BAB 3

51 4 0
                                    


PELANGI itu tidak selalunya indah dan tidak selalunya cerah. Begitu juga dengan kehidupan manusia.

Hidup sebagai musafir di dunia, ada kalanya ia diselubungi kebahagiaan dan ada masanya diuji dengan derita.

Hari ini, hati Bonda Rozita dipenuhi rasa bahagia. Rudy baru sahaja menyampaikan perkhabaran tentang Rio Rangga, anak yang dirinduinya. Namun, secebis rasa ralat muncul di hatinya, kerana suaminya masih berkeras tidak mahu memberi keizinan untuk bertemu anak muda itu.

Bagaimana caranya ingin memecahkan batu yang keras dan sukar dipecahkan?

Bonda Rozita benar-benar buntu. Bertahun-tahun perasaan rindu disimpan dalam diam, namun suaminya tetap tidak mahu memaafkan Rio. Betapa susahnya memaafkan seorang anak yang pernah melakukan kesilapan.

"Bonda jangan sedih, ya? Rudy akan sentiasa ada dengan bonda."

Rudy tahu akan kekecewaan yang ditanggung Bonda Rozita sejak anak itu dihalau kerana peristiwa yang memalukan keluarga. Sejak ketiadaan Rio, Rudy menjadi pengganti, menjadi tempat Bonda mencurahkan perasaan.

"Kenapalah uncle kamu tu susah nak terima Rio? Dah bertahun-tahun berlalu, tapi dia masih tak maafkan Rio. Kenapa, Rudy? Kenapa?"

Bonda melayarkan pandangannya ke kaki langit, redup dan kosong.

"Sabar, bonda. Jangan risau sangat. Rio baik-baik saja kat sana. Jangan biarkan bonda sakit sebab fikir banyak." Rudy bersuara lembut, cuba menenangkan. Tangan lembutnya mengusap belakang Bonda dengan penuh kasih sayang

"Anak kecil yang dia jaga tu sihat ke? Kamu dapat tengok dia, kan? Kamu mesti berbual panjang dengan Rio."

Bonda tersenyum penuh harapan, namun Rudy tersentak. Perasaan serba salah menjalar di hatinya. Apa yang harus aku jawab?

Rudy menggigit bibir, menggeleng perlahan. Melihat gelengan itu, wajah Bonda berubah hampa.

"Sebenarnya, Rudy belum dapat jumpa Rio. Dia masih rahsiakan di mana dia tinggal. Kami cuma berbual melalui telegram. Pasal anak dia pun, dia tak banyak cerita. Mungkin dia nak jaga privasi sendiri." Rudy terpaksa menipu. Dia tak mahu Bonda terbeban dengan kebenaran.

"Ben ada beritahu bonda yang kamu ke Malaysia. Kalau bukan untuk melawat dia, kamu ke sana buat apa?"

Mendengar nama 'Ben' membuat hati Rudy bergetar dengan rasa tidak senang. Ben ni, semua benda nak cerita!

"Rudy jumpa klien saja, bonda."

Bonda hanya mengangguk, namun riaknya semakin lesu. Pandangan matanya semakin pudar, berpaling ke kanan.

"Agaknya sampai ke matilah bonda tak akan dapat jumpa dia." Kata-kata itu diucapkan dengan senyuman tawar. Rudy terpempan, tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi.

Ya Allah, kuatkanlah hati bonda.

Walaupun Rio Rangga pernah melakukan kesilapan besar, hati Bonda Rozita tidak pernah membenci anak yang dibesarkannya. Dia hanya mahu Rio kembali, tetapi suaminya masih keras hati.

"Kalau perempuan tu tak jumpa uncle kamu, semua ni tak akan berlaku."

Nada Bonda penuh kesal. Rudy segera memberi reaksi,

"Sissy tak bersalah, bonda. Dia cuma minta Rio bertanggungjawab. Jangan salahkan dia."

Rudy tahu, Sissy tidak pernah meminta hal ini terjadi. Perasaan marah Bonda kepada perempuan itu tidak adil. Rudy juga tidak tergamak membiarkan Bonda menanam benci terhadap wanita yang sudah tiada.

"Sampai sekarang, bonda tak rasa anak dalam kandungan perempuan tu, anak Rio. Kalau uncle tak desak mereka berkahwin, memang bonda tak akan kahwinkan mereka."

Perasaan ragu-ragu yang selama ini dipendam akhirnya diluahkan di hadapan Rudy.

"Maafkan dia, bonda. Dia pun dah tak ada. Biarlah dia di alam sana."
Mata Bonda membulat, terkejut dengan kenyataan Rudy.

"Apa maksud kamu dah tak ada? Sissy dah meninggal?"

Dengan nada tergagap, Bonda bertanya. Rudy menarik nafas sebelum menjawab, menatap Bonda dengan serius.

"Sebenarnya, Sissy meninggal dunia ketika melahirkan anak."

Kenyataan itu membuatkan wajah Bonda berubah pucat, tangan menekup mulut.

Astaghfirullah.

Nafas Bonda terhenti seketika. Jika perempuan itu sudah tiada, kenapa Rio masih tak pulang?

"Kalau Sissy dah tak ada, kenapa dia tak balik ke sini?"

Soalan itu membuat Rudy kelu. Tak mungkin aku boleh beritahu yang Rio lebih memilih tinggal bersama ibu kandungnya.

"Mungkin dia tak nak balik sebab nak jaga budak tu kat sana."
Itu sahaja yang mampu Rudy balas, cuba menenangkan keadaan.

RUDY menghela nafas panjang, bersendirian di hadapan cermin.

Wajahnya yang redup terpancar di dalam pantulan, memaparkan kekeliruan yang dia simpan selama ini. Rudy tahu dia tidak sepatutnya menyimpan rahsia ini terlalu lama, tetapi dia juga tidak mampu menceritakan semuanya kepada Bonda.

Dia bersimpati dengan kedua-duanya.

Sejak kecil, Rudy menjadi pendengar setia buat Rio. Dia melihat segala kesusahan yang Rio alami, dari saat Rio terpaksa hidup dengan bebanan besar hingga saat lelaki itu mencari jawapan tentang dirinya sendiri.

Dia pernah berharap agar selepas Rio bertemu semula dengan ibu kandungnya, beban Rio akan berkurang. Namun, keadaan semakin rumit apabila Rio terperangkap antara dua jiwa. Ibu dan bonda.

Rudy tahu, di balik segala senyuman yang Rio tunjukkan, hati lelaki itu penuh dengan dilema yang tak berkesudahan. Dia berada di antara dua keluarga, dua dunia, dua tanggungjawab yang saling bertentangan.

"Ya Allah, apakah jalan terbaik untuk mereka berdua?"

Rudy tunduk, cuba mencari kekuatan untuk terus mendukung sahabatnya, walaupun hatinya sendiri berat dengan rahsia yang tidak terungkap.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 23 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

HARI KITA BERTEMUWhere stories live. Discover now