"Lisa! Bangun!"
Terpisat-pisat Lisa membuka matanya. Selendang nipis yang melindungi tubuh ditolak ke tepi, duduk di sofa memandang 2 orang manusia yang sibuk memasak di sebalik island table.
"Hah, dah cakap yang awak memang takkan boleh buat!" suara Seroja mencelah di sebalik bunyi pinggan mangkuk berlaga dalam sinki.
"Saya boleh buat, cuma takut tak sedap nanti membazir pula," Tom membela diri. Dia memandang Lisa dan melambai meminta Lisa segera mendekat.
Lisa berdiri di sisi island table yang berkecah. Melihat Tom meletakkan beberapa biji kentang ke dalam periuk.
"Kulit kentang kena kupas dululah, ayah," dalam malas Lisa bersuara juga. Matanya digosok mengusir rasa kantuk yang amat sangat.
"Kentang ni dah dibasuh bersih dan jenis yang boleh makan kulitnya. Tak ada rasa tanah yang kuat."
"Ayah takkan dapat sup brokoli yang gebu kalau ayah masak dengan kulit dia."
"Memang kena gebu ke?"
"Iyalah!"
"Jadi... ayah kena kupas kulit kentang ni?"
"Ya." Tegas Lisa bersuara. Hilang rasa mengantuknya berdepan dengan kedegilan Tom yang tak padan dengan usia.
Tom menjeling namun Seroja pura-pura tidak mengerti rasa malas seorang lelaki dewasa yang sudah menjangkiti Tom sejak bergelar seorang suami.
"Ayah rebus pokok atau rebus brokoli?" Lisa tepuk dahi melihat brokoli yang tidak dipotong sedang berenang di dalam air panas.
"Nanti kita kisar semua, kan? Sama saja rebus seketul macam tu atau dipotong-potong"
"Kita kena sedar diri, kalau guna pengisar zaman batu ni, susahlah ayah."
Seroja ketawa lepas. Geli hati melihat dua beranak itu berbalas kata tanpa tiada tanda mahu mengalah. Masing-masing hendak menang.
"Awak patut bela saya, Seroja," geram Tom menjeling isterinya.
Saat sup brokoli berasap panas bersama baguette yang dibakar dengan mentega bawang putih diletakkan di atas kaunter granit, mereka bertiga saling berhadapan, menikmati hidangan yang tidak lapuk dek masa.
Tom dan Lisa masih sibuk bertingkah manakala Seroja tukang ketawa.
"Lisa harap, setiap pagi kita akan bersama begini."
Tawa Seroja terhenti. Tom turut berdiam diri, hilang segala hujah menentang kata anaknya. Jarum jam juga seakan terhenti memutarkan waktu.
Lisa memandang wajah Seroja dan Tom silih berganti sebelum matanya kabur dilindungi air mata yang bergenang.
"Lisa."
Lisa kembali membuka matanya. Pemandangan tadi hilang berganti dengan wajah Anthony.
"Dia dah sedar."
YOU ARE READING
Lisa : The Grey Eyes (Completed)
WerewolfIni mungkin bukan kisah werewolf yang anda bayangkan atau mahukan. Ianya kisah tentang membuat pilihan di saat kau hilang peluang untuk memilih. Lisa anak kepada salah seorang dari kawanan Werewolf di Amber Hills dan ibunya pula adalah dari manusia...