik Fairuz.

Diakah yang sudah tersilap membuat

keputusan? Fikir Encik Fairuz, keputusan itulah yang

paling tepat.

"Wisya minta izin dengan Dinz untuk balik ke

rumah daddy dia."

"Sekalipun dia yang nak balik ke sana, kenapa

kamu masih di sini?"

"Ayah tahu Dinz dengan daddy dia memang tak

sekufu, kan?" Dinzly tertekan.

"Sampai bila Dinz nak biarkan macam ni?"

"Dinz tak tahu." Mengeluh dalam.

Encik Fairuz berjalan menghampiri Dinzly.

Berdepan dengan si anak, berharap kali ini nasihatnya

mampu untuk diterima oleh Dinzly.

"Dinz tak boleh terima Wisya sebab dalam perut

dia ada anak kawan baik Dinz?"

"Mana-mana lelaki pun akan rasa sama seperti

yang Dinz rasa."

"Tapi anak tu tak berdosa."

"Kalau ayah nak Dinz terima budak tu, memang

Dinz tak boleh. Wisya pun Dinz masih tak mampu

terima sebagai seorang isteri, inikan pula budak..."

"Dinzly Fariqal." Nama penuh Dinzly diseru.

Cuba menghentikan Dinzly kerana dia cukup arif

ayat seterusnya yang bakal meluncur pada bibir anak

tunggalnya.

"Dinz tak boleh, ayah. Dinz cuba untuk

ikhlaskan hati. Tapi..." Menghempas punggung ke sofa,

kedua-dua belah tangan naik meraup wajah.

"Allah ciptakan hamba-Nya untuk berpasangan.

Untuk melengkapi kekurangan setiap pasangannya. Jika

cela yang Dinz nampak pada diri Wisya, Dinz anggaplah

Allah hantarkan Dinz kepada Wisya untuk bantu Wisya

tutup cela tu. Selagi Dinz anggap ujian ni sebagai satu

beban, selagi tu hidup Dinz takkan aman."

"Kadang-kadang Dinz tak faham. Kenapa ayah

selalu menangkan Wisya sedangkan Dinz anak ayah?"

"Sebab dia manusia yang teraniaya. Dari

sepasang mata dia, ayah tahu dia tak pernah minta

semua ni terjadi pada dia. Dia cuba senangkan hati Dinz.

Ibu cakap, Wisya nampak makin cantik bila bertudung

tadi." Penuh makna kata-kata Encik Fairuz.

Tersenyum tawar semata-mata. Tidak tahu

hendak bereaksi bagaimana. Berbolak-balik rentak

perasaan. Hampir saban hari dia berharap Aiman akan

pulang. Mengambil kembali Darwisya daripadanya. Tapi

dalam waktu yang sama, hati Dinzly jadi berbelah bagi.

Kalau Aiman pernah melepaskan

tanggungjawabnya terhadap Darwisya dengan

sewenang-wenangnya, tak mustahil Aiman akan

mensia-siakan Darwisya dan bayi yang dikandung buat

kali kedua.

Pelik bukan? Hati membenci, mulut memerli

hampir tiap waktu, namun jauh di sudut hati, Dinzly

mahu pula mengambil peduli tentang kebajikan

kedua-duanya. Sungguhlah Dinzly keliru. Benar-benar

keliru.

"Dinz patut buat apa, ayah?" Longlai. Merenung

wajah tua Encik Fairuz, berharap jawapan Encik Fairuz

mampu mengusir rasa serabutnya.

"Bagi peluang pada perkahwinan ni. Setiap

manusia layak dapat peluang kedua."

Jawapan yang benar-benar jelas. Selebihnya,

terpulang kepada Dinzly sama ada mahu menerima

atau sebaliknya.

Dia...Suami Tak Dirancang - Hana (HE)Where stories live. Discover now